1 Sesudah itu raja menyuruh semua tua-tua Yehuda dan Yerusalem berkumpul menghadapnya.
2 Maka pergilah raja ke Bait TUHAN bersama-sama semua orang Yehuda, seluruh penduduk Yerusalem, imam, nabi, dan seluruh rakyat, dari yang kecil sampai yang besar. Dibacakannya semua kata dalam kitab perjanjian yang ditemukan di Bait TUHAN itu, sementara mereka mendengarkannya.
3 Kemudian raja berdiri dekat tiang. Diikatnya perjanjian di hadapan TUHAN untuk hidup mengikuti TUHAN dan berpegang teguh pada segala perintah-Nya, peraturan-Nya, serta ketetapan-Nya dengan segenap hati dan jiwa, juga untuk melaksanakan kata-kata perjanjian yang tertulis dalam kitab itu. Seluruh rakyat pun turut serta dalam perjanjian itu.
4 Raja memberikan perintah kepada Imam Besar Hilkia, kepada para imam tingkat dua, dan kepada para penjaga pintu untuk mengeluarkan dari dalam Bait Suci TUHAN semua perkakas yang telah dibuat bagi Baal, bagi Asyera, dan bagi segala benda langit. Kemudian dibakarnya semua itu di luar Yerusalem, di padang-padang Kidron, dan abunya diangkut ke Betel.
5 Raja memecat para imam bagi penyembahan berhala yang telah dilantik oleh raja-raja Yehuda untuk membakar dupa di bukit-bukit pemujaan, di kota-kota Yehuda, dan di sekitar Yerusalem, demikian juga orang yang ditugaskan untuk membakar dupa kepada Baal, kepada matahari, kepada bulan, kepada rasi-rasi bintang, dan kepada segala benda langit.
6 Diangkutnya patung Asyera dari Bait TUHAN ke luar Yerusalem, ke Sungai Kidron, lalu dibakarnya di tepi Sungai Kidron. Setelah itu, ditumbuknya menjadi debu, dan dicampakkannya debu itu ke atas kuburan rakyat jelata.
7 Dia merobohkan pula ruangan khusus bagi kaum pelacur lelaki kuil yang ada di Bait TUHAN, di mana kaum wanita menenun kain tabir bagi Asyera.
8 Semua imam dari kota-kota Yehuda disuruhnya datang, lalu dia menajiskan bukit-bukit pemujaan, tempat para imam itu membakar dupa, dari Geba sampai ke Bersyeba. Dirobohkannya bukit-bukit pemujaan dekat pintu-pintu gerbang di depan Pintu Gerbang Yosua, pembesar kota itu, yang berada di sebelah kiri kalau orang memasuki pintu gerbang kota itu.
9 Tetapi imam bukit-bukit pemujaan itu tidak boleh mendekati mazbah atau tempat pembakaran korban TUHAN di Yerusalem. Mereka hanya boleh makan roti yang tidak beragi di tengah-tengah saudara mereka.
10 Dia juga menajiskan Tofet, yang terletak di Lembah Ben-Hinom, supaya jangan orang mempersembahkan baik anak lelaki atau anak perempuan sebagai korban yang dibakar bagi Molokh.
11 Disingkirkannya segala kuda rata yang dipersembahkan kepada matahari oleh raja-raja Yehuda di pintu masuk Bait TUHAN, dekat bilik Natan-Melekh, pegawai istana yang tinggal di astaka. Segala kuda rata matahari itu turut dibakarnya dengan api.
12 Raja pun merobohkan mazbah-mazbah di atas bumbung bilik atas Ahas, yang dibuat oleh raja-raja Yehuda, dan juga tempat-tempat pembakaran korban yang dibuat oleh Manasye di kedua-dua laman dalaman Bait TUHAN. Disingkirkannya semua itu dari sana lalu dicampakkannya debunya ke Sungai Kidron.
13 Raja pun menajiskan bukit-bukit pemujaan yang terletak di sebelah timur Yerusalem, di sebelah selatan Bukit Kehancuran yang dahulunya dibina oleh Salomo, raja Israel, untuk Asytoret, dewi kejijikan sembahan orang Sidon; untuk Kamos, dewa kejijikan sembahan orang Moab; dan untuk Milkom, dewa kejijikan sembahan bani Amon.
14 Dihancurkannya tiang-tiang berhala dan ditebangnya patung-patung Asyera, lalu dipenuhinya tempat-tempat itu dengan tulang-tulang manusia.
15 Bahkan mazbah-mazbah di Betel, iaitu bukit pemujaan yang dibuat oleh Yerobeam anak Nebat sehingga orang Israel turut berdosa, dirobohkannya juga. Dibakarnya bukit pemujaan itu, ditumbuknya menjadi debu, lalu dibakarnya juga patung-patung Asyera.
16 Kemudian Yosia berpaling. Dilihatnya ada kuburan di sana, di gunung itu. Maka disuruhnya orang untuk mengambil tulang-tulang daripada kuburan itu, membakarnya di atas mazbah, dan menajiskannya. Hal ini selaras dengan firman TUHAN yang pernah diserukan oleh seorang hamba Allah.
17 Kemudian dia bertanya, “Tugu apakah yang kulihat ini?” Jawab orang kota itu kepadanya, “Itu makam hamba Allah yang datang dari Yehuda. Dialah yang meramalkan hal-hal yang tuanku lakukan atas mazbah Betel ini.”
18 Katanya, “Biarkanlah itu. Jangan ada orang yang memindahkan tulang-tulangnya.” Jadi, mereka membiarkan tulang-tulangnya dan tulang-tulang nabi yang telah datang dari Samaria itu.
19 Yosia juga menyingkirkan semua kuil di bukit-bukit pemujaan di kota-kota Samaria, yang dibuat oleh raja-raja Israel untuk membangkitkan murka TUHAN. Diperlakukannya kuil-kuil itu sama seperti yang dilakukannya di Betel.
20 Di atas mazbah-mazbah itu dibantainya semua imam bukit-bukit pemujaan yang ada di situ, lalu dibakarnya tulang-tulang manusia di atasnya. Setelah itu, kembalilah dia ke Yerusalem.
21 Lalu raja memberikan perintah kepada seluruh rakyat, “Rayakanlah Paskah bagi TUHAN, Allahmu, seperti yang tertulis dalam kitab perjanjian ini.”
22 Paskah seperti itu memang belum pernah dirayakan sejak zaman hakim-hakim yang memerintah Israel serta sepanjang zaman raja-raja Israel dan raja-raja Yehuda.
23 Baru pada tahun kelapan belas zaman Raja Yosia, Paskah itu dirayakan bagi TUHAN di Yerusalem.
24 Selain itu, Yosia juga menyingkirkan para pemanggil arwah, para ahli sihir, terafim , berhala-berhala, dan segala dewa kejijikan yang kelihatan di Tanah Yehuda serta di Yerusalem. Hal itu dilakukannya demi melaksanakan perkataan hukum Taurat yang tertulis dalam kitab yang ditemukan di Bait TUHAN oleh Imam Hilkia.
25 Sebelum Yosia tidak ada raja sepertinya, yang berbalik kepada TUHAN dengan segenap hatinya, dengan segenap jiwanya, dan dengan segenap kekuatannya, selaras dengan seluruh Kitab Suci Taurat yang disampaikan Allah melalui Musa. Sesudahnya juga tidak pernah tampil seorang pun sepertinya.
26 Meskipun begitu, TUHAN tidak juga berpaling daripada murka-Nya yang besar, iaitu murka yang menyala-nyala terhadap Yehuda akibat segala kelakuan Manasye yang menimbulkan sakit hati-Nya.
27 TUHAN berfirman, “Aku pun akan menyingkirkan Yehuda dari hadirat-Ku seperti Aku menyingkirkan Israel. Aku akan membuang kota yang Kupilih ini, iaitu Yerusalem, dan Bait ini, meskipun Aku telah berfirman, ‘Nama-Ku akan tinggal di sana.’ ”
28 Riwayat Yosia yang selebihnya dan semua yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?
29 Pada zamannya, Firaun Nekho, raja Mesir, maju melawan raja Asyur di tepi Sungai Efrat. Raja Yosia pun berangkat menghadapinya, tetapi Firaun membunuhnya di Megido sebaik sahaja dia melihatnya.
30 Para pegawainya mengangkut mayatnya dengan rata dari Megido dan membawanya ke Yerusalem. Dia dikuburkan di dalam kuburnya sendiri. Lalu rakyat negeri itu mengangkat Yoahas anak Yosia, mentahbiskan dia dan menobatkan dia sebagai raja untuk menggantikan ayahnya.
31 Yoahas berumur dua puluh tiga tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama tiga bulan. Nama ibunya ialah Hamutal anak Yeremia, dari Libna.
32 Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN seperti semua yang dilakukan oleh nenek moyangnya.
33 Kemudian Firaun Nekho membelenggunya di Ribla, di Tanah Hamat, supaya jangan lagi dia bertakhta di Yerusalem. Atas negeri itu Firaun membebankan denda seratus talenta perak dan satu talenta emas.
34 Setelah itu, Firaun Nekho menobatkan Elyakim anak Yosia sebagai raja menggantikan Yosia, ayahnya, dan mengubah nama Elyakim kepada Yoyakim, manakala Yoahas diambilnya, dibawanya ke Mesir, dan mati di sana.
35 Yoyakim menyerahkan perak dan emas kepada Firaun, tetapi dia mengenakan cukai atas negeri itu supaya dapat menyerahkan wang selaras dengan perintah Firaun. Dipungutnya perak dan emas itu daripada rakyat negeri, masing-masing menurut ketetapan kadar cukainya, untuk kemudian diserahkan kepada Firaun Nekho.
36 Yoyakim berumur dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama sebelas tahun. Nama ibunya ialah Zebuda anak Pedaya, dari Ruma.
37 Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN seperti semua yang dilakukan oleh nenek moyangnya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Raja-raja 23
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Raja-raja 23

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV