1 Elihu melanjutkan kata-katanya,
2 “Bersabarlah sedikit dengan aku dan aku akan menyatakan sesuatu kepadamu kerana masih ada yang hendak kukatakan demi Allah.
3 Aku akan menimba pengetahuanku dari jauh, dan akan menyatakan Penciptaku benar.
4 Sungguh, kata-kataku bukanlah dusta; seorang yang sempurna pengetahuannya ada di depanmu.
5 Ketahuilah, Allah itu perkasa tetapi tidak memandang hina sesiapa pun. Dia perkasa, teguh kehendak-Nya.
6 Dia tidak membiarkan orang fasiq hidup, tetapi Dia memberikan keadilan kepada orang yang tertindas.
7 Dia tidak mengalihkan pandangan-Nya daripada orang benar, tetapi Dia menempatkan mereka dengan raja-raja di atas takhta untuk selama-lamanya sehingga mereka ditinggikan.
8 Jika mereka dibelenggu dengan rantai, tertangkap oleh tali-tali kesusahan,
9 maka dinyatakan-Nya kepada mereka perbuatan dan pelanggaran mereka, bahawa mereka telah berlaku sombong.
10 Dia membuka telinga mereka bagi pengajaran dan menyuruh mereka bertaubat daripada kejahatan.
11 Jika mereka mendengar dan mahu beribadat, maka mereka akan menghabiskan hari-hari mereka dalam kemakmuran dan tahun-tahun mereka dalam kenikmatan.
12 Tetapi jika mereka tidak mendengar, maka mereka akan dilenyapkan oleh lembing dan putus nyawa tanpa pengetahuan.
13 Orang yang berhati munafik menyimpan amarah, mereka tidak berteriak minta tolong ketika Dia membelenggu mereka.
14 Nyawa mereka putus pada masa muda, hidup mereka berakhir dalam kalangan pelacur lelaki kuil.
15 Dia melepaskan orang yang tertindas melalui penindasan mereka, dan membuka telinga mereka melalui kesusahan.
16 Dia juga memujuk engkau keluar dari dalam kesesakan ke tempat yang lapang, tempat tiada kesusahan. Hidangan di mejamu penuh makanan mewah.
17 Tetapi engkau dipenuhi hukuman orang fasiq, hukuman dan keadilan mencengkam engkau.
18 Jangan sampai kegusaran memujuk engkau mencemuh, janganlah besarnya tebusan menyesatkan engkau.
19 Adakah kekayaanmu dapat menghindarkan engkau daripada kesesakan, atau segenap daya kekuatanmu?
20 Jangan rindukan malam hari, ketika bangsa-bangsa dilenyapkan daripada tempat mereka.
21 Berhati-hatilah, jangan berpaling kepada kejahatan, kerana itulah yang kaupilih daripada kesusahan.
22 Sesungguhnya, Allah tinggi dalam kekuatan-Nya. Siapakah guru seperti Dia?
23 Siapakah menentukan jalan bagi-Nya? Siapakah yang dapat berkata, ‘Engkau telah berbuat zalim’?
24 Ingatlah bahawa engkau harus memuliakan pekerjaan-Nya, yang dinyanyikan oleh manusia.
25 Semua orang telah melihatnya, manusia memandangnya dari jauh.
26 Sesungguhnya, Allah itu besar, tidak tercapai oleh pengetahuan kita. Jumlah tahun-Nya tidak terdaya diselidiki.
27 Dia menarik titik-titik air yang tersuling menjadi hujan daripada kabus,
28 yang dicurahkan oleh awan dan dititiskan ke atas ramai manusia.
29 Siapakah yang dapat memahami perarakan awan, dan bunyi gemuruh dari kediaman-Nya?
30 Sesungguhnya, Dia memencarkan kilat-Nya di sekeliling-Nya, dan menudungi dasar laut.
31 Dengan semua itu Dia menghakimi bangsa-bangsa, dan mengurniakan makanan dengan berlimpahan.
32 Dia menyelubungi tangan-Nya dengan kilat, dan menyuruhnya menyambar sasaran.
33 Guruh-Nya menyatakan kedatangan badai, ternakan juga menyatakannya.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ayub 36
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ayub 36

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV