1 Malangnya orang yang merancang kedurjanaan dan yang membuat rancangan jahat di atas tempat tidur mereka! Pada waktu fajar menyingsing mereka melaksanakannya, kerana hal itu ada dalam kekuasaan mereka.
2 Mereka menginginkan ladang, lalu merampasnya, mahukan rumah, lalu mengambilnya. Maka dilakukan mereka terhadap orang serta kaum keluarganya, menindas orang untuk mengambil harta pusakanya.
3 Maka beginilah firman TUHAN, “Sesungguhnya, terhadap kaum ini Aku merancang malapetaka. Kamu tidak akan dapat menjauhkan leher daripadanya. Kamu tidak akan dapat berjalan dengan sombong, kerana waktu itu waktu jahat.
4 Pada hari itu orang akan mengucapkan ibarat tentang kamu dan meratap dengan lagu perkabungan yang getir, demikian: ‘Kita telah habis rosak. Bahagian warisan bangsaku telah ditukar-Nya. Betapa Dia menyingkirkannya daripadaku! Dia membahagikan ladang-ladang kita kepada orang derhaka.’ ”
5 Oleh sebab itu takkan ada bagimu orang yang melemparkan tali pengukur melalui undian dalam jemaah TUHAN.
6 “Jangan berkhutbah,” demikianlah khutbah mereka. “Orang tidak patut berkhutbah fasal hal-hal itu. Semoga aib tidak akan menimpa kita.”
7 Patutkah hal ini dikatakan, wahai keturunan kaum Yakub? “Adakah kini Roh TUHAN kurang sabar? Seperti inikah perbuatan-Nya?” “Bukankah firman-Ku mendatangkan kebaikan bagi orang yang hidup jujur?
8 Kebelakangan ini umat-Ku bangkit seperti musuh. Kamu melucuti jubah daripada busana orang yang berlalu dengan aman, yang menolak peperangan.
9 Kamu mengusir kaum perempuan di antara umat-Ku dari rumah-rumah kesayangan mereka. Daripada bayi-bayi mereka kamu renggut buat selama-lamanya kemuliaan yang telah Kuberikan kepada mereka.
10 Segeralah pergi, kerana ini bukan lagi tempat untuk berehat. Kerana kenajisan, kamu akan dibinasakan dengan kebinasaan yang amat sangat.
11 Sekiranya ada orang yang menuruti kesia-siaan dan kebohongan sehingga dia berdusta: ‘Aku akan berkhutbah kepadamu tentang air anggur dan minuman keras,’ dialah yang akan menjadi pengkhutbah bagi bangsa ini!
12 Aku pasti menghimpunkan kamu seluruhnya, wahai Yakub, Aku pasti mengumpulkan saki-baki orang Israel. Aku akan menempatkan mereka bersama-sama seperti kawanan domba di dalam kandang, seperti kawanan ternak di tengah-tengah padangnya. Akan ada ramai sekali manusia di tempat itu!
13 Dia yang membuka jalan akan maju di depan mereka. Mereka akan menerobos melalui pintu gerbang, dan keluar dari situ. Raja mereka akan berjalan di depan mereka, yakni TUHAN yang mengepalai mereka.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mikha 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mikha 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV