1 Berfirmanlah TUHAN kepada Samuel, “Berapa lama lagi engkau akan berdukacita atas Saul kerana Aku telah menolak dia sebagai raja atas Israel? Isilah tabung tandukmu dengan minyak dan pergilah. Aku mengutus engkau kepada seorang Betlehem bernama Isai, kerana Aku telah memilih bagi-Ku seorang raja daripada kalangan anaknya.”
2 Kata Samuel, “Masakan aku boleh pergi? Jika Saul mendengarnya, tentu dia akan membunuhku.” Firman TUHAN, “Bawalah seekor lembu betina yang muda dan katakan, ‘Aku datang untuk mempersembahkan korban di hadapan TUHAN.’
3 Undanglah Isai ke upacara korban itu, dan Aku akan menunjukkan kepadamu apa yang harus kamu lakukan. Lantiklah bagi-Ku orang yang akan Kusebutkan kepadamu.”
4 Samuel pun melakukan apa yang difirmankan TUHAN. Ketika dia tiba di Betlehem, tua-tua kota itu menyongsong dia dengan gementar. Tanya mereka, “Apakah tuan datang dengan damai sejahtera?”
5 Jawabnya, “Ya, dengan damai sejahtera. Aku datang untuk mempersembahkan korban di hadapan TUHAN. Sucikanlah dirimu dan datanglah untuk bersama-samaku ke upacara korban ini.” Lalu dia mentahbiskan Isai dan anak-anaknya serta mengundang mereka ke upacara korban itu.
6 Pada waktu mereka datang, Samuel memandang Eliab dan berfikir, “Sesungguhnya, orang yang akan dilantik TUHAN sedang berdiri di hadapan-Nya.”
7 Tetapi firman TUHAN kepada Samuel, “Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi, kerana Aku telah menolak dia. Allah tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi TUHAN melihat hati.”
8 Kemudian Isai memanggil Abinadab dan menyuruhnya lalu di hadapan Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Yang ini pun tidak dipilih TUHAN.”
9 Maka Isai menyuruh Syama lalu pula. Tetapi Samuel berkata, “Yang ini pun tidak dipilih TUHAN.”
10 Isai menyuruh ketujuh-tujuh anaknya lalu di hadapan Samuel. Tetapi kata Samuel kepada Isai, “Mereka semua tidak dipilih TUHAN.”
11 Tanya Samuel kepada Isai, “Inikah semua anakmu?” Jawabnya, “Masih ada yang bongsu, tetapi dia sedang menggembala kawanan domba.” Kata Samuel kepada Isai, “Suruhlah orang menjemput dia, kerana kita tidak akan duduk makan sebelum dia datang.”
12 Maka Isai menyuruh orang menjemput anak bongsunya itu. Dia kemerah-merahan, matanya cantik, dan parasnya elok. Berfirmanlah TUHAN, “Segeralah lantik dia, kerana inilah dia.”
13 Samuel mengambil tabung tanduknya yang berisi minyak itu dan melantik dia di depan abang-abangnya. Maka sejak hari itu dan seterusnya, Roh TUHAN turun atas Daud dengan penuh kuasa. Setelah itu, Samuel segera pulang ke Rama.
14 Pada waktu itu, Roh TUHAN telah menjauhi Saul, dan dia diganggu oleh roh jahat yang diizinkan TUHAN.
15 Para pegawai Saul berkata kepadanya, “Sesungguhnya, ada roh jahat yang diizinkan Allah mengganggu tuanku.
16 Hendaklah tuanku memerintahkan hamba-hambamu yang ada di hadapan tuanku ini untuk mencari orang yang pandai memetik kecapi. Nanti, apabila roh jahat yang diizinkan Allah itu datang kepada tuanku, dia harus memetik kecapi sehingga tuanku berasa nyaman.”
17 Kata Saul kepada para pegawainya, “Carikanlah bagiku seorang yang dapat memetik kecapi dengan baik. Bawalah dia menghadap aku.”
18 Seorang daripada antara orang muda itu berkata, “Sesungguhnya, aku pernah melihat seorang anak Isai, orang Betlehem, yang pandai memetik kecapi. Dia seorang kesateria yang gagah perkasa, dan juga seorang pejuang. Selain itu, dia pandai berbicara dan perawakannya bagus dan TUHAN menyertainya.”
19 Maka Saul mengirim beberapa orang utusan kepada Isai dengan pesan, “Suruhlah anakmu Daud, yang suka menggembala kawanan domba itu, menghadap aku.”
20 Kemudian Isai mengambil seekor keldai. Dimuatinya keldai itu dengan roti, sebuah kantung kulit berisi air anggur, dan seekor anak kambing, lalu dikirimnya semua itu kepada Saul dengan perantaraan Daud, anaknya.
21 Daud pun datang menghadap Saul dan berkhidmat kepadanya. Saul sangat mengasihi Daud, sehingga dia menjadikan Daud pembawa senjatanya.
22 Lalu Saul menyuruh orang untuk menemui Isai dan berkata, “Biarlah Daud tetap berkhidmat kepadaku, kerana aku menyukainya.”
23 Jadi, apabila roh jahat yang diizinkan Allah itu datang kepada Saul, maka Daud akan mengambil kecapi dan memetiknya. Setelah itu, Saul akan berasa lega dan nyaman, lalu roh jahat itu pun menjauhinya.