1 Tidak berapa lama selepas itu, ketika murid Yesus kian meningkat bilangannya, timbullah aduan daripada orang Yahudi peranakan Yunani terhadap orang Yahudi Ibrani. Orang Yahudi peranakan Yunani berkata bahawa balu dalam kalangan mereka diabaikan dalam pengagihan bantuan harian.
2 Dengan demikian, dua belas rasul itu menghimpunkan semua murid lalu berkata, “Kami ini tidaklah wajar mengetepikan kewajipan menyampaikan firman Allah untuk melayan di meja makan.
3 Oleh itu, pilihlah tujuh orang dalam kalangan saudara yang mempunyai nama baik dan dipenuhi Roh Kudus serta kebijaksanaan, supaya kami tugaskan mereka mengendalikan hal itu.
4 Kami akan memenuhi masa kami dengan berdoa dan menyampaikan perkhabaran firman.”
5 Semua bersetuju dengan cadangan para rasul. Mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat teguh imannya serta dikuasai oleh Roh Kudus. Di samping itu, mereka memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang penganut agama Yahudi.
6 Tujuh orang itu dibawa ke hadapan para rasul. Para rasul pun berdoa dan meletakkan tangan ke atas mereka.
7 Dengan demikian firman Allah semakin tersebar dan bilangan murid Yesus di Yerusalem kian meningkat, dan ramai imam menjadi orang beriman.
8 Stefanus, yang dipenuhi kasih kurnia dan kuasa rohani, banyak melakukan keajaiban dan tanda dalam kalangan orang ramai.
9 Tetapi ada beberapa orang yang bangkit menentangnya, iaitu anggota saumaah yang disebut Saumaah Orang Yang Dibebaskan (terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene, Aleksandria, Kilikia dan Asia). Mereka mulai berbahas dengan Stefanus.
10 Namun demikian, mereka tidak dapat menewaskan kebijaksanaan dan Roh Kudus yang mengilhamkan kata-katanya.
11 Setelah itu, mereka senyap-senyap mendorong beberapa orang berkata, “Kami telah mendengar dia melafazkan kata-kata kufur terhadap Musa dan Allah.”
12 Mereka menghasut orang ramai, tua-tua dan ahli-ahli Taurat sehingga Stefanus ditangkap dan dihadapkan ke Majlis Agama.
13 Mereka membawa saksi-saksi palsu yang berkata tentang Stefanus, “Orang ini tidak putus-putus meluahkan kata-kata kufur tentang tempat suci ini dan hukum agama kita.
14 Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus orang Nazaret itu akan membinasakan tempat ini dan mengubah segala adat yang telah disampaikan kepada kita oleh Musa.”
15 Ketika itu semua orang yang duduk di Majlis Agama merenung Stefanus dan melihat mukanya seperti wajah malaikat.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 6
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 6

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV