1 Demikianlah firman yang turun daripada TUHAN kepada Yeremia,
2 “Segeralah pergi ke rumah tukang periuk. Di sana Aku akan memperdengarkan firman-Ku kepadamu.”
3 Maka pergilah aku ke rumah tukang periuk, dan tampak dia sedang melakukan pekerjaan di atas pelarikan.
4 Kalau bejana yang dibuatnya daripada tanah liat itu rosak di tangannya, maka tukang periuk itu mengerjakannya kembali untuk menjadi bejana lain, menurut apa yang dipandang baik olehnya.
5 Lalu datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
6 “Tidak dapatkah Aku berbuat terhadap kamu seperti tukang periuk ini, wahai keturunan kaum Israel?” demikianlah firman TUHAN. “Sesungguhnya, seperti tanah liat di tangan tukang periuk, demikianlah kamu di tangan-Ku, wahai keturunan kaum Israel!
7 Ada kalanya Aku berfirman bahawa Aku akan mencabut, merobohkan, dan membinasakan sesuatu bangsa atau sesuatu kerajaan.
8 Namun demikian, jika bangsa yang Kuancam itu bertaubat daripada kejahatannya, maka Aku akan menarik kembali malapetaka yang Kurancangkan bagi mereka.
9 Ada kalanya Aku berfirman bahawa Aku akan membangunkan dan mengukuhkan sesuatu bangsa atau sesuatu kerajaan.
10 Namun demikian, jika mereka melakukan hal yang jahat di sisi-Ku dan tidak mematuhi-Ku, maka Aku akan menarik kembali kebaikan yang Kujanjikan kepada mereka.
11 Sekarang, katakanlah kepada orang Yehuda dan kepada penduduk Yerusalem demikian, ‘Beginilah firman TUHAN: Sesungguhnya, Aku menetapkan malapetaka ke atasmu dan membuat rancangan untuk menentang kamu. Biarlah setiap orang bertaubat daripada perilakunya yang jahat. Perbaiklah perilakumu dan perbuatanmu.’
12 Tetapi mereka menjawab, “Tiada gunanya! Kami mahu mengikuti fikiran kami sendiri dan setiap orang mahu bertindak menurut kedegilan hatinya yang jahat.”
13 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, “Tanyalah dalam kalangan bangsa, siapa pernah mendengar hal semacam ini? Hal yang sangat mengerikan telah dilakukan oleh perawan Israel!
14 Masakan salji Lebanon menghilang dari batu pejal di padang? Masakan air sejuk yang mengalir dari tempat jauh itu mengering?
15 Tetapi umat-Ku telah melupakan Aku. Mereka membakar dupa bagi berhala kesia-siaan yang membuat mereka tersandung di jalan-jalan mereka, dan di jalan-jalan dahulukala, serta membuat mereka berjalan di jalan kecil, dan jalan yang belum diratakan.
16 Dengan demikian mereka membuat negeri mereka menjadi kengerian, menjadi cemuhan untuk selama-lamanya. Setiap orang yang melintasinya akan tercengang dan menggeleng-gelengkan kepala.
17 Seperti angin timur Aku akan mencerai-beraikan mereka di hadapan musuh mereka. Aku akan menunjukkan bahawa Aku membelakangi mereka, bukan menghadapkan hadirat-Ku kepada mereka pada hari bencana mereka.”
18 Mereka berkata, “Mari kita membuat rancangan untuk menentang Yeremia, kerana tidak akan hilang pengajaran Taurat daripada imam, begitu pula nasihat daripada orang bijak atau firman daripada nabi. Mari kita menyerang dia dengan kata-kata. Jangan dengarkan segala perkataannya.”
19 Perhatikanlah aku, ya TUHAN, dan dengarlah suara orang yang berbantah dengan aku.
20 Masakan kebaikan dibalas dengan kejahatan? Namun begitu, mereka telah menggali lubang perangkap bagi nyawaku. Ingatlah bagaimana aku menghadap Engkau untuk berbicara baik tentang mereka, untuk menyurutkan murka-Mu daripada mereka.
21 Oleh sebab itu berikanlah anak-anak mereka kepada bencana kebuluran, dan serahkanlah mereka kepada mata pedang. Biarlah isteri mereka kehilangan anak dan menjadi balu. Biarlah lelaki mereka mati dibunuh, pemuda mereka tewas oleh pedang dalam peperangan.
22 Biarlah jeritan terdengar dari rumah mereka, ketika Engkau tiba-tiba mendatangkan gerombolan untuk menyerang mereka, kerana mereka telah menggali lubang perangkap untuk menangkap aku dan menyiapkan jerat bagi kakiku.
23 Tetapi Engkau, ya TUHAN, mengetahui segala rancangan mereka untuk membunuh aku. Janganlah kiranya Kauampunkan kesalahan mereka, dan jangan hapuskan dosa mereka dari hadapan-Mu, tetapi biarlah mereka tersandung di hadapan-Mu. Bertindaklah terhadap mereka pada masa kemurkaan-Mu.