1 Malangnya Ariel, Ariel, kota tempat Daud pernah berkhemah! Biarlah berlanjutan tahun demi tahun, biarlah perayaan silih berganti!
2 Aku akan mengancam Ariel, sehingga terdengar ratapan dan keluhan di dalamnya. Dia akan menjadi seperti pendiangan mazbah bagi-Ku.
3 Aku akan mendirikan perkhemahan mengelilingi engkau dan menghimpit engkau dengan menara-menara pengepungan. Aku akan menegakkan kubu-kubu terhadap engkau.
4 Engkau akan direndahkan dan berbicara dari dalam tanah, kata-katamu akan terdengar sayup-sayup dari dalam debu. Suaramu akan terdengar seperti suara pemanggil arwah dari dalam tanah, dan katamu akan berbisik-bisik dari dalam debu.
5 Tetapi pasukan lawanmu akan menjadi seperti debu halus, pasukan orang kejam itu akan seperti sekam yang diterbangkan angin. Hal itu terjadi dengan tiba-tiba, dalam sekelip mata.
6 TUHAN alam semesta, akan melawat engkau dengan guruh, gempa, dan keriuhan besar, dengan angin puting beliung, badai, dan nyala api yang menghanguskan.
7 Maka pasukan segala bangsa yang memerangi Ariel, semua orang yang memeranginya dan kubu pertahanannya, serta orang yang menyesakkan dia, akan menjadi seperti mimpi, seperti penglihatan pada malam hari.
8 Jadi, seperti seorang yang lapar bermimpi dia sedang makan tetapi apabila terjaga ternyata perutnya masih kosong, seperti seorang yang dahaga bermimpi dia sedang minum tetapi apabila terjaga ternyata dia semakin lemah dan kerongkongannya masih haus, demikianlah halnya dengan pasukan segala bangsa yang memerangi Gunung Sion.
9 Berhentilah dan tercenganglah, butakanlah matamu dan jadilah buta! Mereka mabuk, tetapi bukan kerana air anggur, mereka terhuyung-hayang, tetapi bukan kerana minuman keras.
10 TUHAN mencurahimu roh yang membuat kamu tidur lelap. Dia menutup matamu, iaitu para nabi, dan menudungi kepalamu, iaitu para pelihat.
11 Bagimu segala penglihatan tentang semua itu seperti isi sebuah kitab yang termaterai. Kalau kitab itu diberikan kepada seorang yang tahu membaca, dengan permintaan: “Tolong bacakan ini,” maka dia akan menjawab, “Aku tidak boleh, kerana kitab ini termaterai.”
12 Atau, kalau kitab itu diberikan kepada seorang yang tidak tahu membaca, dengan permintaan: “Tolong bacakan ini,” maka ia akan menjawab, “Aku tidak tahu membaca.”
13 Tuhan berfirman, “Bangsa ini mendekati-Ku dengan mulut dan menghormati-Ku dengan bibir, padahal hati mereka jauh daripada-Ku. Ibadat mereka kepada-Ku hanya berasaskan peraturan yang diajarkan manusia.
14 Maka sesungguhnya, Aku akan melakukan lagi hal yang ajaib kepada bangsa ini, hal yang ajaib dan menakjubkan. Kebijaksanaan orang yang bijak akan musnah, dan kepandaian orang yang pandai akan lenyap.”
15 Malangnya orang yang menyembunyikan rancangannya sedalam-dalamnya daripada TUHAN. Mereka melakukan pekerjaan dalam gelap dan berkata, “Siapakah yang melihat kita? Siapakah yang mengenali kita?”
16 Kamu memutarbelitkan perkara! Masakan tukang periuk dianggap sama dengan tanah liat, sehingga barang yang dibuat dapat berkata tentang pembuatnya, “Dia tidak membuat aku,” atau barang yang dibentuk berkata tentang pembentuknya, “Dia tidak mengerti apa-apa”?
17 Bukankah dalam sedikit masa sahaja lagi Lebanon akan diubah menjadi ladang yang subur, dan ladang yang subur akan dianggap hutan?
18 Pada waktu itu kalangan tuli akan mendengar isi kitab, dan mata kalangan buta akan celik, dibebaskan daripada kekelaman dan kegelapan.
19 Orang yang tertindas akan semakin bersukacita kerana TUHAN, dan golongan fakir miskin akan bergembira kerana Yang Maha Suci, Allah Israel.
20 Sesungguhnya, orang kejam akan ditiadakan, pencemuh akan dihancurkan, dan semua orang yang berniat jahat akan dilenyapkan.
21 Mereka inilah yang menyatakan seseorang itu bersalah melalui fitnah, yang memasang jerat bagi pembela dalam sidang pengadilan, dan yang memutarbelitkan hak orang benar dengan alasan yang bukan-bukan.
22 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, yang menebus Abraham, tentang keturunan kaum Yakub, “Sekarang Yakub tidak akan malu lagi, sekarang mukanya tidak akan pucat lagi.
23 Apabila mereka melihat anak-anak mereka, iaitu buatan tangan-Ku, berada di tengah-tengah mereka, maka mereka akan menjaga kesucian nama-Ku. Mereka akan menyatakan kesucian Yang Maha Suci, Allah Yakub, dan akan berasa gentar kepada Allah Israel.
24 Orang yang fikirannya sesat akan mendapat pengertian, dan orang yang bersungut-sungut akan menerima pengajaran.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 29
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 29

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV