1 “Dengarlah firman ini, wahai lembu-lembu betina Basan di Gunung Samaria, yang memeras fakir miskin dan menindas orang yang melarat, serta yang berkata kepada suami masing-masing, ‘Bawalah ke mari, supaya kita boleh berpesta!’ ”
2 Tuhan ALLAH telah bersumpah demi kesucian-Nya, “Sesungguhnya, waktunya akan datang ketika kamu akan diangkat dengan cangkuk pengait, dan yang tersisa antara kamu dengan mata kail.
3 Kamu akan keluar melalui lubang tembok, masing-masing terus ke depan, dan kamu akan dibuang ke Harmon,” demikianlah firman TUHAN.
4 “Datanglah ke Betel dan lakukanlah pelanggaran, ke Gilgal dan perbanyaklah pelanggaran! Bawalah korban sembelihanmu setiap pagi dan persembahan sepersepuluhmu setiap tiga hari.
5 Bakarlah persembahan syukur daripada roti yang beragi, maklumkanlah persembahan-persembahan sukarela dan khabarkanlah, kerana itulah yang kamu sukai, wahai orang Israel,” demikianlah firman Tuhan ALLAH.
6 “Sekalipun Aku telah memberimu gigi terbersih di segala kotamu dan kekurangan makanan di segala tempatmu, kamu tidak juga kembali kepada-Ku,” demikianlah firman TUHAN.
7 “Aku juga menahan hujan daripadamu, ketika tiga bulan lagi menjelang musim menuai. Kuturunkan hujan ke atas kota yang satu sedangkan ke atas kota yang lain tidak. Ladang yang satu kehujanan dan kering layulah ladang yang tidak kena hujan.
8 Penduduk dua tiga buah kota pergi terhuyung-hayang ke satu kota untuk minum air namun mereka tidak merasa kepuasan. Namun demikian, kamu tidak juga kembali kepada-Ku,” demikianlah firman TUHAN.
9 “Aku mengazab kamu dengan kelayuan tanaman dan penyakit bijirin. Tamanmu yang banyak, kebun-kebun anggurmu, segala pokok aramu, dan pokok-pokok zaitunmu dimakan habis oleh belalang. Namun demikian, kamu tidak juga kembali kepada-Ku,” demikianlah firman TUHAN.
10 “Aku melepaskan wabak penyakit dalam kalangan kamu seperti yang Kulakukan terhadap Mesir. Kutewaskan para pemudamu dengan pedang dan Kurampas kuda-kudamu. Kubuat bau busuk dari perkhemahanmu naik sampai ke hidungmu. Namun demikian, kamu tidak juga kembali kepada-Ku,” demikianlah firman TUHAN.
11 “Aku menunggangbalikkan beberapa orang antara kamu seperti Allah menunggangbalikkan Sodom dan Gomora, sehingga kamu seperti puntung yang direnggut dari dalam api. Namun demikian, kamu tidak juga kembali kepada-Ku,” demikianlah firman TUHAN.
12 “Jadi, beginilah yang kelak Kulakukan terhadapmu, wahai Israel. Kerana hal itu akan Kulakukan terhadapmu, bersiaplah untuk bertemu dengan Allahmu, wahai Israel!”
13 Sesungguhnya, Dia yang membentuk gunung dan yang menciptakan angin, yang memberitahukan kepada manusia isi fikiran-Nya, yang membuat fajar menjadi gelap, dan yang memijak tempat-tempat tinggi di bumi – TUHAN, Allah alam semesta, itulah nama-Nya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amos 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amos 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV