1 “Bersiaplah untuk meniup sangkakala! Ada serangan seperti rajawali atas Bait TUHAN, kerana bangsa itu telah melanggar perjanjian-Ku dan menderhaka terhadap hukum-Ku.
2 Mereka akan berseru kepada-Ku, ‘Ya Allahku, kami orang Israel mengenal Engkau.’
3 Israel telah menolak dengan angkuh hal-hal yang baik. Musuh akan mengejar dia.
4 Mereka mengangkat raja-raja, tetapi tanpa restu-Ku. Mereka mengangkat para pembesar, tetapi tanpa persetujuan-Ku. Daripada emas dan perak mereka membuat berhala-berhala untuk diri mereka, sehingga mereka dilenyapkan.
5 Patung anak lembumu telah dibuang, wahai Samaria. Murka-Ku menyala-nyala terhadap mereka itu. Sampai bilakah mereka tidak dapat disucikan?
6 Patung itu berasal dari Israel. Itu dibuat oleh tukang, bukan oleh Allah! Patung anak lembu Samaria itu akan menjadi sekadar kepingan serpihan.
7 Kerana angin yang disemai mereka, maka puting beliung kelak dituai. Tiada batang gandum yang menerbitkan bulir, maka tiada tunas yang menghasilkan tepung. Kalaupun ada penghasilan, ia akan ditelan orang asing.
8 Israel ditelan. Sekarang mereka berada di antara bangsa, seperti wadah yang tidak diingini orang.
9 Mereka telah pergi ke Asyur seperti keldai liar mengembara sendirian; Efraim mengupah pelacur untuk menjadi kekasih.
10 Sekalipun mereka mengupah sekutu daripada kalangan bangsa, sekarang Aku akan mengumpulkan mereka. Mereka akan semakin susut di bawah tekanan raja serta para pembesar itu.
11 Lantaran Efraim terus memperbanyak bilangan mazbah berhala sehingga berdosa; mazbah-mazbah itu telah menjadikan mereka berdosa.
12 Biarpun Aku menuliskan baginya banyak pengajaran hukum-Ku, tetapi semua itu dianggap hal yang aneh.
13 Mengenai korban sembelihan yang dibawa mereka kepada-Ku: mereka mempersembahkan daging dan memakannya, tetapi TUHAN tidak berkenan kepada mereka. Sekarang Dia akan mengingat kesalahan mereka dan membalas dosa mereka; mereka akan kembali ke Mesir.
14 Israel telah melupakan Penciptanya dan membangunkan istana-istana. Yehuda memperbanyak kota berkubu, tetapi Aku akan menujukan api ke kota-kotanya yang akan memakan hangus puri-purinya.”