1 Firman-Nya, “Kalau seorang lelaki menceraikan isterinya lalu perempuan itu pergi meninggalkannya lalu menjadi isteri orang lain, adakah lelaki itu akan kembali lagi kepada perempuan itu? Bukankah bumi itu sudah sangat najis? Engkau telah berzina dengan ramai kekasih, dan mahu kembali kepada-Ku?” demikianlah firman TUHAN.
2 Layangkanlah pandang ke bukit-bukit yang gondol dan lihatlah! Di manakah engkau tidak pernah ditiduri? Engkau duduk di tepi jalan menantikan kekasih, duduk seperti orang Arab di gurun. Engkau telah menajiskan negeri ini dengan perzinaanmu dan dengan kejahatanmu.
3 Oleh sebab itu hujan lebat tertahan, dan hujan akhir musim tidak turun. Namun demikian, pendirianmu seperti perempuan sundal, dan engkau tidak tahu malu.
4 Bukankah baru sahaja engkau berseru kepada-Ku, ‘Bapaku, Engkaulah sahabatku sejak masa mudaku.
5 Masakan Dia memendam amarah untuk selama-lamanya? Masakan Dia menyimpan murka untuk seterusnya?’ Itulah yang kaukatakan, tetapi sedapat-dapatnya engkau melakukan kejahatan.
6 Pada zaman Raja Yosia TUHAN berfirman kepadaku, “Sudahkah kaulihat apa yang dilakukan Israel, perempuan murtad itu? Dia pergi ke atas setiap gunung yang tinggi dan ke bawah setiap pokok yang rimbun lalu berzina di sana.
7 Fikir-Ku, ‘Setelah dia melakukan semua itu, dia akan kembali kepada-Ku.’ Tetapi dia tidak juga kembali. Yehuda, saudara perempuannya yang khianat itu, melihat hal itu juga.
8 Aku telah menceraikan Israel, perempuan murtad itu, dan memberikan surat talak kepadanya kerana segala perzinaan yang dilakukannya. Tetapi Aku melihat bahawa Yehuda, saudara perempuannya yang khianat itu, tidak juga berasa takut. Malah dia juga pergi berzina pula.
9 Kerana dia memandang ringan perzinaannya, maka dia membuat negeri itu menjadi najis. Dia berzina dengan menyembah batu dan kayu.
10 Meskipun semua ini nyata, Yehuda, saudara perempuannya yang khianat itu, tidak juga kembali kepada-Ku dengan sepenuh hati, melainkan dengan pura-pura,” demikianlah firman TUHAN.
11 TUHAN berfirman kepadaku, “Israel, perempuan murtad itu, menunjukkan dirinya lebih benar daripada Yehuda yang khianat itu.
12 Pergilah, serukanlah kata-kata ini ke utara. Katakanlah, ‘Kembalilah, wahai Israel, perempuan murtad,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Aku tidak akan memandang kamu dengan murka, kerana Aku ini pemurah,’ demikianlah firman TUHAN, ‘Aku tidak akan memendam murka untuk selama-lamanya.
13 Hanya, akuilah kesalahanmu, bahawa engkau telah menderhaka terhadap TUHAN, Allahmu, telah melampiaskan nafsu berahimu dengan kalangan orang asing di bawah pokok yang rimbun, dan tidak mematuhi Aku,” demikianlah firman TUHAN.
14 “Kembalilah, wahai anak-anak yang murtad,” demikianlah firman TUHAN, “kerana Akulah tuanmu. Aku akan mengambil kamu, seorang dari sebuah kota dan dua orang daripada suatu kaum, lalu Aku akan membawa kamu ke Sion.
15 Aku akan memberi kamu gembala-gembala yang selaras dengan kehendak hati-Ku. Mereka akan menggembala kamu dengan pengetahuan dan kebijaksanaan.
16 Pada waktu itu, apabila kamu bertambah ramai dan beranak cucu di negeri ini,” demikianlah firman TUHAN, “orang tidak lagi akan menyebut, ‘Tabut perjanjian TUHAN.’ Itu tidak akan timbul dalam hati dan tidak akan diingat-ingat lagi. Orang tidak akan mencarinya atau membuatnya lagi.
17 Pada waktu itu Yerusalem akan disebut Arasy TUHAN dan segala bangsa akan berkumpul di Yerusalem kerana nama TUHAN. Mereka tidak lagi akan mengikuti kedegilan hati mereka yang zalim.
18 Pada masa itu keturunan kaum Yehuda akan berjalan bersama keturunan kaum Israel, dan mereka akan datang bersama-sama dari negeri utara ke negeri yang telah Kukurniakan kepada nenek moyangmu sebagai harta pusaka.”
19 “Tadinya Aku berfikir, ‘Betapa Aku ingin menempatkan engkau dalam kalangan anak-Ku dan mengurniakan kepadamu negeri yang indah, harta pusaka yang mulia dari seluruh bangsa.’ Aku berfikir, ‘Kamu akan menyebut Aku, “Bapaku,” dan tidak akan berhenti mengikuti Aku.’
20 Tetapi seperti isteri yang khianat meninggalkan pasangannya, demikianlah kamu mengkhianati Aku, wahai keturunan kaum Israel,” demikianlah firman TUHAN.
21 Ada suara terdengar di bukit-bukit yang gondol, tangisan orang Israel meminta belas kasihan, sebab mereka telah membuat jalan hidup mereka bengkok dan telah melupakan TUHAN, Allah mereka.
22 “Kembalilah, wahai anak-anak yang murtad! Aku akan menyembuhkan kamu daripada kemurtadanmu.” “Inilah kami, kami datang kepada-Mu, kerana Engkaulah TUHAN, Allah kami.
23 Sesungguhnya, bukit-bukit keramat adalah penipuan, iaitu keramaian di atas gunung-gunung keramat itu! Sesungguhnya, hanya pada TUHAN, Allah kita, ada penyelamatan Israel!
24 Tetapi berhala kehinaan itu telah memakan habis jerih lelah nenek moyang kita sejak masa muda kita, kawanan domba dan kawanan lembu mereka, anak-anak mereka, lelaki dan perempuan.
25 Marilah kita menelungkup dengan rasa malu dan biarlah aib kita menyelubungi kita, kerana kita dan nenek moyang kita telah berdosa terhadap TUHAN, Allah kita, sejak masa muda kita sampai hari ini. Kita tidak mematuhi TUHAN, Allah kita.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yeremia 3
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yeremia 3

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV