1 Mazmur Daud. Kepada-Mu, ya TUHAN, kuserahkan jiwaku;
2 Ya Allahku, aku percaya kepada-Mu. Janganlah biarkan aku malu, janganlah biarkan musuhku menewaskan diriku.
3 Sesungguhnya, janganlah biarkan sesiapa yang menantikan-Mu menanggung malu, biarlah yang dimalukan itu mereka yang berbuat khianat tanpa sebab.
4 Tunjukkanlah aku jalan-Mu, ya TUHAN, ajarkanlah aku mengikut jalan-Mu;
5 bimbinglah aku kepada kebenaran-Mu dan ajarlah aku, kerana Engkaulah Allah Penyelamatku, Engkau kunantikan sepanjang waktu.
6 Ingatilah, ya TUHAN, belas kasihan-Mu yang lembut mesra, kerana segalanya dari zaman dahulu.
7 Janganlah ingati dosaku di usia muda dan keingkaranku; ingatilah aku dengan kasih-Mu, demi kebaikan-Mu, Ya TUHAN.
8 TUHAN baik dan tulus; maka Dia mengajar orang berdosa jalan yang benar.
9 Dia membimbing orang yang rendah hati dalam keadilan dan mengajar mereka jalan-Nya.
10 Semua jalan TUHAN adalah kasih dan kebenaran bagi mereka yang berpegang kepada perjanjian dan peraturan-Nya.
11 Demi nama-Mu, ya TUHAN ampunkanlah kejahatanku, walaupun amat besar.
12 Siapakah manusia yang takut akan TUHAN? TUHAN akan mengajarnya di jalan pilihan-Nya.
13 Orang itu akan hidup makmur, dan zuriatnya akan mewarisi bumi ini.
14 Rahsia TUHAN ada pada mereka yang takut kepada-Nya; dan Dia akan menunjukkan mereka perjanjian-Nya.
15 Mataku sentiasa ke arah TUHAN, kerana Dia akan melepaskan kakiku daripada jerat.
16 Berpalinglah kepadaku, dan kasihanilah aku, kerana aku sepi dan sengsara.
17 Kesusahan hatiku telah bertambah; bawalah aku keluar daripada segala derita ini.
18 Lihatlah kesengsaraan dan keazabanku dan ampunkanlah segala dosaku.
19 Perhatikanlah segala musuhku yang amat ramai mereka membenciku dengan kebencian yang kejam!
20 Peliharakanlah jiwaku, selamatkanlah aku; jangan biarkan aku malu, aku berlindung kepada-Mu.
21 Biar keikhlasan dan ketulusan memeliharaku, aku setia menanti-Mu.
22 Tebuslah Israel, ya Allah, daripada segala kesusahan mereka!