1 Tahukah engkau masa kambing gunung beranak? Adakah engkau memperhatikan waktu rusa betina sakit beranak?
2 Dapatkah engkau menghitung bulan-bulan kambing dan rusa ini mengandung? Tahukah engkau saatnya anak-anaknya dilahirkan,
3 dan saatnya membongkok lalu melahirkan anak-anaknya, serta mengeluarkan buah sakit bersalinnya?
4 Anak-anaknya menjadi kuat dan besar di padang terbuka, lalu pergi dan tidak kembali lagi kepada induknya.
5 Siapakah yang melepaskan keldai liar sehingga ia bebas? Siapakah yang melepaskan tambatan keldai hutan?
6 Aku menentukan tanah tandus sebagai rumahnya, padang garam sebagai tempat kediamannya.
7 Ditertawakannya keriuhan kota, dan tidak didengarnya teriakan si tukang kerah.
8 Dijelajahinya gunung-gunung padang rumputnya dan dicarinya apa-apa pun yang hijau.
9 Sudikah seladang melayanimu? mahukah ia bermalam dekat kandang milikmu?
10 Dapatkah engkau mengikat seladang dengan tali di alur bajak? mahukah ia menyisir tanah lembah mengikuti engkau?
11 Dapatkah engkau bergantung padanya kerana kekuatannya besar? Dapatkah engkau menyerahkan kepadanya pekerjaanmu yang berat?
12 Dapatkah engkau percaya bahawa ia akan membawa pulang hasil tanahmu dan mengumpulkannya di tempat pembantinganmu?
13 Sayap burung unta mengepak riang, tetapi adakah seramah sayap dan bulu-bulu burung ranggung?
14 Ditinggalkannya telurnya di tanah, dan dipanaskannya dalam debu.
15 Dia lupa bahawa sembarang kaki dapat memecahkannya, atau binatang liar dapat menginjaknya.
16 Dia berkeras terhadap anak-anaknya, seolah-olah bukan anaknya sendiri. Sungguhpun jerih lelahnya percuma, ia tidak takut,
17 kerana Allah tidak memberinya hikmah dan tidak mengurniainya pengertian.
18 Ketika ia mengepakkan sayapnya tinggi-tinggi untuk berlari, ia mentertawakan kuda dan penunggangnya.
19 Adakah engkau yang memberikan kekuatan kepada kuda? Adakah engkau yang mengenakan surai pada tengkuknya?
20 Adakah engkau yang membuatnya melompat seperti belalang? Dengusnya yang gagah sungguh mengerikan.
21 Dia mengais-ngais di lembah dan bergirang kerana kekuatannya. Dia keluar menyongsong senjata.
22 Dia mentertawakan kedahsyatan dan tidak kecut hati. Dia tidak berpaling dari pedang.
23 Di atasnya ada tabung panah yang gemerencing, tombak yang berkilat dan lembing.
24 Dengan garang dan gusar ditempuhnya tanah, ia tidak dapat tenang ketika sangkakala berbunyi.
25 Setiap kali sangkakala berbunyi, ia berkata, ‘Nah!’ Dia mencium bau peperangan dari jauh, gemuruh para panglima dan sorak-sorai.
26 Adakah kerana pengertianmu, helang melayang tinggi dan mengembangkan sayapnya ke arah selatan?
27 Adakah atas perintahmu rajawali membumbung dan membuat sarangnya di tempat yang tinggi?
28 Dia diam dan bermalam di bukit batu, di atas tebing bukit batu dan tempat yang kukuh.
29 Dari situ ia mengintai makanannya, matanya memandang dari jauh.
30 Anak-anaknya menghisap darah. Di mana ada yang terbunuh, di situ ia berada.”