1 Setelah raja menetap di dalam istananya dan TUHAN mengurniakan ketenteraman kepadanya daripada semua musuh di sekelilingnya,
2 berkatalah raja kepada nabi Natan, “Lihatlah, aku ini tinggal dalam rumah kayu araz walhal tabut Allah tinggal di dalam khemah.”
3 Jawab Natan kepada raja, “Lakukanlah segala sesuatu yang tuanku niatkan, kerana TUHAN menyertai tuanku.”
4 Akan tetapi, pada malam itu juga datanglah firman TUHAN kepada Natan demikian,
5 “Pergilah dan katakanlah kepada hamba-Ku Daud, ‘Beginilah firman TUHAN, “Akankah engkau membina bagi-Ku rumah untuk didiami?
6 Sebabnya sejak Aku memimpin orang Israel keluar dari Mesir sampai hari ini, Aku tidak pernah tinggal di dalam rumah apa-apa pun, melainkan Aku selalu hadir menyertaimu dalam sebuah khemah sebagai tempat kediaman.
7 Ke mana-mana jua sahaja Aku mengembara bersama dengan seluruh orang Israel, pernahkah Kukatakan kepada mana-mana hakim yang Kuperintahkan menggembala umat-Ku Israel, ‘Mengapakah kamu tidak membina bagi-Ku sebuah bait daripada kayu araz?’ ”
8 Maka sekarang, beginilah yang harus kaukatakan kepada hamba-Ku Daud, “Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Aku telah mengambil engkau dari padang ragut, daripada tugas menggiring kawanan domba, untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku, iaitu atas Israel.
9 Aku telah menyertai engkau ke mana-mana pun engkau pergi dan telah melenyapkan semua musuhmu daripada hadapanmu. Aku akan membuat namamu besar, seperti nama orang besar yang ada di bumi.
10 Aku akan menentukan suatu tempat bagi umat-Ku Israel dan menempatkan mereka di sana, sehingga mereka mendiami tempat sendiri tanpa diganggu lagi. Mereka tidak akan tertindas lagi oleh orang zalim seperti sebelumnya,
11 iaitu sejak masa Aku melantik para hakim untuk memimpin umat-Ku Israel. Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu daripada semua musuhmu. Selain itu, TUHAN pun menyatakan kepadamu bahawa TUHAN akan mengukuhkan sebuah keluarga bagimu.
12 Apabila sampai akhir hayatmu, dan engkau dibaringkan bersama nenek moyangmu, Aku akan membangkitkan keturunanmu kelak, anak kandungmu sendiri, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya.
13 Dialah yang akan membina sebuah bait bagi nama-Ku dan Aku akan mengukuhkan takhta kerajaannya untuk selama-lamanya.
14 Aku akan menjadi Bapanya dan dia akan menjadi anak-Ku. Jika dia melakukan kesalahan, Aku akan mengajar dia dengan rotan yang digunakan orang dan dengan pukulan yang diberikan anak-anak manusia.
15 Namun demikian, kasih abadi-Ku tidak akan dijauhkan daripadanya, seperti Kujauhkan daripada Saul, yang telah Kusingkirkan di hadapanmu.
16 Keluargamu dan kerajaanmu akan kekal selama-lamanya di hadapan-Ku. Takhtamu akan kukuh selama-lamanya.’ ”
17 Selaras dengan semua firman dan selaras dengan semua penglihatan ini, demikianlah yang disampaikan Natan kepada Daud.
18 Kemudian masuklah Raja Daud lantas bersimpuh di hadapan TUHAN dan berkata, “Ya Tuhan ALLAH, siapakah kononnya aku ini dan siapakah kononnya keluargaku, sehingga Engkau membawa aku sejauh ini?
19 Bahkan ternyata pula perkara ini perkara biasa di mata-Mu, ya Tuhan ALLAH. Namun demikian, Engkau telah berfirman pula tentang masa yang masih jauh mengenai keluarga hamba-Mu ini. Inilah perjanjian bagi umat manusia, ya Tuhan ALLAH.
20 Entah apa lagi yang dapat disampaikan oleh Daud kepada-Mu, kerana Engkau mengenal hamba-Mu ini, ya Tuhan ALLAH.
21 Demi firman-Mu dan atas kehendak-Mu sendirilah Engkau telah melakukan segala hal yang besar ini dan memberitahukannya kepada hamba-Mu ini.
22 Oleh sebab itu, Engkau Yang Maha Besar, ya TUHAN Allah, kerana tidak ada yang seperti Engkau. Tidak ada Allah selain Engkau, menurut segala sesuatu yang kami dengar dengan telinga kami.
23 Bangsa manakah di bumi ini seperti umat-Mu Israel, satu-satunya bangsa yang ditebus oleh Allah untuk menjadi umat-Nya? Dia menegakkan nama bagi-Nya dengan melakukan hal-hal yang besar dan takjub, di hadapan umat yang ditebus-Nya dari Mesir, daripada bangsa-bangsa serta tuhan-tuhan mereka.
24 Engkau telah mengukuhkan umat-Mu Israel bagi diri-Mu sendiri untuk menjadi umat-Mu untuk selama-lamanya dan Engkau, ya TUHAN, menjadi Allah mereka.
25 Maka sekarang, ya TUHAN Allah, biarlah firman yang Kauucapkan tentang hamba-Mu ini dan tentang keluarganya teguh untuk selama-lamanya. Lakukanlah seperti yang Kaufirmankan itu.
26 Semoga nama-Mu diagungkan untuk selama-lamanya, dan orang akan menyebut, ‘TUHAN alam semesta ialah Allah atas umat Israel,’ dan semoga keluarga hamba-Mu Daud kukuh di hadapan-Mu.
27 Kerana Engkau, ya TUHAN alam semesta, Allah Israel, telah menyingkapkan kepada hamba-Mu ini demikian, ‘Aku akan membangunkan suatu keturunan bagimu.’ Itulah sebabnya hamba-Mu memberanikan diri untuk menaikkan doa ini di hadapan-Mu.
28 Sekarang, ya Tuhan ALLAH, Engkaulah Tuhan dan firman-Mu adalah benar. Engkau telah menjanjikan hal yang baik ini kepada hamba-Mu.
29 Sekarang, semoga Engkau berkenan memberkati keluarga hamba-Mu ini, supaya tetap ada di hadapan-Mu untuk selama-lamanya, kerana Engkau juga yang telah berfirman, ya Tuhan ALLAH. Biarlah keluarga hamba-Mu ini diberkati dengan berkat-Mu untuk selama-lamanya.”