1 Hati raja seumpama anak sungai di dalam tangan TUHAN, dialirkan-Nya ke mana sahaja Dia kehendaki.
2 Setiap jalan orang lurus menurut pandangannya sendiri, tetapi TUHAN sajalah yang menimbang hati.
3 Melakukan yang benar dan adil lebih disukai TUHAN daripada korban sembelihan.
4 Mata yang sombong dan hati yang bongkak, iaitu pelita orang durjana, adalah dosa.
5 Rancangan orang rajin hanya mendatangkan keuntungan, tetapi setiap orang yang terburu-buru hanya akan berkekurangan.
6 Harta yang diperoleh dengan lidah dusta seperti wap yang lenyap bagi orang yang mengejar maut.
7 Keganasan orang durjana menyeret mereka sendiri, kerana mereka enggan melakukan keadilan.
8 Jalan orang yang bersalah bengkang-bengkok, tetapi langkah orang yang ikhlas adalah lurus.
9 Lebih baik tinggal di sudut bumbung rumah daripada serumah dengan isteri yang suka bertengkar.
10 Hati orang durjana menginginkan kejahatan, tidak ada belas kasihan di matanya bagi jirannya.
11 Jika pencemuh dihukum, si betul bendul menjadi bijaksana, dan jika orang bijaksana diajar, dia memperoleh pengetahuan.
12 Yang Maha Benar memperhatikan rumah orang durjana, lalu menjatuhkan orang durjana itu ke dalam kehancuran.
13 Sesiapa menutup telinganya terhadap jeritan orang miskin, tidak akan dijawab ketika dia sendiri berseru-seru.
14 Pemberian secara diam-diam memadamkan amarah, rasuah secara bersembunyi-sembunyi meredakan murka besar.
15 Melakukan keadilan adalah kesukaan bagi orang benar, tetapi menakutkan bagi orang yang berbuat jahat.
16 Orang yang menyimpang dari jalan kebijaksanaan, akan tinggal di perhimpunan para arwah.
17 Orang yang suka bersenang-senang akan menjadi si miskin, dan sesiapa menyukai air anggur serta minyak, tidak akan kaya.
18 Orang durjana menjadi tebusan bagi orang benar, dan pengkhianat bagi orang yang lurus hati.
19 Lebih baik tinggal di gurun daripada bersama isteri yang suka bertengkar dan pemarah.
20 Ada harta yang berharga dan minyak di dalam rumah orang bijaksana, tetapi orang bodoh memboroskan hartanya.
21 Sesiapa mengejar perbenaran dan kasih akan menemukan kehidupan, kebenaran, dan kehormatan.
22 Orang bijaksana dapat menyerang kota para kesateria perkasa, dan merobohkan benteng-benteng yang diharapkan mereka.
23 Sesiapa menjaga mulut dan lidahnya, menjaga jiwanya daripada malapetaka.
24 Orang yang angkuh dan sombong itu “pencemuh” namanya; dia bertindak amat biadab dan sangat angkuh!
25 Keinginan si pemalas membunuh dirinya, kerana tangannya enggan bekerja.
26 Sepanjang hari dia terus menginginkan sesuatu, tetapi orang benar terus memberi tanpa menahan dirinya.
27 Korban sembelihan orang durjana adalah kekejian, apatah lagi jika dipersembahkan dengan niat jahat.
28 Saksi dusta akan binasa, tetapi orang yang taat dan patuh akan terus berbicara.
29 Orang yang durjana menebalkan mukanya, tetapi orang yang lurus hati mengatur jalannya.
30 Tidak ada kebijaksanaan, tidak ada pengertian, dan tidak ada pertimbangan yang dapat melawan TUHAN.
31 Kuda diperlengkap untuk hari peperangan, tetapi kemenangan berasal daripada TUHAN.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amsal 21
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amsal 21

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV