1 Mazmur Daud. TUHAN cahayaku dan penyelamatanku – siapa perlu kutakuti? TUHAN kekuatan hidupku – siapa harus aku gentar?
2 Apabila orang durjana menyerangku untuk membaham dagingku, semua musuh dan seteruku itu, tersandung lalu rebah.
3 Kalaupun seangkatan tentera mengepungku, hatiku tidak akan ngeri; meski perang bangkit melandaku, tentang ini aku tetap yakin.
4 Satu perkara yang kuingini daripada TUHAN, akan kupohonkan: semoga aku akan tinggal di dalam rumah TUHAN seumur hidupku, melihat keindahan TUHAN dan merenung di dalam rumah suci-Nya.
5 Kerana pada waktu kesusahan Dia akan menyembunyikan aku di astaka-Nya; di ruang rahsia khemah-Nya Dia akan menyembunyikan aku. Dia akan mengangkatku ke atas batu pejal.
6 Dan sekarang kepalaku diangkat tinggi di atas musuh sekelilingku; maka aku akan mempersembahkan korban dengan sorak-sorai kegembiraan di khemah-Nya; aku akan menyanyi, ya, aku akan menyanyi memuji TUHAN.
7 Dengarlah, ya TUHAN, apabila suaraku berseru; dan kasihanilah aku, serta sahut seruanku.
8 Hatiku berkata tentang-Mu, “Carilah wajah-Nya!” Wajah-Mu, ya TUHAN, akan kucari.
9 Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku, jangan singkirkan hamba-Mu dengan murka; Engkau telah menolongku. Jangan pergi daripadaku, jangan tinggalkan aku, Ya Allah Penyelamatku.
10 Apabila ibu bapaku berpaling daripadaku, TUHAN akan memeliharaku.
11 Ajarlah aku jalan-Mu, ya TUHAN, dan bimbinglah aku ke jalan sejahtera kerana aku diserang musuh.
12 Jangan serahkan aku ke tangan seteruku, kerana aku digugat saksi-saksi palsu, dan orang yang ganas.
13 Tentulah aku putus asa melainkan aku percaya: bahawa aku akan melihat kebaikan TUHAN di tanah orang yang hidup.
14 Nantikanlah TUHAN; tabahkan dirimu, teguhkan hatimu. Ya, nantikanlah TUHAN!