1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Perintahkanlah orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu telah memasuki Tanah Kanaan, maka itulah negeri yang akan menjadi harta pusakamu, iaitu Tanah Kanaan menurut semua perbatasannya.
3 Sempadan selatanmu ialah dari Gurun Zin berpinggirkan Edom. Batas selatanmu dari hujung Laut Mati ke arah timur,
4 kemudian membelok ke selatan Tanjakan Akrabim, dan menyeberangi ke Zin, dan berakhir di sebelah selatan Kadesh-Barnea. Dari situ perbatasan berlanjutan ke Hazar-Adar dan terus ke Azmon,
5 lalu dari Azmon membelok ke Wadi Mesir dan berakhir di laut.
6 Sempadan barat wilayah kamu ialah Laut Besar dan sepanjang pesisirnya. Itulah sempadan barat kamu.
7 Bagi sempadan utara kamu, tentukanlah tanda perbatasan dari Laut Besar ke Gunung Hor,
8 lalu dari Gunung Hor ke jalan masuk menuju Hamat, hingga berakhir di Zedad.
9 Kemudian perbatasan menjalar ke Zifron dan berakhir di Hazar-Enan. Itulah perbatasan utara kamu.
10 Tentukanlah tanda sempadan kamu di sebelah timur dari Hazar-Enan ke Sefam.
11 Dari Sefam perbatasan menurun ke Ribla, di sebelah timur Ain, kemudian menurun lagi hingga sampai ke lereng Danau Kineret di sebelah timur.
12 Selanjutnya batas turun ke Sungai Yordan dan berakhir di Laut Mati. Itulah negerimu dengan perbatasan yang mengelilinginya.’ ”
13 Musa memberikan perintah kepada orang Israel, “Itulah negeri yang akan kamu warisi dengan mencabut undi. TUHAN memerintahkan agar negeri itu diberikan kepada suku yang sembilan setengah itu,
14 kerana setiap kaum keluarga dalam suku bani Ruben, dan setiap kaum keluarga dalam suku bani Gad telah menerima harta pusaka mereka, demikian jugalah halnya dengan separuh suku Manasye.
15 Kedua-dua suku serta setengah suku itu telah menerima harta pusaka mereka di seberang Sungai Yordan dekat Yerikho, iaitu di sebelah timur, ke arah matahari terbit.”
16 TUHAN berfirman kepada Musa,
17 “Inilah nama orang yang harus membahagi-bahagikan negeri itu antaramu sebagai harta pusaka, iaitu Imam Eleazar dan Yosua anak Nun.
18 Kemudian ambillah seorang pemimpin daripada setiap suku untuk membahagikan negeri itu sebagai harta pusaka.
19 Inilah nama-nama mereka: Kaleb anak Yefune, daripada suku Yehuda;
20 Samuel anak Amihud, daripada suku bani Simeon;
21 Elidad anak Kislon, daripada suku Benyamin;
22 Buki anak Yogli, seorang pemimpin daripada suku bani Dan;
23 Haniel anak Efod, seorang pemimpin daripada suku bani Manasye, keturunan Yusuf;
24 dan Kemuel anak Siftan, seorang pemimpin daripada suku bani Efraim, keturunan Yusuf;
25 Elisafan anak Parnah, seorang pemimpin daripada suku bani Zebulon;
26 Paltiel anak Azan, seorang pemimpin daripada suku bani Isakhar;
27 Ahihud anak Selomi, seorang pemimpin daripada suku bani Asyer;
28 Pedael anak Amihud, seorang pemimpin daripada suku bani Naftali.
29 Itulah orang yang diperintahkan TUHAN untuk membahagi-bahagikan harta pusaka di Tanah Kanaan kepada orang Israel.”