1 Setelah kematian Saul, Daud pulang dari pertempuran yang menumpaskan orang Amalek, lalu tinggal di Ziklag dua hari lamanya.
2 Pada hari ketiga, datanglah seorang daripada pasukan Saul. Pakaiannya koyak-rabak dan kepalanya berdebu. Sesampainya di hadapan Daud, dia sujud memberi hormat.
3 Daud bertanya kepadanya, “Engkau datang dari mana?” Jawabnya, “Aku melarikan diri daripada pasukan Israel.”
4 Tanya Daud kepadanya, “Apakah yang telah berlaku? Ceritakanlah kepadaku.” Jawabnya, “Ramai yang melarikan diri dari medan perang bahkan ramai yang gugur dan terkorban. Saul dan Yonatan, anaknya, juga telah gugur.”
5 Lalu Daud bertanya kepada orang muda yang menyampaikan khabar itu kepadanya, “Bagaimanakah engkau tahu bahawa Saul dan Yonatan, anaknya, telah gugur?”
6 Jawab orang muda itu, “Kebetulan aku berada di Gunung Gilboa, lalu kulihat Saul bersandar pada tombaknya. Kulihat pula rata-rata dan pasukan berkuda mengejarnya.
7 Ketika dia menoleh ke belakang, dia melihat hamba lalu memanggil hamba. Hamba menjawab, ‘Daulat, Tuanku.’
8 Dia bertanya kepada hamba, ‘Siapakah engkau?’ Jawab hamba kepadanya, ‘Hamba ini seorang Amalek.’
9 Lalu katanya kepadaku, ‘Tolong, berdirilah di sisiku dan bunuhlah aku, kerana aku sekarat tetapi masih bernyawa.’
10 Maka berdirilah hamba di sisinya lalu membunuhnya, kerana hamba tahu bahawa dia tidak akan hidup lagi setelah mengalami kekecundangan itu. Lalu hamba mengambil mahkota yang ada di kepalanya serta gelang yang ada di lengannya dan membawanya ke mari, kepada tuanku.”
11 Kemudian Daud dan semua orang yang ada bersamanya mengoyakkan pakaian masing-masing.
12 Mereka meratap, menangis, dan berpuasa sampai waktu maghrib kerana Saul, dan Yonatan, anaknya itu, serta kerana umat TUHAN, dan keturunan kaum Israel yang telah gugur bahana mata pedang itu.
13 Kemudian Daud bertanya kepada orang muda yang menyampaikan khabar itu kepadanya, “Dari manakah asalmu?” Jawabnya, “Hamba ini anak seorang pendatang, seorang Amalek.”
14 Kata Daud kepadanya, “Tidakkah engkau takut menghulurkan tangan untuk membinasakan orang yang dilantik TUHAN?”
15 Lalu Daud memanggil seorang daripada kalangan pemudanya, katanya, “Dekatinya dan seranglah dia!” Maka orang itu menyerang dan membunuh pemuda itu.
16 Lalu berkatalah Daud kepada pemuda itu, “Darahmu tertanggung atas dirimu sendiri, kerana mulutmu sendiri bersaksi tentang dirimu dengan berkata, ‘Hamba telah membunuh orang yang dilantik TUHAN.’ ”
17 Daud meratapi Saul dan Yonatan, anaknya, dengan lagu ratapan ini.
18 Dia menyuruh agar lagu Busur Panah ini diajarkan kepada bani Yehuda. (Sesungguhnya, lagu ini tertulis dalam kitab Yasar):
19 Kemuliaanmu, wahai Israel, terbunuh di tempat-tempatmu yang tinggi! Betapa telah gugur para kesateria!
20 Jangan khabarkan hal itu di Gat, jangan beritakan hal itu di lorong-lorong Askelon, supaya jangan para anak perempuan orang Filistin bersukacita, supaya jangan anak-anak perempuan orang yang tidak bersunat itu bersuka ria.
21 Wahai gunung-gunung Gilboa, janganlah ada embun, janganlah ada hujan di atasmu, janganlah ladang-ladangmu mengeluarkan hasil, kerana di sanalah terhumbannya perisai para kesateria, perisai Saul yang tidak lagi diurapi minyak.
22 Daripada darah kalangan umat yang terbunuh, daripada lemak para kesateria, busur panah Yonatan tidak pernah berbalik dan pedang Saul tidak pernah kembali dengan hampa.
23 Saul dan Yonatan ialah orang yang dicintai dan yang menyenangkan, yang tidak terpisah dalam hidup dan mati mereka. Mereka lebih cepat daripada burung rajawali, mereka lebih kuat daripada singa.
24 Wahai kaum wanita Israel, ratapilah Saul, yang mendandani kamu dalam kemewahan kain merah menyala, yang menyematkan segala perhiasan emas pada busanamu.
25 Betapa telah gugur para kesateria dalam medan pertempuran! Yonatan terbunuh di kawasan bukit yang tinggi-tinggi.
26 Hatiku sengsara kerana engkau, Yonatan, saudaraku. Terlalu ramah engkau kepadaku, ajaib kasihmu kepadaku, lebih daripada cinta kaum wanita.
27 Betapa telah gugur para pahlawan dan musnah sudah segala senjata peperangan!

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Samuel 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Samuel 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV