1 Orang yang kerap kali ditegur tetapi tetap berdegil akan tiba-tiba binasa dan tidak dapat dipulihkan lagi.
2 Ketika orang benar bertambah ramai, bersukacitalah rakyat, tetapi ketika orang durjana memerintah, mengeluhlah rakyat.
3 Sesiapa menyukai hikmah, menyukakan ayahnya, tetapi orang yang bergaul dengan pelacur memboroskan hartanya.
4 Raja menegakkan negeri dengan keadilan, tetapi orang yang menerima rasuah meruntuhkannya.
5 Orang yang mengampu jirannya membentangkan jaring bagi kakinya.
6 Orang yang jahat terjerat oleh pelanggarannya, tetapi orang benar bersorak-sorai dan bersukacita.
7 Orang benar prihatin fasal hak orang miskin, tetapi orang durjana tidak memahami hal sedemikian.
8 Para pencemuh membuat kota bergejolak, tetapi orang bijak menyurutkan amarah.
9 Jika orang bijaksana berperkara dengan orang bodoh, orang bodoh itu marah dan mencemuh, akibatnya tidak ada ketenangan.
10 Kalangan yang suka menumpahkan darah membenci orang yang tidak bersalah, dan mereka menginginkan nyawa orang yang tulus.
11 Orang bodoh melampiaskan segala kemarahannya, tetapi orang bijaksana menahan diri.
12 Jika seorang penguasa mendengar kata-kata dusta, maka semua pegawainya menjadi durjana.
13 Si miskin dan si penindas mempunyai persamaan: TUHAN yang membuat mata kedua-duanya bersinar.
14 Jika raja mengadili orang miskin dengan adil, maka takhta kerajaannya akan sentiasa kukuh.
15 Rotan dan teguran memberikan hikmah, tetapi anak yang dibiarkan sahaja mendatangkan malu bagi ibunya.
16 Ketika orang durjana bertambah ramai, bertambah pulalah pelanggaran, tetapi orang benar akan melihat kejatuhan mereka.
17 Didiklah anakmu, maka dia akan memberikan ketenteraman kepadamu, dan menyukakan hatimu.
18 Tanpa hidayah, rakyat tidak terkendali, tetapi berbahagialah orang yang berpegang teguh pada Hukum Taurat.
19 Seorang hamba tidak dapat diajar dengan kata-kata sahaja, kerana sekalipun dia mengerti, dia tidak mengendahkannya.
20 Adakah engkau memperhatikan orang yang bercakap dengan terburu-buru? Orang yang bodoh ada lebih banyak harapan daripada dia.
21 Hamba yang dimanjakan sejak kecil pada akhirnya tidak tahu berterima kasih.
22 Orang yang pemarah membangkitkan pertengkaran, dan orang yang panas baran banyak pelanggarannya.
23 Keangkuhan seseorang akan merendahkannya, tetapi orang yang rendah diri akan memperoleh kehormatan.
24 Sesiapa bersekutu dengan pencuri, membenci jiwanya sendiri; dia mendengar sumpah, tetapi tidak mahu menyatakan apa-apa.
25 Rasa takut terhadap manusia mendatangkan jerat, tetapi sesiapa percaya kepada TUHAN akan terselamat.
26 Ramai orang mencari muka pada penguasa, tetapi orang mendapat keadilan daripada TUHAN.
27 Orang yang tidak adil adalah kekejian bagi orang benar, dan orang yang lurus jalannya dipandang keji oleh orang durjana.