1 Pernyataan ilahi tentang Babel kepada Yesaya anak Amos.
2 Angkatlah panji-panji di atas gunung yang gondol, berserulah dengan nyaring kepada mereka. Lambaikanlah tangan supaya mereka memasuki pintu gerbang para bangsawan.
3 Aku telah memerintahkan kalangan yang Kusucikan, bahkan telah memanggil para kesateria-Ku untuk melaksanakan hukuman murka-Ku, iaitu mereka yang bersuka ria kerana kemegahan-Ku.
4 Ada keriuhan di gunung-ganang, seperti suara orang ramai yang besar jumlahnya! Ada bunyi kekecohan daripada kerajaan-kerajaan, daripada bangsa-bangsa yang berkumpul! TUHAN alam semesta, sedang mengerahkan pasukan perang.
5 Mereka datang dari negeri yang jauh, dari ufuk sana, iaitu TUHAN dengan senjata-senjata murka-Nya, hendak menghancurkan seluruh bumi.
6 Meraung-raunglah, kerana hari TUHAN sudah dekat, hari pemusnahan yang datang daripada Yang Maha Kuasa.
7 Oleh sebab itu semua tangan akan menjadi lemah dan hati setiap orang cair dan menjadi tawar.
8 Mereka akan amat cemas, rasa perih dan sakit akan mencengkam mereka. Mereka akan menggeliat kesakitan seperti perempuan yang bersalin, mereka akan saling berpandangan dengan hairan, wajah mereka merah padam.
9 Lihat, hari TUHAN datang dengan bengis, dengan amarah, dan dengan murka yang menyala-nyala, untuk menjadikan bumi sunyi dan untuk memusnahkan para pendosa dari dalamnya.
10 Sesungguhnya, bintang-bintang di langit dan gugusan-gugusannya tidak lagi memancarkan sinarnya. Matahari akan menggelap sebaik sahaja terbitnya dan bulan pun tidak akan memancarkan sinarnya.
11 Aku akan menghukum dunia kerana kejahatannya dan orang fasiq kerana kesalahannya. Aku akan menghentikan rasa bongkak kalangan yang angkuh dan meruntuhkan kesombongan orang kejam.
12 Aku akan membuat orang lebih langka daripada emas murni, dan manusia daripada emas Ofir.
13 Oleh sebab itu Aku akan menggetarkan langit, dan bumi akan bergoncang dari tempatnya kerana murka TUHAN alam semesta, pada hari amarah-Nya menyala-nyala.
14 Seperti kijang yang diburu dan seperti domba yang tanpa gembalanya, setiap orang akan kembali kepada bangsanya, setiap orang akan melarikan diri ke negeri masing-masing.
15 Sesiapa pun yang ditemukan akan ditikam, dan siapa pun yang tertangkap akan tewas oleh pedang.
16 Bayi mereka akan dihempaskan di hadapan mata mereka. Rumah mereka akan dijarah dan isteri mereka akan dirogol.
17 Lihat, Aku akan membangkitkan orang Madai untuk melawan mereka, orang yang tidak mengendahkan perak dan tidak menyukai emas.
18 Busur panah mereka akan menghempaskan orang muda. Mereka tidak akan berbelas kasihan kepada buah kandungan, dan mereka tidak akan berasa hiba pada anak-anak.
19 Babel, yang terindah antara kerajaan, kemegahan dan keangkuhan orang Kasdim, akan menjadi sama seperti Sodom dan Gomora apabila Allah menunggangbalikkannya.
20 Negeri itu langsung tidak akan dihuni lagi dan tidak didiami turun-temurun. Orang Badui Arab tidak akan berkhemah di sana dan gembala tidak akan membaringkan domba-dombanya di sana.
21 Sebaliknya, haiwan gurun akan berbaring di sana dan rumah mereka akan penuh dengan serigala. Burung-burung unta akan diam di sana dan kambing-kambing liar akan melompat-lompat di situ.
22 Anjing hutan akan meraung di kota-kota yang terbengkalai dan serigala di istana-istana yang mewah. Waktunya hampir tiba dan umurnya tidak akan dilanjutkan.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 13
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 13

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV