1 Setelah Daud selesai berbicara dengan Saul, berpadulah jiwa Yonatan dengan jiwa Daud, dan Yonatan mengasihi Daud seperti mengasihi dirinya sendiri.
2 Pada hari itu juga Saul mengambil Daud sebagai orangnya dan tidak mengizinkan dia pulang ke rumah ayahnya.
3 Yonatan membuat perjanjian dengan Daud, kerana dia mengasihi Daud seperti dirinya sendiri.
4 Kemudian Yonatan menanggalkan jubah yang dikenakannya dan memberikannya kepada Daud, begitu pula pakaian perangnya, pedangnya, busur panahnya, dan juga ikat pinggangnya.
5 Daud pergi ke mana-mana sahaja Saul mengutusnya. Dia selalu berhasil sehingga Saul melantik dia untuk menjadi ketua atas para anggota tenteranya. Hal itu dipandang baik oleh seluruh rakyat dan juga oleh para pegawai Saul.
6 Semasa kepulangan mereka setelah Daud menumpaskan orang Filistin itu, keluarlah para perempuan dari semua kota di Israel sambil menyanyi dan menari demi menyambut Raja Saul dengan rebana serta dengan lagu-lagu penuh suka ria, dan dengan kecapi bertali tiga.
7 Sambil tertawa-tawa para perempuan itu menyanyi berbalas-balasan, kata mereka, “Saul menumpaskan beribu-ribu musuh, dan Daud berpuluh-puluh ribu.”
8 Lalu teramat marahlah Saul. Hatinya tidak berkenan dengan kata-kata itu, kerana fikirnya, “Bagi Daud disebutkan mereka berpuluh-puluh ribu, tetapi bagiku disebutkan mereka beribu-ribu sahaja. Apakah lagi yang akan diperolehnya kalau bukan kerajaan ini?”
9 Maka sejak hari itu Saul menaruh curiga kepada Daud.
10 Keesokan harinya, roh jahat yang diizinkan TUHAN turun ke atas Saul dengan penuh kuasa sehingga dia meramal di dalam rumah. Manakala, seperti kebiasaan pada setiap hari, Daud memetik kecapi. Pada waktu itu ada tombak di tangan Saul.
11 Saul melemparkan tombak itu, kerana fikirnya, “Aku hendak menancapkan Daud ke dinding.” Tetapi Daud berjaya mengelak sebanyak dua kali.
12 Saul menjadi takut kepada Daud kerana TUHAN menyertai Daud walhal Dia telah menjauhinya.
13 Maka Saul menjauhkan Daud daripada kalangan warga istana lantas menjadikannya pemimpin pasukan seribu. Daud pun memimpin pergerakan pasukan,
14 dan dia berhasil dalam segala tugas yang dijalankannya kerana TUHAN menyertainya.
15 Apabila Saul melihat bahawa Daud sangat berhasil, dia menjadi takut kepadanya.
16 Sebaliknya, seluruh orang Israel dan orang Yehuda mencintai Daud kerana dialah yang memimpin pergerakan mereka.
17 Saul berkata kepada Daud, “Ketahuilah, puteriku yang tertua, iaitu Merab, akan kuberikan kepada kamu sebagai isterimu. Hanya, jadilah orang yang gagah perkasa bagiku dan berperanglah dalam peperangan TUHAN.” Dalam hati Saul berkata, “Semoga bukan tanganku yang menyentuhnya, tetapi semoga tangan orang Filistin yang menumpaskannya.”
18 Kata Daud kepada Saul, “Siapalah hamba ini dan siapakah kerabat hamba atau kaum ayah hamba di Israel, sehingga hamba menjadi menantu Raja?”
19 Akan tetapi, pada waktunya Merab anak Saul patut diserahkan kepada Daud, perempuan itu diberikan kepada Adriel, orang Mehola, menjadi isterinya.
20 Namun begitu, Mikhal anak Saul jatuh cinta kepada Daud. Ketika hal itu dikhabarkan kepada Saul, dia amat menyukainya.
21 Fikir Saul, “Aku akan memberikan Mikhal kepadanya. Semoga Mikhal menjadi jerat baginya dan semoga tumpaslah dia di tangan orang Filistin.” Maka bagi kali keduanya, Saul berkata kepada Daud, “Sekarang engkau boleh menjadi menantuku.”
22 Kepada para pegawainya Saul memberikan perintah, “Katakanlah secara senyap-senyap kepada Daud, ‘Ketahuilah, hati raja berkenan terhadap kamu dan begitu jugalah kesemua pegawai baginda mengasihi engkau. Oleh sebab itu, jadilah menantu raja.’ ”
23 Maka para pegawai Saul menyampaikan kata-kata itu kepada Daud. Kata Daud, “Adakah kamu ingat bahawa menjadi menantu raja satu perkara yang kecil? Aku ini hanya seorang yang miskin dan hina.”
24 Maka para pegawai Saul memberitahukan jawapan Daud yang sedemikian itu kepada raja, “Demikianlah jawapan Daud.”
25 Kata Saul, “Katakanlah kepada Daud begini, ‘Raja tidak menghendaki mahar selain seratus keping kulit kulup orang Filistin sebagai pembalasan kepada musuh-musuh raja.’ ” Sesungguhnya, Saul berharap akan tumpaslah hendaknya Daud di tangan orang Filistin.
26 Apabila kata-kata raja itu disampaikan kepadanya, Daud pun memandang baik perihal menjadi menantu raja. Maka sebelum genap harinya,
27 Daud bergegas pergi bersama-sama para pejuangnya lalu mereka menewaskan dua ratus orang Filistin. Daud membawa kulit kulup mereka dan mempersembahkan kesemuanya kepada raja iaitu memenuhi syarat untuk menjadi menantu raja. Maka Saul memberikan puterinya, Mikhal untuk diperisteri oleh Daud.
28 Saul menyedari bahawa TUHAN menyertai Daud dan betapa dia dicintai oleh Mikhal anak Saul.
29 Oleh itu, semakin takutlah Saul kepada Daud, dan seumur hidupnya dia memusuhi Daud.
30 Para pemimpin Filistin terus maju berperang dan sebagaimana kerapnya mereka maju untuk memerangi tentera orang Israel, Daud lebih berhasil daripada semua pegawai Saul, sehingga namanya menjadi sebegitu masyhur lagi dikagumi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Samuel 18
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Samuel 18

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV