1 Maka Yunus amat tidak senang hati lantas dia menjadi marah.
2 Kemudian berdoalah dia kepada TUHAN, katanya, “Ya TUHAN, bukankah sudah kukatakan hal ini ketika aku masih di negeriku sehingga aku cepat-cepat melarikan diri ke Tarsis. Aku tahu betapa Engkaulah Tuhan pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih, serta berbelas kasihan dan tidak pula mendatangkan malapetaka.
3 Maka sekarang, ya TUHAN, ambil sajalah nyawaku, kerana lebih baik aku mati daripada hidup.”
4 Maka berfirmanlah TUHAN, “Patutkah engkau marah?”
5 Lalu Yunus keluar dari kota itu dan duduk di sebelah timurnya. Dia membuat sebuah pondok di situ lalu duduk di bawah naungannya untuk melihat apa yang bakal terjadi kepada kota itu.
6 Atas kehendak TUHAN Allah, tumbuhlah sebatang pohon yang menjalar lalu menyediakan naungan bagi kepala Yunus agar reda ketidakselesaannya. Lalu sangat gembiralah Yunus kerana adanya pohon yang menjalar itu.
7 Tetapi pada hari esoknya, Allah menetapkan ada seekor ulat yang menyerang pohon itu lalu rosak dan layulah pohon itu.
8 Ketika terbit matahari, Allah menetapkan datang angin yang panas terik dari timur lalu amat sakitlah kepala Yunus dan dia menjadi lemah dan lesu lantas dia memohon untuk dimatikan sahaja. Katanya, “Lebih baik aku mati daripada hidup.”
9 Maka berfirmanlah Allah kepada Yunus, “Patutkah engkau marah atas sebab pohon yang menjalar itu?” Yunus menjawab, “Memang aku patut marah sampai mati.”
10 Maka TUHAN pun berfirman, “Engkau sayang kepada pohon itu, padahal bukan engkau yang bersusah payah menumbuhkannya. Pohon itu tumbuh dalam satu malam dan juga mati dalam satu malam.
11 Jadi, tidak patutkah Aku menyayangi Niniwe, kota yang besar itu? Bukankah di dalamnya ada lebih daripada 120,000 orang, yang tidak tahu membezakan antara tangan kanan daripada tangan kiri, malahan banyak pula haiwan ternakannya?”