1 Demikianlah firman TUHAN yang turun kepada Yeremia tentang musim kemarau,
2 “Yehuda berkabung, pintu-pintu gerbangnya merana dan berdukacita sambil terduduk di tanah, jeritan Yerusalem naik ke langit.
3 Bangsawan menyuruh para hamba mereka mencari air. Mereka pergi ke perigi-perigi tetapi tidak mendapatkan air, lalu pulang dengan wadah kosong. Mereka kecewa dan malu, lalu menyelubungi kepala mereka.
4 Tanah retak, kerana hujan tidak turun di negeri. Petani kecewa, lalu menyelubungi kepala mereka.
5 Bahkan rusa betina di padang beranak lalu meninggalkan anaknya, kerana tidak ada rumput muda.
6 Keldai liar berdiri di atas bukit-bukit gondol, terengah-engah seperti serigala. Matanya sayu, sebab tidak ada tumbuh-tumbuhan.”
7 Sekalipun kesalahan-kesalahan kami bersaksi menentang kami, bertindaklah demi nama-Mu, ya TUHAN, kerana banyak kemurtadan kami. Kami telah berdosa terhadap-Mu.
8 Ya Pengharapan orang Israel, Penyelamat Israel pada masa kesesakan, mengapakah Engkau seperti pendatang di negeri ini, seperti orang dalam perjalanan yang hanya singgah untuk bermalam?
9 Mengapakah Engkau seperti orang yang terperanjat, seperti kesateria yang tidak sanggup menyelamatkan? Padahal Engkau hadir antara kami, ya TUHAN, dan kami disebut atas nama-Mu. Janganlah tinggalkan kami!”
10 Beginilah firman TUHAN tentang bangsa ini, “Memang mereka suka mengembara dan tidak menahan kaki mereka. Oleh sebab itu TUHAN tidak berkenan kepada mereka. Sekarang, Dia akan mengingati kesalahan mereka dan menghukum dosa mereka.”
11 Firman TUHAN kepadaku, “Jangan berdoa untuk kebaikan bangsa ini!
12 Sekalipun mereka berpuasa, Aku tidak akan mendengar permohonan mereka. Sekalipun mereka mempersembahkan korban bakaran dan persembahan bahan makanan, Aku tidak akan berkenan kepada mereka. Sebaliknya, Aku akan menghapuskan mereka dengan pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit.”
13 Lalu aku berkata, “Aduh, ya Tuhan ALLAH, sesungguhnya para nabi telah berkata kepada mereka, ‘Kamu tidak akan melihat pedang dan tidak akan mengalami bencana kebuluran, tetapi Aku akan mengurniakan kepadamu kedamaian yang terjamin di tempat ini.’ ”
14 Firman TUHAN kepadaku, “Para nabi itu menyampaikan nubuat dusta atas nama-Ku! Aku tidak mengutus mereka, tidak memerintahkan mereka, dan tidak berfirman kepada mereka. Nubuat yang diberikan mereka kepadamu adalah daripada penglihatan bohong, tenungan kosong, dan tipu daya hati mereka sendiri.
15 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN mengenai para nabi yang menyampaikan nubuat atas nama-Ku itu: Aku tidak mengutus mereka, tetapi mereka berkata, ‘Pedang dan bencana kebuluran tidak akan melanda negeri ini.’ Para nabi itu akan dilenyapkan oleh pedang dan bencana kebuluran.
16 Rakyat yang menerima nubuat mereka akan dicampakkan ke jalan-jalan Yerusalem oleh bencana kebuluran dan pedang. Tidak ada yang akan menguburkan mereka, isteri mereka, anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan. Aku akan mencurahkan kejahatan mereka ke atas mereka.”
17 Sampaikanlah perkataan ini kepada mereka, “Biarlah mataku menitiskan air mata siang dan malam tanpa henti, kerana perawan, puteri bangsaku, mendapat luka parah, cedera yang amat berat.
18 Jika aku keluar ke padang, tampaklah orang yang terbunuh oleh pedang. Jika aku memasuki kota, tampaklah orang yang menderita oleh bencana kebuluran. Baik nabi mahupun imam berkelana ke negeri yang tidak dikenali mereka.”
19 Adakah Engkau sudah menolak Yehuda sama sekali? Adakah hati-Mu sudah muak kepada Sion? Mengapa Engkau memukul kami, sehingga tidak ada penyembuhan bagi kami? Kami mengharapkan damai, tetapi tidak ada sesuatu yang baik, mengharapkan waktu penyembuhan, tetapi hanya ada kengerian.
20 Ya TUHAN, kami menyedari kefasiqan kami dan kesalahan nenek moyang kami. Sungguh, kami telah berdosa terhadap Engkau.
21 Demi nama-Mu, janganlah kiranya Engkau menolak kami, jangan hinakan takhta kemuliaan-Mu. Ingatlah kiranya perjanjian-Mu dengan kami, jangan batalkan.
22 Adakah antara berhala bangsa-bangsa itu yang dapat menurunkan hujan? Dapatkah langit sendiri menurunkan hujan lebat? Bukankah Engkau yang membuatnya, ya TUHAN Allah kami? Kami berharap kepada-Mu, kerana Engkaulah yang membuat semua itu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yeremia 14
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yeremia 14

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV