1 Demikianlah firman yang turun daripada TUHAN kepada Yeremia pada zaman Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda,
2 “Pergilah kepada kaum Rekhab dan berbicaralah dengan mereka. Bawalah mereka ke dalam salah satu bilik di Bait TUHAN dan berilah mereka minum air anggur.”
3 Maka aku menjemput Yaazanya anak Yeremia anak Habazinya berserta saudara-saudaranya dan semua anak lelakinya – seluruh kaum Rekhab.
4 Aku membawa mereka ke dalam bilik anak-anak Hanan anak Yigdalya, hamba Allah itu, di Bait TUHAN. Bilik ini berdekatan dengan bilik para pembesar, di atas bilik Maaseya anak Salum, penjaga pintu.
5 Kemudian kuletakkan di hadapan anggota kaum Rekhab itu cawan-cawan yang berisi air anggur serta cangkir-cangkir. Kataku kepada mereka, “Silakan minum air anggur.”
6 Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak minum air anggur, kerana Yonadab anak Rekhab, leluhur kami, telah mengamanatkan demikian kepada kami, ‘Janganlah kamu atau anak-anakmu minum air anggur untuk selama-lamanya.
7 Jangan membangunkan rumah, jangan menabur benih, jangan menanami kebun anggur atau memilikinya, tetapi tinggallah di dalam khemah seumur hidupmu, supaya panjang umurmu di tanah tempat kamu tinggal sebagai pendatang.’
8 Kami mentaati perkataan Yonadab anak Rekhab, leluhur kami, dalam segala hal yang diamanatkannya kepada kami. Itulah sebabnya kami, isteri kami, serta anak-anak kami baik lelaki mahupun perempuan tidak minum air anggur seumur hidup kami
9 dan tidak membangunkan rumah untuk kami huni. Kami tidak mempunyai kebun anggur, ladang, atau benih,
10 dan tinggal di dalam khemah. Kami taat dan bertindak selaras dengan semua yang diamanatkan Yonadab, leluhur kami.
11 Namun begitu, pada waktu Nebukadnezar raja Babel maju menyerang negeri ini, kami berkata, ‘Mari kita pergi ke Yerusalem untuk menghindari pasukan orang Kasdim dan pasukan orang Aram.’ Itulah sebabnya kami tinggal di Yerusalem.”
12 Lalu datanglah firman TUHAN kepada Yeremia demikian,
13 “Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: Pergilah dan katakanlah kepada orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, ‘Tidakkah kamu mahu menerima pengajaran serta mendengar firman-Ku?’ demikianlah firman TUHAN.
14 ‘Hal yang diamanatkan Yonadab anak Rekhab kepada keturunannya supaya mereka tidak minum air anggur telah dilaksanakan. Sampai hari ini mereka tidak minum air anggur kerana mereka mentaati amanat leluhur mereka. Sebaliknya, kepada kamu Aku telah berfirman terus-menerus, tetapi kamu tidak mahu mendengar Aku.
15 Aku terus-menerus mengutus kepadamu semua hamba-Ku, para nabi, dengan pesan: Berbaliklah daripada jalan hidupmu yang jahat, perbaiklah kelakuanmu, dan jangan mengikuti tuhan-tuhan lain untuk menyembah mereka. Dengan demikian kamu akan tetap tinggal di negeri yang telah Kukurniakan kepadamu serta kepada nenek moyangmu. Tetapi kamu tidak mahu memberikan perhatian dan tidak mahu mendengar Aku.
16 Sungguh, keturunan Yonadab anak Rekhab telah melaksanakan amanat yang diberikan leluhur mereka kepada mereka, tetapi bangsa ini tidak mahu mendengar Aku.’
17 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, ‘Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan segala malapetaka yang Kuancamkan kepada Yehuda dan kepada seluruh penduduk Yerusalem, kerana Aku telah berfirman kepada mereka tetapi mereka tidak mahu mendengar. Aku telah berseru kepada mereka tetapi mereka tidak mahu menjawab.’ ”
18 Kemudian Yeremia berkata kepada kaum Rekhab, “Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, ‘Kerana kamu telah mentaati pesan Yonadab, leluhurmu, telah berpegang teguh pada segala amanatnya, dan telah bertindak selaras dengan semua yang diamanatkannya kepadamu.’
19 Maka beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, ‘Tidak akan terputus keturunan Yonadab anak Rekhab yang mengabdi kepada-Ku sepanjang masa.’ ”