1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Inilah hukum tentang orang yang menghidap jangkitan penyakit pada hari penyuciannya. Hendaklah orang itu dibawa kepada imam,
3 dan hendaklah imam pergi ke luar perkhemahan lalu menjalankan pemeriksaan terhadap jangkitan itu. Jika terbukti orang itu telah sembuh daripada jangkitan penyakit yang dihidapinya,
4 maka hendaklah imam memerintahkan agar dibawa dua ekor burung hidup yang halal, kayu araz, secebis kain merah menyala, dan ranting hisop bagi orang yang hendak disucikan itu.
5 Kemudian hendaklah dia memerintahkan salah seekor burung disembelih di atas belanga tanah yang diletakkan di atas air yang mengalir.
6 Kemudian hendaklah dia mengambil dan mencelup burung yang masih hidup itu ke dalam darah burung yang sudah disembelih itu, bersama-sama kayu araz, kain merah menyala, dan ranting hisop.
7 Hendaklah dia memerciki orang yang hendak disucikan daripada jangkitan penyakit itu sebanyak tujuh kali dan mengisytiharkan orang itu suci, lalu hendaklah dia melepaskan burung yang hidup itu di padang yang terbuka.
8 Hendaklah orang yang akan disucikan itu mencuci pakaiannya, mencukur semua rambutnya, dan membasuh dirinya dengan air, barulah dia menjadi suci. Sesudah itu dia boleh masuk ke dalam perkhemahan, tetapi hendaklah dia tinggal selama tujuh hari di luar khemahnya.
9 Pada hari ketujuh hendaklah dia mencukur semua rambutnya, iaitu rambut kepala, janggut, alis, bahkan seluruh bulu di tubuhnya. Hendaklah dia mencuci pakaiannya, membasuh tubuhnya di dalam air, dan dia akan menjadi suci.
10 Pada hari kelapan hendaklah dia mengambil dua ekor domba jantan yang tidak bercacat cela, seekor domba betina berumur setahun yang tidak bercacat cela, tiga persepuluh efa tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan, dan satu log minyak zaitun.
11 Hendaklah imam yang menjalankan penyucian itu menghadapkan orang itu dan persembahannya ke hadirat TUHAN, di depan pintu Khemah Pertemuan.
12 Hendaklah imam mengambil seekor daripada domba jantan itu lalu mempersembahkannya sebagai korban penebus kesalahan bersama minyak zaitun sebanyak satu log, dan mengunjukkannya sebagai persembahan unjukan di hadapan TUHAN.
13 Hendaklah dia menyembelih domba itu di tempat orang biasa menyembelih korban penghapus dosa dan korban bakaran, iaitu di tempat suci, kerana sama seperti korban penghapus dosa, korban penebus kesalahan pun menjadi bahagian imam yakni korban itu teramat suci.
14 Hendaklah imam mengambil sebahagian daripada darah korban penebus kesalahan itu lalu membubuhnya pada cuping telinga kanan orang yang hendak disucikan, pada ibu jari tangan kanannya, serta ibu jari kaki kanannya.
15 Kemudian, hendaklah imam mengambil sebahagian daripada satu log minyak zaitun itu dan menuangkannya di telapak tangan kirinya
16 lalu hendaklah dia mencelup jari tangan kanannya ke dalam minyak di telapak tangan kirinya itu, lantas memercikkan sebahagian daripada minyak itu dengan jarinya tujuh kali di hadapan TUHAN.
17 Daripada baki minyak di telapak tangannya, hendaklah imam membubuh sebahagian pada cuping telinga kanan orang yang hendak disucikan, pada ibu jari tangan kanannya serta ibu jari kaki kanannya, di atas bekas darah korban penebus kesalahan.
18 Minyak selebihnya di telapak tangan hendaklah dibubuh imam pada kepala orang yang hendak disucikan. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu di hadapan TUHAN.
19 Kemudian hendaklah imam mempersembahkan korban penghapus dosa dan mengadakan pendamaian bagi orang yang hendak disucikan daripada kenajisannya. Sesudah itu hendaklah dia menyembelih korban bakaran.
20 Hendaklah imam mempersembahkan korban bakaran dan persembahan bahan makanan di atas tempat pembakaran korban, lalu hendaklah dia mengadakan pendamaian bagi orang itu, dan orang itu akan menjadi suci.
21 Jika orang itu miskin dan tidak mampu, maka hendaklah dia membawa seekor domba jantan sebagai korban penebus kesalahan yang akan diunjukkan oleh imam yang mengadakan pendamaian bagi orang itu. Selain itu hendaklah orang itu juga membawa sepersepuluh efa tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan, satu log minyak zaitun,
22 serta dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati mengikut kemampuannya. Seekor adalah untuk dijadikan korban penghapus dosa dan seekor untuk menjadi korban bakaran.
23 Pada hari kelapan hendaklah dia membawa kesemua persembahan itu kepada imam di depan pintu Khemah Pertemuan, di hadapan TUHAN, untuk penyuciannya.
24 Hendaklah imam mengambil anak domba korban penebus kesalahan dan minyak zaitun sebanyak satu log, lalu mengunjukkan semua itu sebagai persembahan unjukan di hadapan TUHAN.
25 Hendaklah imam juga menyembelih domba korban penebus kesalahan, lalu mengambil sebahagian daripada darah korban penebus kesalahan itu dan membubuhnya pada cuping telinga kanan orang yang hendak disucikan, pada ibu jari tangan kanannya serta ibu jari kaki kanannya.
26 Kemudian hendaklah imam menuangkan sebahagian daripada minyak itu ke telapak tangan kirinya sendiri,
27 lalu memercikkan sebahagian daripada minyak di telapak tangan kirinya itu dengan jari kanannya sebanyak tujuh kali di hadapan TUHAN.
28 Selanjutnya hendaklah imam membubuh sebahagian daripada minyak di telapak tangannya itu pada cuping telinga kanan orang yang hendak disucikan, pada ibu jari tangan kanannya serta ibu jari kaki kanannya, di tempat yang sama seperti bagi darah korban penebus kesalahan.
29 Akhir sekali, hendaklah imam membubuh baki minyak itu di telapak tangan lalu dibubuhnya pada kepala orang yang hendak disucikan demi mengadakan pendamaian bagi orang itu di hadapan TUHAN.
30 Kemudian hendaklah dia mempersembahkan seekor daripada burung tekukur atau anak burung merpati yang dibawa orang itu mengikut kemampuannya
31 iaitu seekor untuk korban penghapus dosa dan seekor untuk korban bakaran, berserta persembahan bahan makanan. Hendaklah imam mengadakan pendamaian demi orang yang hendak disucikan itu di hadapan TUHAN.
32 Begitulah hukum tentang orang yang menghidap jangkitan penyakit yang tidak mampu membawa persembahan untuk penyuciannya.”
33 TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,
34 “Apabila kamu telah sampai di Tanah Kanaan yang akan Kukurniakan kepadamu sebagai milikmu dan Aku mendatangkan tanda jangkitan penyakit di sebuah rumah di tanah milikmu itu,
35 maka hendaklah pemilik rumah itu datang memberitahukan kepada imam demikian, ‘Padaku, kelihatannya ada semacam tanda jangkitan di rumahku.’
36 Imam memerintahkan agar rumah itu dikosongkan sebelum dia datang untuk memeriksanya, supaya bukan semua isi rumah itu diisytiharkan sebagai najis kelak. Setelah itu, barulah imam datang untuk memeriksa rumah itu.
37 Hendaklah dia memeriksa tanda jangkitan itu. Jika terbukti tanda pada dinding rumah itu berupa lekuk-lekuk yang kehijau-hijauan atau kemerah-merahan, dan kelihatannya berakar lebih dalam daripada permukaan dinding,
38 maka hendaklah imam keluar dari rumah itu melalui pintu rumah lalu menutup rumah itu selama tujuh hari.
39 Kemudian pada hari ketujuh hendaklah imam datang untuk menjalankan pemeriksaan semula. Jika terbukti tanda itu meluas pada dinding rumah,
40 maka hendaklah dia memerintahkan agar batu-batu yang memiliki tanda jangkitan itu dicungkil dan dibuang ke luar kota, yakni ke sebuah tempat yang najis.
41 Hendaklah dia juga memerintahkan agar seluruh bahagian dalam rumah itu dikikis dan lepa yang terkikis itu hendaklah dibuang ke luar kota, di sebuah tempat yang najis.
42 Akhir sekali, hendaklah batu-batu lain diambil untuk dipasang menggantikan batu-batu yang dibuang tadi, lalu rumah itu harus disapukan dengan lepa yang baru.
43 Jika tanda jangkitan itu muncul kembali dan meluas di dalam rumah itu sesudah batu-batunya dicungkil, dan sesudah dinding-dindingnya dikikis serta dilepa kembali,
44 maka hendaklah imam datang untuk menjalankan pemeriksaan. Jika terbukti tanda itu kian meluas di dalam rumah, maka rumah itu terkena penyakit kusta yang berjangkit, dan rumah itu najis.
45 Batu-batunya, kayu-kayunya, dan seluruh lepa rumah itu hendaklah dibongkar, lalu semuanya hendaklah dibawa ke luar kota, ke sebuah tempat yang najis.
46 Tambahan pula, sesiapa yang masuk ke dalam rumah itu pada bila-bila masa selama rumah itu ditutup, dia menjadi najis sampai waktu maghrib.
47 Hendaklah sesiapa berbaring ataupun makan di dalam rumah itu mencuci pakaiannya.
48 Jika imam datang dan menurut pemeriksaannya ternyata tanda itu tidak meluas di dalam rumah sesudah rumah itu dilepa, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa rumah itu suci kerana tanda-tanda itu telah lenyap.
49 Untuk menyucikan rumah itu hendaklah dia mengambil dua ekor burung, kayu araz, kain merah menyala, dan ranting hisop.
50 Hendaklah dia menyembelih salah seekor burung di dalam belanga tanah yang diletakkan di atas air yang mengalir.
51 Kemudian hendaklah dia mengambil kayu araz, ranting hisop, kain merah menyala, dan burung yang masih hidup itu lalu mencelup kesemuanya ke dalam darah burung yang telah disembelih serta air segar tadi, untuk selanjutnya memerciki rumah itu tujuh kali.
52 Hendaklah dia menyucikan rumah itu dengan darah burung, air segar, burung yang hidup, kayu araz, ranting hisop, dan kain merah menyala itu
53 lalu burung yang hidup itu hendaklah pula dilepaskannya di padang yang terbuka di luar kota. Demikianlah caranya dia perlu mengadakan pendamaian bagi rumah itu, dan rumah itu menjadi suci.
54 Itulah hukum tentang semua jenis kudis, jangkitan penyakit,
55 tentang jangkitan penyakit pada pakaian dan rumah,
56 tentang bengkak, ruam, serta bintik-bintik.
57 Hukum ini memberikan petunjuk tentang yang mana najis dan yang mana suci. Itulah hukum tentang jangkitan berpenyakit.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Imamat 14
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Imamat 14

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV