1 Mazmur Daud. Kepada-Mu aku berseru, Ya TUHAN, Batu Pejalku; janganlah berdiam diri terhadapku. Takut nanti, jika Engkau membisu kepadaku, aku menjadi seperti mereka yang masuk ke lubang yang dalam.
2 Dengarlah suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu, apabila aku mengangkat tangan ke arah khemah suci-Mu.
3 Jangan singkirkan aku bersama orang zalim, dan mereka yang melakukan kejahatan, yang menuturkan kata-kata damai kepada sesama manusia tetapi kejahatan terpendam dalam hati mereka.
4 Hukumlah mereka setimpal dengan perbuatan mereka sepadan dengan kedurjanaan usaha mereka; hukumlah mereka setimpal dengan apa yang dilakukan mereka; berilah mereka hukuman yang wajar.
5 Kerana mereka tidak menghiraukan segala perbuatan TUHAN mahupun segala hasil kerja tangan-Nya, Dia akan membinasakan mereka dan tidak akan memulihkan mereka.
6 Segala puji bagi TUHAN, kerana Dia telah mendengar suaraku merayu.
7 TUHAN kekuatan dan perisaiku; hatiku percaya kepada-Nya, dan aku ditolong-Nya. Oleh itu, hatiku amat gembira dan dengan nyanyianku aku akan memuji-Nya.
8 TUHAN kekuatan mereka, dan Dia tempat berlindung orang yang diurapi-Nya.
9 Selamatkanlah umat-Mu dan berkatilah mereka yang menjadi milik-Mu; jadilah gembala pembimbing mereka dan teguhkan mereka selama-lamanya.