1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Beritahu orang Israel dan katakanlah kepada mereka, ‘Jika seseorang bernazar secara khusus kepada TUHAN untuk mempersembahkan pemberian setara dengan nilai seorang manusia, maka orang yang dinazarkan itu boleh ditebus menurut nilai yang kautetapkan.
3 Maka bagi lelaki yang berumur dalam lingkungan dua puluh tahun sampai enam puluh tahun hendaklah kaunilai lima puluh syikal perak, menurut syikal rasmi Khemah Suci.
4 Akan tetapi sekiranya orang itu perempuan, maka hendaklah kaunilai sebanyak tiga puluh syikal.
5 Lelaki berumur lima tahun sampai dua puluh tahun hendaklah kaunilai dua puluh syikal, sedangkan perempuan sepuluh syikal.
6 Lelaki berumur satu bulan sampai lima tahun hendaklah kaunilai lima syikal perak, sedangkan perempuan tiga syikal perak.
7 Lelaki berusia enam puluh tahun ke atas hendaklah kaunilai lima belas syikal, sedangkan perempuan sepuluh syikal.
8 Akan tetapi, jika orang itu terlampau miskin untuk membayar nilai yang kautetapkan, maka hendaklah dia menghadapkan orang yang dinazarkan itu kepada imam, lalu orang ini harus dinilai oleh imam. Kemudian imam akan menetapkan nilainya berdasarkan kemampuan orang yang bernazar itu.
9 Jika yang dinazarkannya ialah seekor haiwan yang biasa dipersembahkan kepada TUHAN sebagai korban, maka bahagian apa-apa pun daripada haiwan itu yang dipersembahkan kepada TUHAN akan menjadi suci.
10 Tidak boleh diganti serta ditukar haiwan yang baik dengan yang buruk atau yang buruk dengan yang baik. Tetapi jika ditukarkannya haiwan itu dengan seekor haiwan lain, maka haiwan itu mahupun haiwan tukarannya menjadi suci.
11 Jika yang dinazarkannya ialah seekor haiwan yang najis, yang tidak boleh dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN, maka haiwan itu harus dihadapkan kepada imam.
12 Hendaklah imam menetapkan nilainya menurut baik-buruknya, dan selaras dengan penilaian imam demikianlah jadinya.
13 Tetapi jika orang itu hendak menebusnya, maka hendaklah dia menambah seperlima daripada nilai yang kautetapkan.
14 Jika seseorang mentakdiskan rumahnya sebagai persembahan suci kepada TUHAN, maka hendaklah imam menetapkan nilainya menurut baik-buruknya. Lalu selaras dengan penilaian imam, demikianlah harus ditetapkan.
15 Jika orang yang mentakdiskan rumahnya itu hendak menebusnya, maka hendaklah dia menambah seperlima daripada nilai yang ditetapkan, lalu rumah itu pun menjadi miliknya kembali.
16 Jika seseorang mentakdiskan sebahagian daripada ladang miliknya kepada TUHAN, maka penilaianmu hendaklah berdasarkan jumlah benihnya, iaitu ukuran satu homer benih barli berharga lima puluh syikal perak.
17 Jika dia mentakdiskan ladangnya sejak Tahun Pembebasan, maka selaras dengan penilaianmu, demikianlah harus ditetapkan.
18 Tetapi jika dia mentakdiskan ladangnya selepas Tahun Pembebasan, maka hendaklah imam menghitung harganya bagi orang itu berdasarkan baki bilangan tahun sehingga Tahun Pembebasan. Kemudian hendaklah harga itu dikurangkan daripada jumlah nilai yang kautetapkan.
19 Jika orang yang mentakdiskan ladang itu benar-benar ingin menebusnya, maka hendaklah dia menambah seperlima daripada nilai yang kautetapkan, dan ladang itu akan ditetapkan baginya.
20 Jika dia tidak mahu menebus ladang itu atau jika dia sudah menjual ladang itu kepada orang lain, maka ladang itu tidak boleh ditebus lagi.
21 Namun demikian, ketika bebas pada Tahun Pembebasan, ladang itu menjadi suci bagi TUHAN, seperti tanah yang telah dikhaskan bagi TUHAN. Kemudian ladang itu akan menjadi milik imam.
22 Jika dia mentakdiskan ladang yang telah dibelinya bagi TUHAN, yang tidak termasuk ladang miliknya,
23 maka hendaklah imam menghitung bagi orang itu harga penilaian sampai Tahun Pembebasan. Hendaklah orang itu membayar nilai yang kautetapkan pada hari itu juga sebagai persembahan suci kepada TUHAN.
24 Pada Tahun Pembebasan hendaklah ladang itu dipulangkan kepada orang yang menjualnya kepadanya, iaitu kepada orang yang memiliki tanah itu.
25 Hendaklah kesemua penilaian kamu menurut syikal rasmi Khemah Suci iaitu satu syikal beratnya dua puluh gera.
26 Yang tidak boleh ditakdiskan hanyalah anak-anak sulung haiwan, baik lembu mahupun domba, yang memang menjadi hak TUHAN.
27 Jika haiwan itu termasuk salah satu haiwan yang najis, maka hendaklah orang menebusnya menurut nilai yang kautetapkan dengan menambah seperlimanya. Jika tidak ditebus, haiwan itu harus dijual menurut yang kautetapkan.
28 Namun begitu, segala sesuatu daripada milik seseorang yang sudah dikhususkan bagi TUHAN, baik manusia, haiwan, mahupun ladangnya, tidak boleh dijual dan tidak boleh ditebus. Semua yang dikhususkan itu teramat suci bagi TUHAN.
29 Bahkan manusia yang dikhususkan untuk dihukum mati pun tidak boleh ditebus. Hendaklah dia dihukum mati.
30 Semua persembahan sepersepuluh daripada hasil tanah, baik biji-bijian daripada tanah mahupun daripada buah pohon-pohonan, ialah milik TUHAN. Itu ialah bahagian suci bagi TUHAN.
31 Akan tetapi, jika seseorang hendak menebus sebahagian daripada persembahan sepersepuluhnya, maka hendaklah dia menambah seperlima daripada nilainya.
32 Sepersepuluh daripada kawanan lembu atau kawanan domba, iaitu haiwan kesepuluh yang berlalu di bawah tongkat gembala sewaktu dihitung, harus menjadi persembahan suci bagi TUHAN.
33 Jangan memilih-milih yang baik daripada yang buruk, dan janganlah tukarkannya. Tetapi jika ditukarnya juga, maka haiwan itu serta haiwan tukarannya menjadi suci dan tidak boleh ditebus.’ ”
34 Itulah perintah-perintah yang diberikan TUHAN kepada Musa di Gunung Sinai untuk orang Israel.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Imamat 27
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Imamat 27

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV