1 Aku melayangkan pandang dan melihat seseorang lelaki yang memegang tali pengukur.
2 Lalu aku bertanya, “Ke manakah engkau hendak pergi?” Jawabnya kepadaku, “Hendak mengukur Yerusalem, untuk mengetahui berapakah lebar dan panjangnya.”
3 Sementara malaikat yang berbicara dengan aku itu melangkah maju, satu malaikat lain maju pula menemui dia.
4 Kepadanya dikatakan, “Larilah, katakanlah kepada pemuda itu, ‘Yerusalem akan berdiri seperti kampung tidak bertembok kerana ramainya manusia dan binatang di dalamnya.
5 Aku sendiri akan menjadi tembok api di sekelilingnya,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Aku akan menjadi kemuliaan di tengah-tengahnya.’ ”
6 “Ayuh! Ayuh! Larilah dari Tanah Utara,” demikianlah firman TUHAN, “kerana Aku telah mencerai-beraikan kamu ke arah empat mata angin,” demikianlah firman TUHAN.
7 “Ayuh, Sion! Selamatkanlah diri, wahai kamu yang tinggal bersama-sama puteri Babel!”
8 Beginilah firman TUHAN alam semesta – yang demi kemuliaan-Nya telah mengutus aku – tentang bangsa-bangsa yang menjarah kamu, kerana siapa menyentuh kamu, menyentuh apa yang disayangi-Nya.
9 “Sesungguhnya, Aku akan menggerakkan tangan-Ku terhadap mereka sehingga mereka menjadi jarahan bagi orang yang dahulunya takluk di bawah mereka.” Maka kamu akan tahu bahawa TUHAN alam semesta, telah mengutus aku.
10 “Wahai puteri Sion, bersorak-sorailah dan bersukacitalah. Sesungguhnya, Aku akan datang dan bersemayam di tengah-tengah kamu,” demikianlah firman TUHAN.
11 “Pada waktu itu banyak bangsa akan mengikatkan diri kepada TUHAN dan menjadi umat-Ku, lalu Aku akan bersemayam di tengah-tengah kamu.” Maka engkau akan tahu bahawa TUHAN alam semesta telah mengutus aku kepadamu.
12 TUHAN akan memiliki Yehuda sebagai bahagian-Nya di tanah suci dan akan memilih Yerusalem lagi.
13 Wahai segala makhluk, berdiam dirilah di hadapan TUHAN, kerana Dia telah bangkit dari tempat kediaman-Nya yang suci!