1 Maka Salomo menjadi raja atas seluruh Israel.
2 Inilah para pembesarnya: Azarya anak Zadok, menjadi imam;
3 Elihoref dan Ahia, anak-anak Sisa, menjadi jurutulis; Yosafat anak Ahilud, menjadi pencatat sejarah;
4 Benaya anak Yoyada, mengetuai tentera; Zadok dan Abyatar, menjadi imam;
5 Azarya anak Natan, mengetuai para pegawai; Zabud anak Natan, menjadi imam dan sahabat raja;
6 Ahisar, mengetuai seisi istana; Adoniram anak Abda, mengetuai pasukan buruh paksa.
7 Selain itu, Salomo mempunyai dua belas orang pegawai atas seluruh Israel, yang harus menyediakan makanan untuk raja dan seisi istananya, masing-masing selama sebulan dalam setahun.
8 Inilah nama mereka: Ben-Hur di Pergunungan Efraim;
9 Ben-Deker di Makas, Saalbim, Bet-Semes, dan Elon-Bet-Hanan;
10 Ben-Hesed di Arubot, wilayahnya ialah Sokho dan seluruh Tanah Hefer;
11 Ben-Abinadab, di seluruh Dataran Tinggi Dor (Tafat anak Salomo menjadi isterinya);
12 Baana anak Ahilud di Taanakh, Megido, dan seluruh Bet-Sean di sebelah Sartan di hilir Yizreel, dari Bet-Sean sampai ke Abel-Mehola sampai ke seberang Yokmeam;
13 Ben-Geber di Ramot-Gilead, wilayahnya ialah Hawot-Yair di Gilead (Yair ialah anak Manasye), juga kawasan Argob di Basan, enam puluh kota besar yang bertembok dan berpalang pintu gangsa;
14 Ahinadab anak Ido, di Mahanaim;
15 Ahimaas, di Naftali (dia memperisteri Basmat anak Salomo);
16 Baana anak Husai di Asyer dan di Alot;
17 Yosafat anak Paruah, di Isakhar;
18 Simei anak Ela, di Benyamin;
19 Geber anak Uri, di Tanah Gilead (negeri Sihon, raja orang Amori, dan Og, raja Basan), dialah satu-satunya pembesar yang ada di bumi itu.
20 Ramainya umat Yehuda dan umat Israel adalah seperti pasir di tepi laut. Mereka itu makan, minum, dan bersuka ria.
21 Salomo menjadi penguasa atas seluruh kerajaan, mulai Sungai Efrat sampai ke negeri orang Filistin, bahkan sampai ke perbatasan Mesir. Mereka membawa persembahan dan menjadi warga takluk kepada Salomo seumur hidup.
22 Keperluan makanan Salomo untuk sehari ialah: 30 kor tepung terbaik, 60 kor tepung biasa,
23 10 ekor lembu yang tambun, 20 ekor lembu gembalaan, dan 100 ekor domba, di samping rusa, kijang, pelanduk, dan unggas yang gemuk.
24 Ruang lingkup kekuasaannya meliputi seluruh kawasan di sebelah barat Sungai Efrat, dari Tifsah sampai ke Gaza, dan semua raja di sebelah barat Sungai Efrat; segala penjuru kawasannya aman dan damai.
25 Seumur hidup Salomo, orang Yehuda dan orang Israel dari Dan sampai Bersyeba tinggal dengan aman damai, masing-masing memiliki pokok anggur serta pokok ara.
26 Salomo mempunyai 40,000 buah kandang untuk kuda penarik segala ratanya, dan 12,000 orang anggota pasukan berkuda.
27 Pada bulan yang telah ditentukan, setiap pegawainya harus menyediakan makanan untuk Raja Salomo dan semua orang yang ikut makan di meja Raja Salomo. Mereka harus memastikan bahawa tidak ada sesuatu pun yang kurang.
28 Selaras dengan kewajipan masing-masing, mereka membawa barli dan jerami untuk semua kuda biasa serta kuda teji.
29 Allah mengurniai Salomo kebijaksanaan dan pengertian yang luar biasa serta wawasan yang luas seperti hamparan pasir di tepi laut.
30 Kebijaksanaan Salomo melebihi kebijaksanaan seluruh bani Timur dan segala kebijaksanaan orang Mesir.
31 Dia lebih bijak daripada semua orang, daripada Etan, orang Ezrahi, atau Heman, Kalkol, dan Darda, anak-anak Mahol. Maka masyhurlah namanya dalam kalangan semua bangsa di sekelilingnya.
32 Dia mengarang tiga ribu pepatah, dan lagu karyanya berjumlah 1,005 buah.
33 Dia berbicara mengenai pepohonan, dari pokok araz di Lebanon sampai hisop yang tumbuh di dinding. Dia juga berbicara mengenai binatang, burung, binatang melata, dan ikan.
34 Orang daripada segala bangsa datang untuk mendengar kebijaksanaan Salomo. Mereka ini utusan daripada semua raja di bumi yang telah mendengar tentang kebijaksanaannya itu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Raja-raja 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Raja-raja 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV