1 Setelah itu, aku mendengar Dia berseru dengan suara nyaring, firman-Nya, ‘Ke marilah, wahai pengawas-pengawas kota, masing-masing dengan alat pemusnah di tangannya!’
2 Lalu tampaklah enam orang datang dari arah Pintu Gerbang Atas yang menghadap ke sebelah utara, masing-masing dengan alat penghancur di tangannya. Seorang antara mereka berpakaian linen dan di pinggangnya ada wadah tinta seorang penulis. Mereka masuk lalu berdiri di samping mazbah tembaga.
3 Pada waktu itu kemuliaan Allah Israel telah terangkat dari atas malaikat kerubin, iaitu dari tempatnya semula, ke ambang pintu Bait Suci. Kemudian Dia memanggil orang yang berpakaian linen itu, yang di pinggangnya ada wadah tinta seorang penulis.
4 Firman TUHAN kepadanya, ‘Berjalanlah, lintasi seluruh Kota Yerusalem itu dan letaklah tanda pada dahi mana-mana orang yang mengeluh serta mengerang kerana segala kekejian yang dilakukan di dalamnya.’
5 Kepada orang yang lain aku mendengar Dia berfirman, ‘Lintasilah seluruh kota itu mengikuti dia dan cabutlah nyawa orang yang ada. Jangan berasa hiba dan jangan berbelas kasihan
6 Bunuhlah orang tua, pemuda dan pemudi, kanak-kanak dan perempuan, tetapi jangan sentuh sesiapa pun yang mempunyai tanda itu. Mulailah dari tempat suci-Ku!’ Maka mulailah mereka dengan orang tua yang berada di depan Bait Suci.
7 Firman-Nya kepada mereka, ‘Najiskanlah Bait itu dan penuhilah pelataran-pelatarannya dengan orang yang terbunuh. Majulah!’ Maka majulah mereka dan mencabut nyawa orang yang ada di dalam kota.
8 Pada waktu mereka membunuh orang dan aku tertinggal sendirian, aku pun bersujud dan berseru, kataku, ‘Aduh, Tuhan ALLAH, apakah Engkau hendak memusnahkan seluruh saki-baki orang Israel dengan mencurahkan murka-Mu ke atas Yerusalem?’
9 Firman-Nya kepadaku, ‘Kesalahan keturunan kaum Israel dan Yehuda sedemikian besar. Negeri ini penuh dengan penumpahan darah dan kota ini penuh dengan penyimpangan. Mereka berkata, “TUHAN telah meninggalkan negeri ini. TUHAN tidak melihat.”
10 Oleh sebab itu Aku pun tidak akan berasa hiba dan tidak akan berbelas kasihan. Perilaku mereka akan Kubalas kepada mereka sendiri.’
11 Kemudian tampak orang yang berpakaian linen dan yang berwadah tinta di pinggangnya itu menyampaikan laporan, katanya, ‘Aku telah melakukan seperti yang Kauperintahkan kepadaku.’