1 Doa seorang derita apabila dia lemah dan mencurahkan kesusahannya kepada TUHAN. Dengarlah doaku, ya TUHAN; dan biarlah seruanku datang kepada-Mu.
2 Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku semasa aku dalam kesusahan. Condongkan telinga-Mu kepadaku; ketika aku berseru, jawablah aku segera.
3 Kerana setiap hari dalam hidupku hilang seperti asap; dan tulang-tulangku dibakar seperti di tempat berdiang.
4 Hatiku sakit dan layu seperti rumput; sehingga aku terlupa makan rotiku.
5 Kerana aku mengerang, tulangku melekat ke kulitku.
6 Aku seperti burung hantu di gurun, seperti burung hantu di runtuhan.
7 Aku tidak dapat melelapkan mata; berbaring seperti burung pipit kesepian di bumbung rumah.
8 Musuhku mencelaku sepanjang hari; mereka yang mencemuhku mengangkat sumpah memfitnahku.
9 Aku telah makan abu seperti roti dan minumanku bercampur air mata
10 kerana kemarahan dan kemurkaan-Mu, kerana Engkau telah mengangkatku, kemudian menghumbankan aku.
11 Hidupku seperti bayang-bayang memanjang; dan aku layu seperti rumput.
12 Tetapi Engkau, ya TUHAN, akan kekal selama-lamanya; dan nama-Mu diingati turun-temurun zaman-berzaman.
13 Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion, kerana saat untuk meredainya; ya, saat yang ditentukan, telah tiba.
14 Kerana hamba-hamba-Mu menghargai batu-batunya; dan berasa kasihan akan debunya.
15 Maka bangsa-bangsa akan takut kepada nama TUHAN, dan raja-raja dunia gentar akan kemuliaan-Mu.
16 TUHAN akan membina Sion Dia akan menampakkan diri dalam kemuliaan-Nya.
17 Dia akan menimbangkan doa orang papa; dan tidak akan menghina permohonan mereka.
18 Ini akan disuratkan untuk keturunan akan datang, supaya umat yang belum lahir akan memuji TUHAN:
19 “Dia memandang ke bawah dari tempat suci-Nya, dari syurga TUHAN memerhatikan bumi,
20 untuk mendengar rintihan orang yang dipenjarakan, untuk membebaskan mereka yang dihukum mati.”
21 Untuk mengisytiharkan nama TUHAN di Sion dan pujian untuk-Nya di Yerusalem
22 apabila umat-umat berhimpun dan kerajaan-kerajaan berhimpun untuk beribadat kepada TUHAN.
23 Dia melemahkan kekuatanku dalam hidup; Dia memendekkan umurku.
24 Aku berkata: “Ya Allahku, janganlah ambil aku pada separuh umurku; masa-Mu meliputi semua keturunan.
25 Pada mulanya, Engkau meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu.
26 Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal; ya, segalanya akan menjadi usang seperti pakaian. Seperti jubah Engkau akan menggulungnya, seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah.
27 Tetapi Engkau tetap sama, dan tahun-tahun-Mu tidak berkesudahan.
28 Anak hamba-hamba-Mu akan berterusan; dan anak cucu mereka akan berdiri di hadirat-Mu.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 102
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 102

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV