1 Ini juga amsal Salomo yang disalin oleh para pegawai Hizkia, raja Yehuda:
2 Kemuliaan TUHAN adalah merahsiakan suatu perkara, tetapi kemuliaan para raja adalah menyelidiki suatu perkara.
3 Seperti tingginya langit dan dalamnya bumi, demikianlah hati para raja tidak dapat diselidiki.
4 Singkirkanlah tahi leburan daripada perak, maka terhasillah barang yang indah oleh tukang perak.
5 Singkirkanlah orang durjana dari hadapan raja, maka takhtanya akan kukuh dalam perbenaran.
6 Jangan membesarkan diri di hadapan raja, dan jangan berdiri di tempat para dif terulung,
7 kerana lebih baik orang berkata kepadamu, “Naiklah ke mari,” daripada engkau direndahkan di hadapan orang mulia yang matamu telah lihat sendiri.
8 Janganlah terburu-buru membawa hal ke pengadilan, kerana apakah yang dapat kaulakukan pada akhirnya jika lawanmu mengaibkan kamu?
9 Bicarakanlah perkaramu dengan jiranmu, tetapi jangan buka rahsia orang lain,
10 supaya engkau tidak dicela oleh orang yang mendengar, dan nama kamu buruk selama-lamanya.
11 Seperti buah epal emas bertata perak, demikianlah kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya.
12 Seperti anting-anting emas dan perhiasan emas, demikianlah teguran yang bijaksana bagi telinga yang mendengarnya.
13 Seperti sejuk salji pada musim menuai, demikianlah duta yang setia bagi orang yang mengutusnya; dia menyegarkan hati tuannya.
14 Seperti awan dan angin yang tidak ada hujan, demikianlah orang yang bercakap besar fasal hadiah yang tidak pernah diberikannya.
15 Dengan kesabaran seorang penguasa pun dapat diyakinkan, dan lidah yang lembut dapat mematahkan tulang.
16 Kalau engkau mendapat madu, makanlah secukupnya. Jangan sampai terlalu kenyang lalu muntah.
17 Janganlah sering pergi ke rumah jiranmu, supaya jangan dia jemu lalu membencimu.
18 Seperti belantan, pedang, atau anak panah yang tajam, demikianlah orang yang bersaksi dusta atas jirannya.
19 Seperti gigi yang patah dan kaki yang tergeliat, demikianlah kepercayaan kepada pengkhianat pada masa kesesakan.
20 Seperti orang yang menanggalkan pakaian pada hari dingin dan seperti cuka pada garam abu, demikianlah orang yang bernyanyi untuk hati yang berdukacita.
21 Jika musuhmu lapar, berilah dia makan, dan jika dia dahaga, berilah dia minum,
22 kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya, dan TUHAN pun akan memberimu pahala.
23 Angin utara menghasilkan hujan, dan lidah fitnah menghasilkan muka marah.
24 Lebih baik tinggal di sudut bumbung rumah daripada serumah dengan isteri yang suka bertengkar.
25 Seperti air sejuk bagi jiwa yang lelah, demikianlah khabar baik dari negeri yang jauh.
26 Seperti mata air yang kotor atau pancuran air yang cemar, demikianlah orang benar yang goyah di hadapan orang durjana.
27 Tidak baik makan madu banyak-banyak, demikian juga tidak terhormat orang yang mencari kehormatan diri.
28 Seperti kota terbongkar yang tidak punya tembok, demikianlah orang yang tidak mengawal dirinya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amsal 25
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amsal 25

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV