1 Belum seberapa jauh Daud berlalu di puncak bukit itu, tampaklah Ziba, hamba Mefiboset, menyongsongnya dengan membawa sepasang keldai berpelana yang bermuatan dua ratus ketul roti, seratus buah kuih kismis, seratus buah-buahan musim panas, dan sebuah kantung kulit berisi air anggur.
2 Lalu bertanyalah raja kepada Ziba, “Apakah maknanya dengan semua ini?” Jawab Ziba, “Keldai ini untuk ditunggangi oleh keluarga raja, roti dan buah-buahan musim panas ini untuk dimakan oleh anak-anak muda itu, dan air anggur ini untuk diminum oleh orang yang keletihan di gurun.”
3 Tanya raja, “Di manakah anak tuanmu?” Jawab Ziba kepada raja, “Dia tinggal di Yerusalem, kerana katanya, ‘Pada hari ini keturunan kaum Israel akan mengembalikan kepadaku kerajaan ayahku.’ ”
4 Lalu kata raja kepada Ziba, “Sekarang, segala milik Mefiboset ialah milikmu.” Jawab Ziba, “Hamba bersujud. Semoga hamba selalu mendapat restu Tuanku Raja.”
5 Setibanya Raja Daud di Bahurim, keluarlah dari sana seorang daripada kaum keluarga Saul, bernama Simei anak Gera. Dia mengutuk terus-menerus sambil berjalan dekat.
6 Dia melempari Daud dan semua pegawai Raja Daud dengan batu, walaupun seluruh pasukan dan semua kesateria berada di kanan kiri Daud.
7 Beginilah perkataan Simei ketika dia mengutuk, “Nyahlah, nyahlah, wahai penumpah darah, wahai penjahat!
8 TUHAN membalas kepadamu seluruh darah keluarga Saul yang kaugantikan sebagai raja. TUHAN telah menyerahkan kerajaan itu ke dalam tangan Absalom, anakmu. Sesungguhnya, engkau termakan oleh kejahatanmu sendiri, kerana engkau seorang penumpah darah.”
9 Kemudian Abisai anak Zeruya berkata kepada raja, “Mengapakah anjing mati ini harus mengutuk Tuanku Raja? Izinkan hamba menyeberang dan memenggal kepalanya!”
10 Tetapi kata raja, “Apakah sangkut-paut aku dengan kamu, wahai anak-anak Zeruya? Biarlah dia mengutuk! Sebab apabila TUHAN berfirman kepadanya, ‘Kutuklah Daud!’ siapa yang dapat berkata, ‘Mengapakah engkau berbuat demikian?’ ”
11 Kata Daud pula kepada Abisai dan kepada semua pegawainya, “Anak kandungku sendiri pun mengancam nyawaku, apatah lagi sekarang orang Benyamin ini. Biarkanlah dia, dan biarkan dia mengutuk, kerana TUHAN telah menyuruhnya demikian.
12 Mudah-mudahan TUHAN memperhatikan kesusahanku, dan membalasnya dengan kebaikan sebagai ganti kutukan yang kuterima pada hari ini.”
13 Kemudian berjalanlah Daud dan orangnya melalui jalan itu, sementara Simei berjalan di lereng bukit yang bertentangan dengannya. Sambil berjalan dia mengutuk, melempari Daud dengan batu, dan menghamburkan debu.
14 Kemudian dalam keadaan lelah, tibalah raja dan kesemua rakyat yang menyertainya di tempat tujuan. Di sana berehatlah Daud.
15 Absalom dan seluruh rakyat, iaitu orang Israel, tiba di Yerusalem. Ahitofel juga ada bersamanya.
16 Kemudian Husai, orang Arki, sahabat Daud itu, datang menghadap Absalom. Kata Husai kepada Absalom, “Hidup sang raja! Hidup sang raja!”
17 Lalu kata Absalom kepada Husai, “Inikah kesetiaanmu kepada sahabatmu? Mengapakah engkau tidak pergi bersama sahabatmu itu?”
18 Jawab Husai kepada Absalom, “Tidak! Sesiapa yang dipilih oleh TUHAN, oleh umat ini, dan oleh semua orang Israel, dialah yang memiliki hamba dan hamba akan tinggal bersamanya.
19 Apatah lagi, kepada siapakah hamba patut mengabdikan diri? Bukankah kepada anaknya? Sebagaimana hamba telah mengabdikan diri kepada ayah tuanku, demikianlah hamba akan mengabdikan diri kepada tuanku.”
20 Setelah itu, berkatalah Absalom kepada Ahitofel, “Berilah kami nasihatmu. Apa yang harus kita lakukan?”
21 Jawab Ahitofel kepada Absalom, “Hampirilah para gundik ayah tuanku yang ditinggalkannya untuk menunggui istana. Apabila semua orang Israel mendengar bahawa tuanku dibenci oleh ayah tuanku kerana perbuatan tuanku, maka semua orang yang menyertai tuanku akan dikuatkan keyakinan mereka.”
22 Maka sebuah khemah dibentangkan bagi Absalom di atap istana, lalu Absalom menghampiri gundik-gundik ayahnya di hadapan mata semua orang Israel.
23 Pada masa itu nasihat Ahitofel seolah-olah dianggap sama dengan petunjuk Allah. Begitulah Daud ataupun Absalom memandang setiap nasihat Ahitofel.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Samuel 16
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Samuel 16

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV