1 Pernyataan ilahi tentang Damsyik. “Sesungguhnya, Damsyik akan disingkirkan sehingga tidak lagi menjadi sebuah kota. Dia akan menjadi timbunan puing.
2 Kota-kota Aroer akan ditinggalkan dan menjadi tempat kawanan ternakan yang berbaring tanpa ada yang mengusik.
3 Kubu akan lenyap dari Efraim, dan kerajaan dari Damsyik. Saki-baki orang Aram akan senasib dengan kemuliaan orang Israel,” demikianlah firman TUHAN alam semesta.
4 “Pada waktu itu kemuliaan Yakub akan amat berkurang, dan tubuhnya yang tegap akan menjadi kurus.
5 Keadaannya akan sama seperti apabila penuai mengumpulkan gandum yang belum dipotong dan memetik bulir-bulirnya dengan tangannya, atau seperti apabila seseorang memungut bulir gandum di Lembah Refaim.
6 Tetapi sisa-sisa akan ditinggalkan untuk pemetikan susulan seperti pada waktu orang menjolok buah zaitun, dua atau tiga buah tertinggal di hujung dahan teratas, empat atau lima di dahan-dahannya yang penuh buah,” demikianlah firman TUHAN, Allah Israel.
7 Pada hari itu orang akan memandang Penciptanya, dan matanya akan memperhatikan Yang Maha Suci, Allah Israel.
8 Dia tidak akan memandang lagi mazbah-mazbah buatan tangan dan tidak akan memperhatikan lagi barang yang dibuat jari-jarinya, baik patung-patung Asyera mahupun tugu-tugu mazbah dupa.
9 Pada waktu itu kota-kota benteng mereka akan menjadi seperti tempat yang terbengkalai di hutan dan di puncak gunung yang ditinggalkan kerana orang Israel. Semua itu akan menjadi sunyi sepi.
10 Engkau telah melupakan Allah yang menyelamatkan engkau, dan tidak mengingat Batu Pejal yang menjadi Bentengmu. Oleh sebab itu walaupun engkau menanam tanam-tanaman yang indah dan mencangkukkan cabang-cabang asing,
11 walaupun engkau memagarinya pada hari engkau menanamnya, dan paginya kaubuat benihmu berbunga, hasil tuaian itu akan lenyap begitu sahaja pada hari kesakitan dan penderitaan yang sangat parah.
12 Wahai, ramainya umat banyak bangsa! Deru gemuruh mereka seperti deruan ombak laut. Wahai, riuhnya suku-suku bangsa! Mereka menderu seperti deruan air berombak besar.
13 Suku-suku bangsa menderu seperti deru limpahan air, tetapi TUHAN mengherdik mereka sehingga mereka lari jauh-jauh. Mereka diburu seperti sekam yang diterbangkan angin di gunung-gunung, seperti debu yang diterbangkan angin puting beliung.
14 Pada waktu senja, lihat, ada kengerian! Sebelum pagi hari, mereka sudah tiada! Itulah bahagian bagi orang yang menjarah kita dan takdir yang ditentukan bagi kalangan yang menjarah kita.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 17
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 17

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV