1 Selepas lamanya setelah TUHAN memberikan ketenteraman kepada orang Israel daripada semua musuh di sekeliling mereka, dan ketika itu, Yosua telah amat lanjut usianya,
2 Yosua memanggil seluruh orang Israel, iaitu para tua-tua, para ketua suku, para hakim, dan para pegawainya. Dia berkata kepada mereka, “Aku sudah tua dan sudah begitu lanjut usiaku.
3 Kamu sendiri telah melihat semua yang dilakukan TUHAN, Allahmu, terhadap segala bangsa ini demi kamu. TUHAN, Allahmu, Dialah yang telah berperang bagi kamu.
4 Ingatlah, aku telah mengundi sebagai harta pusaka bagimu iaitu bagi suku-sukumu, wilayah bangsa-bangsa yang tersisa itu, iaitu segala bangsa yang telah kulenyapkan dari Sungai Yordan sampai ke Laut Besar di arah matahari terbenam.
5 TUHAN, Allahmu, Dialah yang akan mengundurkan mereka daripadamu dan mengusir mereka dari hadapanmu hingga kamu menduduki negeri mereka seperti dijanjikan TUHAN, Allahmu, kepadamu.
6 Maka kuatkanlah hatimu sungguh-sungguh untuk memegang teguh dan melakukan segala sesuatu yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat yang disampaikan Allah melalui Musa, supaya kamu tidak menyimpang daripada hukum itu baik ke kanan mahupun ke kiri,
7 dan supaya kamu tidak bercampur-baur dengan bangsa-bangsa yang masih tertinggal dalam kalangan kamu itu. Jangan menyebut nama tuhan mereka, jangan bersumpah demi nama-nama itu, jangan beribadat kepada mereka, dan jangan sujud menyembah mereka,
8 melainkan berpautlah pada TUHAN, Allahmu, seperti yang telah kamu lakukan sampai hari ini.
9 TUHAN telah mengusir dari hadapanmu bangsa-bangsa yang besar dan kuat hinggakan tidak ada seorang pun yang dapat bertahan di hadapanmu sampai hari ini.
10 Seorang sahaja daripada antaramu dapat mengejar seribu orang, kerana TUHAN, Allahmu, Dialah yang berperang bagimu, seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu.
11 Oleh sebab itu perhatikanlah dirimu baik-baik supaya kamu mencintai TUHAN, Allahmu.
12 Jika kamu berpaling dan berpaut dengan saki-baki bangsa-bangsa yang masih tertinggal antaramu itu, dan saling berkahwin dengan mereka, bercampur-baur dengan mereka dan mereka dengan kamu,
13 maka ketahuilah sungguh-sungguh bahawa TUHAN, Allahmu, tidak lagi akan mengusir bangsa-bangsa itu dari hadapanmu. Sebaliknya, mereka akan menjadi perangkap dan jerat bagimu, cambuk bagi rusukmu dan duri di matamu, sampai kamu binasa dari tanah yang baik ini, yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu.
14 Sesungguhnya, sesaat lagi aku akan menempuh jalan menuju segala yang fana. Dengan segenap hati dan jiwamu, kamu tahu bahawa tidak ada satu hal pun yang gagal daripada segala hal baik yang telah dijanjikan TUHAN, Allahmu, mengenai kamu. Semua telah dipenuhi bagimu. Tidak ada satu pun yang gagal.
15 Akan tetapi, sebagaimana telah dipenuhi bagimu segala hal baik yang dijanjikan TUHAN, Allahmu, kepadamu, demikianlah segala hal yang jahat akan didatangkan TUHAN kepadamu sampai kamu termusnah oleh-Nya dari tanah yang baik ini, yang telah dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu
16 jika kamu melanggar perjanjian TUHAN, Allahmu, yang diperintahkan-Nya kepadamu, dan pergi beribadat kepada tuhan-tuhan lain serta sujud menyembah mereka. Pada waktu itu murka TUHAN akan menyala-nyala terhadap kamu dan kamu akan segera binasa dari negeri yang baik ini, yang telah dikurniakan-Nya kepadamu.”