1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Katakanlah kepada Harun dan anak-anaknya serta kepada seluruh orang Israel, ‘Inilah yang diperintahkan oleh TUHAN:
3 Apabila sesiapa daripada keturunan kaum Israel menyembelih lembu, domba, atau kambing baik di dalam mahupun di luar perkhemahan
4 namun tidak membawanya untuk dipersembahkan di pintu Khemah Pertemuan sebagai korban kepada TUHAN di hadapan Khemah Suci-Nya, maka orang itu dianggap berhutang darah iaitu dia telah menumpahkan darah, maka dia harus disingkirkan daripada kalangan bangsanya.
5 Perintah itu bertujuan agar korban sembelihan yang biasa dipersembahkan oleh orang Israel di padang terbuka mereka dibawa kepada TUHAN dengan menyerahkannya kepada imam di pintu Khemah Pertemuan, dan dipersembahkan sebagai korban kedamaian kepada TUHAN.
6 Hendaklah imam memercikkan darah korban itu ke mazbah TUHAN di pintu Khemah Pertemuan, lalu membakar lemaknya hingga keharumannya diredai TUHAN.
7 Mereka tidak boleh lagi mempersembahkan korban sembelihan mereka kepada jin kambing – sebelumnya mereka seumpama menyundalkan diri dengan menyembah jin itu. Inilah peraturan yang tetap dan berkekalan terhadap mereka turun-temurun.
8 Katakanlah ini juga kepada mereka: Apabila sesiapa daripada keturunan kaum Israel atau warga asing yang menghuni dengan mereka mempersembahkan korban bakaran atau korban sembelihan
9 namun tidak dibawanya untuk mempersembahkannya di pintu Khemah Pertemuan sebagai korban kepada TUHAN, maka hendaklah orang itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya.’ ”
10 “Apabila sesiapa daripada keturunan kaum Israel atau warga asing yang menghuni dengan mereka memakan darah, dia akan Aku musuhi dan akan Aku singkirkan daripada kalangan bangsanya.
11 Nyawa sesuatu makhluk itu ada dalam darahnya, dan Aku telah menentukan agar darah itu dicurahkan bagimu di atas mazbah untuk pendamaian demi nyawamu, kerana darah yang merupakan nyawa, memungkinkan terjadinya pendamaian.
12 Atas sebab itulah Aku berfirman kepada orang Israel: Tiada seorang pun antara kamu boleh makan darah dan begitu jugalah warga asing yang menghuni antara kamu.
13 Apabila sesiapa daripada umat Israel atau warga asing yang menghuni dengan kamu memburu seekor binatang atau burung yang halal dimakan, hendaklah dia menumpahkan darah makhluk itu lalu menutupinya dengan tanah;
14 sebab bagi setiap makhluk, darahnya ialah nyawanya. Lantaran itu Aku berfirman kepada orang Israel: Janganlah kamu memakan darah makhluk apa-apa pun, kerana nyawa setiap makhluk ada dalam darahnya. Hendaklah sesiapa pun yang memakannya disingkirkan.
15 Hendaklah setiap orang, baik warga asli mahupun warga asing, yang memakan bangkai atau haiwan yang dikoyak-koyak oleh binatang buas, mencuci pakaiannya, mandi di dalam air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. Sesudah itu barulah dia menjadi suci.
16 Tetapi jika dia tidak mencuci pakaiannya dan tidak membasuh tubuhnya, hendaklah dia menanggung akibat daripada kesalahannya.”