1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Beritahulah orang Israel dan katakan, ‘Seandainya seseorang itu tersilap lalu berdosa tanpa disengajakan dengan melakukan satu daripada mana-mana larangan TUHAN:
3 Jika yang berdosa itu seorang imam yang telah dilantik lantas dosanya menimpakan rasa bersalah ke atas umat, maka kerana dosa yang dilakukannya itu, hendaklah dia mempersembahkan kepada TUHAN seekor lembu jantan muda yang tidak bercacat cela sebagai korban penghapus dosa.
4 Hendaklah lembu itu dibawanya ke pintu Khemah Pertemuan, ke hadapan TUHAN dan hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di hadapan TUHAN.
5 Hendaklah imam yang telah dilantik itu mengambil sebahagian daripada darah lembu itu dan membawanya ke Khemah Pertemuan.
6 Hendaklah dia mencelup jarinya ke dalam darah itu, lalu memercikkan sebahagian daripada darah itu tujuh kali di hadapan TUHAN, di depan tabir Tempat Suci.
7 Kemudian, hendaklah imam itu membubuh sebahagian daripada darah itu pada tanduk-tanduk mazbah pembakaran dupa harum yang ada di hadapan TUHAN, di dalam Khemah Pertemuan, manakala segala baki darah lembu itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah korban bakaran di depan pintu Khemah Pertemuan.
8 Hendaklah dia juga mengambil semua lemak daripada lembu korban penghapus dosa itu, iaitu lemak yang menutupi isi perut dan semua lemak yang melekat pada isi perut itu,
9 kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya di bahagian batang pinangnya, serta umbai hati yang perlu dipisahkan daripada buah pinggang itu,
10 iaitu sama seperti yang diambil daripada lembu korban kedamaian. Hendaklah imam membakar kesemua yang tersebut itu di atas mazbah korban bakaran.
11 Tetapi segala sisa lembu itu, iaitu kulitnya dan semua daging pada bahagian kepalanya, kakinya, isi perutnya, dan kotorannya,
12 hendaklah dibawanya ke suatu tempat yang suci di luar perkhemahan, ke tempat pembuangan abu. Selanjutnya hendaklah dia membakar kesemua sisa lembu itu di atas kayu api, di tempat pembuangan abu tersebut.
13 Apabila seluruh kalangan umat Israel berdosa tanpa sengaja dengan melakukan satu daripada perkara larangan TUHAN lantas mereka bersalah sekalipun tiada sesiapa yang menyedari hal itu,
14 maka setelah dosa yang dilakukan mereka disedari, hendaklah kalangan umat itu mempersembahkan seekor lembu jantan muda sebagai korban penghapus dosa. Hendaklah mereka membawa korban itu ke hadapan Khemah Pertemuan.
15 Hendaklah kalangan tua-tua umat meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu di hadapan TUHAN, lalu hendaklah lembu itu disembelih di hadapan TUHAN itu.
16 Hendaklah imam yang terlantik itu membawa sebahagian daripada darah lembu itu ke Khemah Pertemuan.
17 Hendaklah dia mencelup jarinya ke dalam darah itu lalu memercikkannya tujuh kali di hadapan TUHAN, di depan tabir.
18 Kemudian, hendaklah sebahagian daripada darah itu dibubuh pada tanduk-tanduk mazbah pendupaan yang berada di hadapan TUHAN, di dalam Khemah Pertemuan, segala baki darah lembu itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah korban bakaran di depan pintu Khemah Pertemuan.
19 Hendaklah dia juga mengambil semua lemak daripada lembu korban penghapus dosa itu dan membakarnya di atas mazbah.
20 Hendaklah diperlakukan sedemikian iaitu sebagaimana diperlakukannya ke atas lembu korban penghapus dosa. Maka hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi mereka, dan mereka akan diampuni.
21 Kemudian, hendaklah dia membawa lembu itu ke luar perkhemahan, lalu membakarnya sebagaimana yang dilakukan terhadap lembu yang pertama tadi. Itulah korban penghapus dosa untuk jemaah.
22 Apabila seorang pemimpin berdosa tanpa sengaja dengan melakukan salah satu perkara larangan TUHAN, Allahnya, lantas dia bersalah,
23 maka sesudah dosanya itu disedarinya, maka hendaklah dia membawa seekor kambing jantan yang tidak bercacat cela sebagai persembahannya.
24 Hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di tempat orang biasa menyembelih korban bakaran di hadapan TUHAN. Itulah korban penghapus dosa.
25 Maka hendaklah imam mengambil dengan jarinya sebahagian daripada darah korban penghapus dosa itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk mazbah korban bakaran manakala baki darah itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah korban bakaran itu.
26 Hendaklah semua lemak dibakarnya di atas mazbah, sama seperti lemak korban kedamaian. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosanya, dan orang itu akan diampuni.
27 Sekiranya seorang rakyat jelata berdosa tanpa sengaja dengan melakukan salah satu perkara larangan TUHAN lantas dia bersalah,
28 maka sesudah dosanya itu disedarinya, maka hendaklah dia membawa seekor kambing betina yang tidak bercacat cela sebagai persembahannya kerana dosanya itu.
29 Maka hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala korban penghapus dosa itu, lalu menyembelih korban penghapus dosa itu di tempat korban bakaran.
30 Hendaklah imam mengambil dengan jarinya sebahagian daripada darah korban penghapus dosa itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk mazbah korban bakaran manakala baki darah itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah itu.
31 Hendaklah dia memisahkan semua lemak, sama seperti lemak yang diambil daripada korban kedamaian, dan hendaklah imam membakarnya di atas mazbah menjadi korban yang keharumannya diredai TUHAN dan hendaklah imam harus mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosanya, dan orang itu akan diampuni.
32 Jika dia membawa seekor domba sebagai persembahan untuk korban penghapus dosa, maka hendaklah dia membawa seekor domba betina yang tidak bercacat cela.
33 Hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala korban penghapus dosa itu, lalu menyembelihnya sebagai korban penghapus dosa di tempat orang biasa menyembelih korban bakaran.
34 Maka hendaklah imam mengambil dengan jarinya sebahagian daripada darah korban penghapus dosa itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk mazbah korban bakaran manakala baki darah itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah korban bakaran itu.
35 Hendaklah imam memisahkan semua lemak sebagaimana lemak domba yang diambil daripada korban kedamaian, dan hendaklah imam membakarnya di atas mazbah, menjadi korban bakaran bagi TUHAN lalu hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosa yang telah dilakukannya, dan orang itu akan diampuni.