1 Begitu hebat bencana kebuluran melanda bumi itu.
2 Maka setelah gandum yang dibawa mereka dari Mesir habis dimakan, ayah mereka berkata kepada mereka, “Pergilah lagi dan beli sedikit lagi bahan makanan untuk kita.”
3 Tetapi Yehuda berkata kepadanya, “Orang itu bersungguh-sungguh mengingatkan kami, ‘Kamu tidak boleh melihat mukaku lagi, kecuali ada adikmu bersama-samamu.’
4 Jika ayah mengizinkan adik kami pergi bersama-sama kami, barulah kami akan pergi membeli bahan makanan untuk ayah.
5 Tetapi jika ayah tidak mengizinkannya, kami tidak akan pergi, kerana orang itu telah berkata kepada kami, ‘Kamu tidak boleh melihat mukaku lagi, kecuali ada adikmu bersama-samamu.’ ”
6 Lalu kata Israel, “Mengapakah kamu menyusahkan aku dengan memberitahu orang itu bahawa kamu masih ada seorang lagi adik?”
7 Jawab mereka, “Orang itu bertanya dengan terperinci mengenai kami dan tentang sanak saudara kita. Dia bertanya, ‘Masih hidupkah ayahmu? Masih ada lagikah saudaramu?’ Maka kami menjawab seperti yang kami katakan itu. Bagaimana kami tahu kemudiannya dia akan berkata, ‘Bawalah adikmu ke mari’?”
8 Lalu kata Yehuda pula kepada Israel, ayahnya, “Izinkanlah anak itu pergi bersama-samaku. Kami akan segera pergi supaya kita, iaitu kami, ayah dan anak-anak kami, dapat terus hidup dan tidak mati.
9 Akulah yang menjamin keselamatannya. Ayah boleh menuntutnya daripada tanganku. Jika aku tidak membawanya kembali kepada ayah dan menyerahkannya kepada ayah, maka seumur hiduplah aku akan menanggung dosa terhadap ayah.
10 Jika kita tidak berlengah, tentunya sekarang ini pun kami sudah pulang untuk kali kedua.”
11 Lalu berkatalah Israel, ayah mereka, kepada mereka, “Jika memang perlu begitu, lakukanlah sebegini: Bawalah hasil terbaik negeri ini di dalam karung-karung kamu, dan bawalah kepada orang itu persembahan berupa sedikit balsam, sedikit madu, rempah-rempah, damar wangi, buah pistasio, dan buah badam.
12 Selain itu, bawalah wang sebanyak dua kali ganda dan wang yang dahulu dikembalikan di mulut karungmu masing-masing haruslah kamu bawa kembali. Mungkin terjadi kekeliruan pada masa itu.
13 Bawalah adikmu juga dan segeralah kembali kepada orang itu.
14 Kiranya Allah Yang Maha Kuasa menganugerahi aku belas kasihan di hadapan orang itu semoga dia melepaskan saudaramu yang lain itu dan juga Benyamin. Bagi diriku, sekiranya aku harus kehilangan anak-anakku, biarlah aku mengalami kehilangan itu.”
15 Lalu mereka menyiapkan segala barang persembahan itu berserta wang sebanyak dua kali ganda dan bersama-sama Benyamin, pergilah mereka ke Mesir. Sesampainya di sana, berdirilah mereka di hadapan Yusuf.
16 Ketika Yusuf melihat Benyamin ada bersama-sama mereka, berkatalah dia kepada pengawas rumah tangganya, “Bawalah para lelaki itu ke dalam rumah. Sembelihlah seekor haiwan dan sediakanlah makanan, kerana mereka itu akan makan bersama-samaku pada tengah hari ini.”
17 Orang itu melaksanakan perintah Yusuf, lalu dia membawa mereka masuk ke rumah Yusuf.
18 Para saudara itu menjadi ketakutan kerana mereka dibawa masuk ke rumah Yusuf. Kata mereka, “Kita dibawa masuk atas sebab wang yang dikembalikan ke dalam karung kita dahulu. Dia hendak menuduh kita, menangkap kita, menjadikan kita hamba-hambanya, serta mengambil keldai-keldai kita pula.”
19 Oleh sebab itu mereka mendekati pengawas rumah tangga Yusuf itu dan berbicara dengannya di depan pintu rumah.
20 Kata mereka, “Ya tuanku, dahulu memang kami pernah datang untuk membeli bahan makanan.
21 Pada waktu kami sampai di tempat bermalam dan membuka karung kami, kelihatan sejumlah wang yang telah kami bayar sebelumnya ada di mulut karung. Tetapi sekarang kami membawanya kembali,
22 dan kami juga membawa sejumlah wang lain untuk membeli bahan makanan. Kami tidak tahu siapa yang meletakkan wang itu ke dalam karung-karung kami.”
23 Kata pengawas itu, “Tenanglah, jangan takut! Allahmu dan Allah ayahmu telah mengurniakan kepadamu harta karun di dalam karungmu. Wangmu dahulu telah kuterima.” Kemudian dia mengeluarkan Simeon dan membawanya kepada mereka.
24 Setelah itu, dia membawa mereka masuk ke rumah Yusuf lalu memberi mereka air supaya mereka dapat membasuh kaki. Kemudian dia memberi keldai-keldai mereka makan.
25 Mereka menyiapkan persembahan mereka sambil menantikan kedatangan Yusuf pada tengah hari, kerana mereka mendengar bahawa mereka akan dijamu makan di situ.
26 Sesudah Yusuf pulang ke rumah, mereka pun menyerahkan kepada Yusuf segala persembahan yang dibawa masuk oleh mereka lalu mereka sujud di hadapannya memberi hormat.
27 Yusuf bertanyakan keadaan mereka, lalu katanya, “Baikkah keadaan ayahmu, orang tua yang kamu ceritakan itu? Masih hidupkah dia?”
28 Jawab mereka, “Hambamu, ayah kami, baik-baik dan masih hidup.” Lalu mereka membongkok dan sujud memberi hormat.
29 Yusuf memandang mereka lalu dilihatnya Benyamin, adiknya, saudara yang seibu dengannya. Tanyanya, “Inikah adikmu yang bongsu, yang kamu ceritakan kepadaku?” Katanya pula, “Kiranya Allah bermurah hati kepadamu, anakku!”
30 Yusuf pun segera beredar mencari tempat untuk menangis kerana hatinya sangat terharu melihat adiknya. Dia memasuki biliknya dan menangis di situ.
31 Setelah itu, dia membasuh mukanya dan keluar. Sambil menahan diri dia berkata, “Sajikan makanan.”
32 Makanan pun disajikan, di tempat Yusuf tersendiri, dengan para saudaranya di tempat tersendiri, dan tempat tersendiri juga bagi para warga Mesir yang makan bersama-sama. Orang Mesir memang tidak boleh makan sehidangan dengan orang Ibrani kerana bagi warga Mesir perkara itu suatu yang keji.
33 Para saudara Yusuf didudukkan di hadapannya menurut urutan kelahiran mereka, daripada yang sulung sampai yang bongsu. Mereka pun saling berpandang-pandangan dalam kehairanan.
34 Kemudian sebahagian hidangan dari meja Yusuf disajikan di hadapan mereka masing-masing, tetapi bahagian untuk Benyamin disajikan lima kali lebih banyak daripada bahagian untuk semua yang lain. Mereka pun minum dan bersuka ria dengan Yusuf.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 43
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 43

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV