1 Diberkatilah orang yang tidak tercela jalannya, yang melangkah menurut hukum TUHAN.
2 Diberkatilah mereka yang mematuhi peraturan-Nya, yang mencari-Nya dengan sepenuh hati.
3 Mereka juga tidak melakukan dosa; mereka melangkah menurut jalan-Nya.
4 Engkau telah memerintahkan kami supaya mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan bersungguh-sungguh.
5 Oh, kalaulah cara-caraku ditujukan ke arah mematuhi ketetapan-Mu!
6 Maka tidaklah aku malu apabila aku meneliti segala perintah-Mu.
7 Aku akan memuji-Mu dengan tulus hati apabila kupelajari hukum-Mu yang benar.
8 Aku akan mematuhi ketetapan-Mu; janganlah tinggalkan aku selama-lamanya.
9 Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya? Dengan berhati-hati menurut firman-Mu.
10 Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu; janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.
11 Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.
12 Terpujilah Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku ketetapan-Mu.
13 Dengan bibirku telah kuisytiharkan segala hukum yang Kaufirmankan.
14 Aku telah bergembira dengan cara peraturan-Mu seperti dengan segala kekayaan.
15 Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu dan memikirkan cara-cara-Mu.
16 Aku akan menikmati ketetapan-Mu; aku tidak akan melupakan firman-Mu.
17 Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu.
18 Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu.
19 Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku.
20 Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu.
21 Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.
22 Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu.
23 Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu.
24 Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan.
25 Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu.
26 Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu.
27 Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan.
28 Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu.
29 Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia.
30 Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku.
31 Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya TUHAN, jangan malukan aku.
32 Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku.
33 Ajarlah aku, ya TUHAN, jalan ketetapan-Mu; aku akan mematuhinya hingga ke akhir.
34 Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu; sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku.
35 Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu, kerana aku bahagia dengannya.
36 Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu, bukan kepada ketamakan.
37 Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu.
38 Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu, yang sepenuh hari takut kepada-Mu.
39 Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti, kerana hukum-hukum-Mu baik.
40 Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu! Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu.
41 Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya TUHAN, penyelamatan-Mu menurut janji-Mu;
42 dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku, kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu.
43 Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku, kerana aku berharap kepada hukum-Mu.
44 Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu, selama-lamanya.
45 Dan aku akan melangkah dengan bebas, kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu.
46 Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja dan tidak akan malu,
47 dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu yang kukasihi.
48 Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi, dan aku akan merenung ketetapan-Mu.
49 Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu, dengannya Engkau telah memberiku harapan.
50 Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup.
51 Orang yang sombong mentertawakan aku, namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu.
52 Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu, Ya TUHAN, dan aku melipurkan diriku.
53 Kemarahan telah memenuhiku kerana orang zalim, yang meninggalkan hukum-Mu.
54 Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku dalam perjalanan ibadatku.
55 Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam, Ya TUHAN, dan aku mematuhi hukum-Mu.
56 Ini telah menjadi milikku: kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
57 Engkaulah yang ada padaku, ya TUHAN; aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu.
58 Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku; kasihanilah aku menurut firman-Mu.
59 Aku memikirkan gerak-geriku lalu aku melangkah ke arah peraturan-Mu.
60 Aku bertindak segera, aku tidak berlengah-lengah mematuhi perintah-perintah-Mu.
61 Tali orang zalim telah mengikatku, tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu.
62 Pada tengah malam aku akan bangun untuk mengucap syukur kepada-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar.
63 Aku teman kepada semua yang takut kepada-Mu, dan mereka yang mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
64 Bumi ini, ya TUHAN, penuh dengan kasih-Mu; ajarlah aku ketetapan-Mu.
65 Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik, Ya TUHAN, menurut firman-Mu.
66 Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik, kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu.
67 Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu.
68 Engkau baik, dan berbuat baik; ajarlah aku ketetapan-Mu.
69 Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku, tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku.
70 Hati mereka setebal lemak, tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu.
71 Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu.
72 Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada ribuan keping wang emas dan perak.
73 Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku; berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu.
74 Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku, kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
75 Aku tahu, ya TUHAN, bahawa hukum-hukum-Mu benar, dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku.
76 Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku, menurut janji-Mu kepada hamba-Mu.
77 Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup, kerana hukum-Mu bahagiaku.
78 Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah; tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu.
79 Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku, mereka yang mengetahui peraturan-Mu.
80 Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu, supaya aku tidak menanggung malu.
81 Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu, tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu.
82 Mataku kabur mencari firman-Mu; dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?”
83 Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi, namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu.
84 Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu? Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku?
85 Orang yang sombong telah menggali lubang untukku, ini tidak menurut hukum-Mu.
86 Semua perintah-Mu benar; mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku.
87 Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini, tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu.
88 Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu, supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan.
89 Untuk selama-lamanya, ya TUHAN; firman-Mu bertapak di syurga.
90 Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman; Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada.
91 Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu, kerana semuanya hamba-Mu.
92 Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku, tentulah aku binasa menanggung penderitaan.
93 Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya, kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup.
94 Aku milik-Mu, selamatkanlah aku; kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu.
95 Orang zalim menantiku untuk memusnahkanku, tetapi aku akan memikirkan peraturan-Mu.
96 Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan; tetapi perintah-Mu maha luas.
97 Oh, betapa kucintai hukum-Mu! Aku merenungnya sepanjang hari.
98 Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku, kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku.
99 Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku, kerana peraturan-Mu menjadi renunganku.
100 Aku mengerti lebih daripada penatuaku, kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
101 Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan supaya aku dapat mematuhi firman-Mu.
102 Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu, kerana Engkau sendiri telah mengajarku.
103 Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku!
104 Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian; oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu.
105 Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku.
106 Aku telah bersumpah dan menegaskan, bahawa aku akan mematuhi hukum-hukum-Mu yang benar.
107 Aku menanggung kesusahan yang amat berat; pulihkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu.
108 Aku berdoa, terimalah puji-pujianku yang kupersembahkan dengan sepenuh kerelaan, ya TUHAN, dan ajarlah aku hukum-hukum-Mu.
109 Nyawaku sentiasa terancam, namun aku tidak melupakan hukum-Mu.
110 Orang zalim telah memasang jerat untukku, namun aku tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran-Mu.
111 Peraturan-Mu telah kuambil sebagai warisan selama-lamanya; kerana ia menggembirakan hatiku.
112 Aku telah mencenderungkan hatiku untuk menjalankan ketetapan-Mu selama-lamanya, hingga ke akhir.
113 Aku membenci orang yang curang, tetapi aku mencintai hukum-Mu.
114 Engkaulah perlindunganku dan perisaiku; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
115 Pergilah daripadaku, hai orang yang berbuat jahat, kerana aku akan mematuhi perintah-perintah Allahku!
116 Teguhkanlah aku menurut firman-Mu, supaya aku dapat hidup; dan jangan biarkan aku malu kerana harapanku.
117 Tegakkanlah aku, maka aku akan selamat; dan aku akan sentiasa mentaati ketetapan-Mu.
118 Engkau menolak kesemua mereka yang menyimpang daripada ketetapan-Mu, kerana mereka memperdaya dan itu adalah pendustaan.
119 Engkau menyingkirkan semua orang zalim di bumi seperti barang tidak berguna; oleh itu, aku mencintai peraturan-Mu.
120 Tubuhku gementar kerana takut kepada-Mu; dan aku takut akan penghakiman-Mu.
121 Aku telah melakukan keadilan dan kebenaran; janganlah tinggalkan aku di tangan penindasku.
122 Jadilah penjamin hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindasku.
123 Mataku kabur mencari penyelamatan-Mu, dan mencari firman-Mu yang benar.
124 Perlakukan hamba-Mu berdasarkan kasih setia-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu.
125 Aku hamba-Mu; berilah aku pengertian supaya aku dapat mengetahui peraturan-Mu.
126 Sudah sampai masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana mereka menganggap hukum-Mu batal.
127 Justeru aku mencintai perintah-perintah-Mu lebih daripada emas, ya, daripada emas tulen,
128 justeru semua ajaran-Mu tentang semua perkara kuanggap benar, aku membenci setiap jalan yang palsu.
129 Peraturan-Mu menakjubkan; oleh itu jiwaku mematuhinya.
130 Kedatangan firman-Mu membawa cahaya; memberi pengertian kepada orang yang tulus.
131 Aku membuka mulut dan tercungap-cungap, kerana aku merindui perintah-perintah-Mu.
132 Pandanglah aku dan kasihanilah aku, sebagaimana yang biasa Kaulakukan kepada mereka yang mencintai nama-Mu.
133 Pandulah langkahku dengan firman-Mu; dan jangan biarkan dosa menguasaiku.
134 Lepaskan aku daripada penindasan manusia, supaya aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
135 Limpahkanlah sinar wajah-Mu ke atas hamba-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu.
136 Air mataku mengalir laksana sungai, kerana manusia tidak mematuhi hukum-Mu.
137 Maha Benar Engkau, ya TUHAN, dan adil semua penghakiman-Mu.
138 Peraturan-Mu yang telah Kauperintahkan benar dan sungguh setia.
139 Semangatku telah membakar hatiku, kerana musuhku telah melupakan firman-Mu.
140 Janji-Mu sudah teruji, dan hamba-Mu mencintainya.
141 Aku daif dan dihina, namun aku tidak melupakan ajaran-ajaran-Mu.
142 Keadilan-Mu kekal selama-lamanya dan hukum-Mu benar.
143 Kesusahan dan kekhuatiran telah menyelubungiku, namun perintah-perintah-Mu bahagiaku.
144 Peraturan-Mu benar selama-lamanya; berilah aku pengertian, maka aku akan hidup.
145 Aku berseru dengan sepenuh hatiku; dengarlah aku, ya TUHAN, Aku akan mematuhi ketetapan-Mu.
146 Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku, maka aku akan mematuhi peraturan-Mu.
147 Aku bangun sebelum fajar menyingsing, lalu berseru memohon pertolongan; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
148 Aku bercekang mata sepanjang malam, supaya dapat merenung janji-Mu.
149 Dengarlah suaraku dengan kasih-Mu; Ya TUHAN, pulihkanlah hidupku menurut hukum-Mu.
150 Mereka yang mengikut jalan kejahatan semakin dekat, mereka telah menjauhi hukum-Mu.
151 Namun Engkau dekat, ya TUHAN, dan semua perintah-Mu ialah kebenaran.
152 Tentang peraturan-Mu, aku telah tahu dari dahulu bahawa Engkau mengasaskannya untuk selama-lamanya.
153 Pertimbangkanlah kesakitanku dan lepaskanlah aku, kerana aku tidak melupakan hukum-Mu.
154 Belalah dan tebuslah aku; pulihkanlah hidupku menurut janji-Mu.
155 Penyelamatan jauh daripada orang zalim, kerana mereka tidak mencari ketetapan-Mu.
156 Sungguh limpah belas kasih-Mu, ya TUHAN; pulihkanlah hidupku menurut hukum-hukum-Mu.
157 Besar bilangan penganiayaku dan musuhku, namun aku tidak berpaling daripada peraturan-Mu.
158 Aku melihat orang yang khianat dan aku berasa meluat, kerana mereka tidak mematuhi firman-Mu.
159 Pertimbangkanlah betapa aku mencintai ajaran-ajaran-Mu; pulihkanlah hidupku, ya TUHAN, dengan kasih-Mu.
160 Seluruh firman-Mu benar; dan seluruh hukum-Mu yang benar kekal selama-lamanya.
161 Raja-raja menganiaya aku tanpa sebab, tetapi hatiku mengagumi firman-Mu.
162 Aku bergembira dengan janji-Mu umpama orang yang menjumpai harta yang amat bernilai.
163 Aku benci dan jijik kepada pendustaan tetapi aku mencintai hukum-Mu.
164 Tujuh kali sehari aku memuji-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar.
165 Sungguh besar kesejahteraan mereka yang mencintai hukum-Mu, dan tiada suatu pun menyebabkan mereka tergelincir.
166 Ya, TUHAN, aku mengharapkan penyelamatan-Mu, dan aku menjalankan perintah-perintah-Mu.
167 Jiwaku mematuhi peraturan-Mu, dan aku sungguh mencintainya.
168 Aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu dan peraturan-Mu, kerana semua langkahku terbentang di hadapan-Mu.
169 Biarlah seruanku datang ke hadirat-Mu, ya TUHAN; berilah aku pengertian menurut firman-Mu.
170 Biarlah permohonanku datang ke hadirat-Mu; selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
171 Bibirku akan melafazkan pujian, kerana Engkau mengajarku ketetapan-Mu.
172 Lidahku akan bertutur tentang firman-Mu, kerana semua perintah-Mu ialah kebenaran.
173 Biarlah tangan-Mu menolongku, kerana aku telah memilih ajaran-ajaran-Mu.
174 Aku merindui penyelamatan-Mu, ya TUHAN, dan hukum-Mu kebahagiaanku.
175 Biarlah jiwaku hidup, maka ia akan memuji-Mu, dan biarlah hukum-hukum-Mu menolongku.
176 Aku telah tersesat seperti domba yang hilang. Carilah hamba-Mu, kerana aku tidak melupakan perintah-perintah-Mu.