1 Yakub tinggal di negeri tempat ayahnya menjadi pendatang, iaitu di Tanah Kanaan.
2 Inilah salasilah keturunan Yakub. Maka Yusuf anaknya yang berusia tujuh belas tahun itu menggembalakan kawanan ternakan bersama-sama para saudaranya. Dia yang masih muda itu menyertai anak Bilha dan Zilpa, kedua-dua isteri ayahnya, dan Yusuf sering menyampaikan laporan yang buruk tentang saudara-saudaranya kepada ayahnya.
3 Israel memang lebih mengasihi Yusuf daripada semua anaknya yang lain, kerana dialah anak yang lahir pada masa tuanya. Maka dia membuatkan untuk Yusuf sehelai jubah indah yang berlengan panjang.
4 Apabila para saudaranya melihat betapa ayah mereka lebih mengasihi Yusuf berbanding dengan kesemua saudaranya, mereka pun membencinya dan tidak mahu ramah mesra jika berbicara dengannya.
5 Yusuf yang mendapat satu mimpi menceritakan mimpinya itu kepada para saudaranya lalu mereka menjadi semakin benci kepadanya.
6 Kata Yusuf kepada mereka, “Dengarlah mimpi yang kudapat ini.
7 Sewaktu kita sedang mengikat berkas-berkas gandum di ladang, tiba-tiba berkas gandumku bangkit dan berdiri tegak, lalu datanglah berkas-berkas gandummu mengelilingi berkas gandumku dan sujud memberi hormat.”
8 Kata para saudaranya kepadanya, “Masakan engkau mahu bertakhta atas kami atau berkuasa atas kami?” Tentunya mereka menjadi semakin benci kepadanya atas sebab mimpinya serta kata-katanya itu.
9 Setelah itu Yusuf bermimpi suatu mimpi yang lain, lalu dia menceritakannya kepada para saudaranya, katanya, “Dengar, aku bermimpi lagi. Kelihatan matahari, bulan, dan sebelas butir bintang sujud memberi hormat kepadaku.”
10 Tetapi, ketika Yusuf menceritakan mimpinya itu kepada ayahnya serta para saudaranya, ayahnya mengherdiknya dan berkata kepadanya, “Mimpi apa itu? Akankah aku, ibumu, dan para saudaramu datang dan sujud memberi hormat kepadamu?”
11 Maka para saudaranya menaruh hasad dengki terhadap dia namun ayahnya menyimpan hal itu dalam hatinya.
12 Ketika para saudara Yusuf pergi menggembala kawanan ternakan ayah mereka dekat Sikhem,
13 berkatalah Israel kepada Yusuf, “Para saudaramu sedang menggembala kawanan ternakan dekat Sikhem, bukan? Marilah, aku mahu menyuruh kamu pergi menemui mereka.” Jawab Yusuf, “Ya, ayah.”
14 Lalu dia berpesan kepada Yusuf, “Pergi dan lihatlah sama ada para saudaramu serta seluruh kawanan ternakan dalam keadaan baik. Setelah itu, kembalilah dan khabarkan kepadaku.” Lalu dia menyuruh Yusuf pergi melalui Lembah Hebron. Yusuf pun sampai di Sikhem.
15 Dia berjalan ke sana ke mari di padang, lalu bertemu dengan seorang lelaki. Tanya orang itu kepadanya, “Apakah yang kamu cari?”
16 Jawabnya, “Aku mencari para saudaraku. Tolong beritahu aku, di mana mereka menggembala ternakan mereka.”
17 Kata orang itu, “Mereka sudah berangkat dari sini, kerana kudengar mereka berkata, ‘Mari kita pergi ke Dotan.’ ” Maka pergilah Yusuf menyusul para saudaranya, lalu menemui mereka di Dotan.
18 Para saudaranya melihat dia dari jauh. Tetapi sebelum Yusuf tiba dekat mereka, bermuafakatlah mereka untuk membunuhnya.
19 Kata mereka sesama sendiri, “Lihat, si tukang mimpi itu datang!
20 Sekarang, mari kita bunuh dia dan kita humban mayatnya ke dalam salah sebuah perigi di sini. Kita katakan sahaja bahawa dia dimakan oleh binatang buas. Nanti kita lihat, apa yang akan terjadi dengan segala mimpinya itu!”
21 Tetapi ketika Ruben mendengar hal itu, dia berusaha menyelamatkan Yusuf daripada perbuatan tangan mereka itu. Katanya, “Jangan kita bunuh dia.”
22 Kata Ruben lagi kepada mereka, “Jangan tumpahkan darah. Lemparkan dia sahaja ke dalam perigi yang ada di gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Maksudnya adalah untuk menyelamatkan Yusuf daripada penganiayaan mereka dan membawanya kembali kepada ayahnya.
23 Maka setibanya Yusuf di tempat para saudaranya, mereka menanggalkan jubahnya, iaitu jubah indah berlengan panjang yang dipakainya itu,
24 lalu membawa dia dan melemparkannya ke dalam sebuah perigi yang kosong, tidak berair.
25 Setelah itu, mereka pun duduk untuk makan roti. Ketika mendongak, mereka terlihat ada sebuah kafilah bani Ismael yang datang dari Gilead. Unta mereka sarat dengan muatan rempah-ratus, balsam, dan damar wangi untuk dibawa ke Mesir.
26 Lalu berkatalah Yehuda kepada para saudaranya, “Apa untungnya kita membunuh adik kita dan menyembunyikan darahnya?
27 Mari kita jualkannya kepada bani Ismael ini. Jangan kita cederakan dia, kerana dia memang adik kita, darah daging kita.” Maka para saudaranya pun menyetujui kata-katanya.
28 Ketika para saudagar Midian itu tiba berdekatan mereka, Yusuf ditarik dan diangkat keluar dari dalam perigi, lalu dijual kepada bani Ismael itu dengan harga dua puluh keping perak. Maka kumpulan orang itu pun membawa Yusuf ke Mesir.
29 Ketika Ruben kembali ke perigi itu, dilihatnya Yusuf sudah tiada di dalam perigi. Maka dia pun mengoyakkan pakaiannya.
30 Dia kembali kepada para saudaranya dan berkata, “Budak itu tidak ada lagi! Ke manakah aku harus pergi sekarang?”
31 Lalu mereka menyembelih seekor kambing jantan lalu mengambil jubah Yusuf dan mencelupkan jubah tersebut ke dalam darah kambing tadi.
32 Setelah itu, mereka membawa jubah indah berlengan panjang itu kepada ayah mereka lalu berkata, “Kami menemukan jubah ini. Periksalah, adakah ini jubah anak Bapa atau bukan?”
33 Yakub memeriksanya, lalu berkata, “Ini jubah anakku! Binatang buas menyerangnya! Pasti Yusuf telah dikoyak-koyakkan oleh binatang itu!”
34 Lalu Yakub mengoyakkan pakaiannya dan mengenakan pakaian berkabung lalu diratapinya anaknya itu berhari-hari lamanya.
35 Semua anaknya baik lelaki mahupun perempuan berusaha menghiburkannya, tetapi dia enggan dihiburkan. Katanya, “Tidak! Dengan meratap aku akan turun mendapatkan anakku di alam kubur.” Demikianlah Yusuf ditangisi oleh ayahnya.
36 Sementara itu, di negeri Mesir Yusuf dijual oleh orang Midian itu kepada Potifar, seorang pegawai istana Firaun iaitu ketua pengawal diraja.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 37
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 37

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV