1 “Dosa Yehuda sudah tertulis dengan pena besi bermata intan, terukir pada loh hati mereka dan pada tanduk-tanduk mazbah mereka,
2 sementara anak-anak mereka mengenang mazbah dan patung Asyera mereka di samping pokok-pokok yang rimbun, di atas bukit-bukit yang tinggi.
3 Wahai gunung-Ku yang di padang, Aku akan menyerahkan kekayaanmu dan segala perbendaharaanmu sebagai rampasan, begitu pula bukit-bukit pemujaanmu, kerana dosa di seluruh daerahmu.
4 Kerana kesalahanmu sendiri, engkau harus melepaskan harta pusakamu yang telah Kukurniakan kepadamu. Aku akan membuat engkau menjadi hamba kepada musuh-musuhmu di negeri yang tidak kaukenali, kerana dalam murka-Ku telah tercetus api yang akan menyala untuk selama-lamanya.”
5 Beginilah firman TUHAN, “Terkutuklah orang yang bergantung pada manusia, yang bergantung pada kekuatan sendiri, dan yang hatinya berpaling daripada TUHAN.
6 Dia akan menjadi seperti semak di gurun. Ketika hal yang baik datang, dia tidak melihatnya. Dia akan mendiami tempat-tempat yang gersang di gurun, di padang garam yang tidak dihuni.
7 Diberkatilah orang yang bergantung pada TUHAN, yang menaruh kepercayaannya pada TUHAN.
8 Dia akan seperti pokok yang ditanam di tepi air, yang merambat akar-akarnya ke tepi sungai. Dia tidak takut ketika panas datang, daun-daunnya tetap hijau. Dia tidak khuatir pada tahun kemarau, dan tidak akan berhenti menghasilkan buah.”
9 Hati itu licik melebihi segala sesuatu, bahkan sangat parah – siapa dapat mengetahuinya?
10 “Aku, TUHAN, menyelidiki hati dan menguji batin. Aku mengganjar setiap orang selaras dengan perilakunya dan setimpal dengan hasil perbuatannya.”
11 Seperti ayam hutan mengeram telur yang bukan telurnya, demikianlah orang yang mengumpulkan kekayaan secara tidak halal. Pada pertengahan usianya, semua itu akan hilang, dan pada akhir hidupnya, nyatalah bahawa dia orang bodoh.
12 Takhta kemuliaan yang luhur sejak mula-mula lagi ialah tempat suci kita!
13 Ya TUHAN, Pengharapan orang Israel, semua orang yang meninggalkan Engkau akan malu. Orang yang menjauh daripada-Mu akan lenyap seperti tulisan di atas tanah, sebab mereka telah meninggalkan TUHAN, mata air yang hidup.
14 Sembuhkanlah aku, ya TUHAN, maka aku akan sembuh. Selamatkanlah aku, maka aku akan selamat, kerana Engkaulah yang kupuji.
15 Lihatlah, mereka berkata kepadaku, “Di manakah firman TUHAN? Biarlah firman itu sampai!”
16 Aku tidak lari daripada pekerjaan sebagai gembala-Mu, aku tidak mengharapkan hari kemalangan. Engkau tahu apa yang terucap daripada bibirku, hal itu nyata di hadapan-Mu.
17 Janganlah Engkau menjadi kengerian bagiku, Engkaulah perlindunganku pada hari kesusahan.
18 Biarlah orang yang mengejarku malu, tetapi jangan sampai aku menjadi malu. Biarlah mereka kecut hati, tetapi jangan sampai aku menjadi kecut hati. Timpakanlah hari kesusahan itu terhadap mereka, hancurkanlah mereka dengan kehancuran berganda.
19 Beginilah firman TUHAN kepadaku, “Pergilah dan berdirilah di Pintu Gerbang Anak Bangsa, tempat raja-raja Yehuda keluar masuk, dan di semua pintu gerbang Yerusalem.
20 Katakan kepada mereka, ‘Dengarlah firman TUHAN, wahai raja-raja Yehuda, wahai semua orang Yehuda, dan seluruh penduduk Yerusalem yang masuk melalui pintu-pintu gerbang ini.
21 Beginilah firman TUHAN: Berjaga-jagalah demi nyawamu! Jangan mengangkut barang pada hari Sabat dan membawanya melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem.
22 Jangan keluarkan barang dari rumahmu pada hari Sabat dan jangan lakukan suatu pekerjaan, melainkan jagalah kesucian hari Sabat seperti yang Kuperintahkan kepada nenek moyangmu.
23 Namun mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu memberikan perhatian. Mereka bahkan mengeraskan hati sehingga tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima pengajaran.
24 Jika kamu bersungguh-sungguh mendengar Aku, demikianlah firman TUHAN, untuk tidak membawa barang melalui pintu-pintu gerbang kota ini pada hari Sabat, melainkan menjaga kesucian hari Sabat dengan tidak melakukan pekerjaan pada hari itu,
25 maka melalui pintu-pintu gerbang kota ini akan masuk raja dan pembesar yang akan duduk di atas takhta Daud. Mereka dan para pembesar mereka akan mengenderai rata dan kuda dengan diiringi orang Yehuda serta penduduk Yerusalem. Kota ini akan dihuni untuk selama-lamanya.
26 Orang akan berdatangan dari kota-kota Yehuda dan dari sekitar Yerusalem, dari Tanah Benyamin, dari dataran rendah, dari pergunungan, dan dari Tanah Negeb dengan membawa korban bakaran, korban sembelihan, persembahan bahan makanan, kemenyan, serta korban syukur ke Bait TUHAN.
27 Tetapi jika kamu tidak mahu mendengar Aku untuk menjaga kesucian hari Sabat dan untuk tidak mengangkut masuk barang melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem pada hari Sabat, maka Aku akan menyalakan api di pintu-pintu gerbangnya. Api itu akan melahap puri-puri Yerusalem tanpa dapat dipadamkan.’ ”