1 Daripada Paulus, rasul Kristus Yesus, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup dalam Kristus Yesus,
2 Kepada Timotius, anakku yang dikasihi: Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus, Tuhan kita, menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan damai sejahtera.
3 Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam.
4 Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia.
5 Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai dalam jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga.
6 Oleh itu, aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu.
7 Allah tidak memberi kita roh ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib.
8 Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Tuhan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi ikut serta menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah.
9 Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Kristus Yesus sebelum permulaan zaman.
10 Sekarang segala ini telah dinyatakan dengan kedatangan Penyelamat kita Kristus Yesus, yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil.
11 Aku telah ditugaskan menjadi seorang daripada pemberita Injil, rasul, dan guru.
12 Oleh itu, aku menanggung segala penderitaan ini. Namun demikian, aku tidak berasa malu, kerana aku tahu akan Tuhan yang kupercayai dan aku yakin Dia dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya hingga pada Hari itu.
13 Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus.
14 Peliharalah perkara baik yang diamanahkan kepadamu dengan Roh Kudus yang berada dalam diri kita.
15 Kamu tahu bahawa semua yang di Asia telah berpaling daripadaku, termasuk Figelus dan Hermogenes.
16 Semoga Tuhan menunjukkan belas kasihan kepada Onesiforus sekeluarga, kerana dia sering menyegarkan tubuh dan jiwaku, serta tidak malu bahawa aku dipenjarakan,
17 malah apabila dia tiba di Roma, dia telah mencariku sedaya upaya sehingga bertemu.
18 Semoga Tuhan mengurniainya supaya mendapat belas kasihan daripada-Nya pada Hari itu! Engkau cukup mengetahui pelbagai cara dia telah menolongku di Efesus.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Timotius 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Timotius 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke