1 Pada hari itu, pada awal tahun kedua puluh lima masa pembuangan kami – tahun keempat belas setelah Kota Yerusalem dikalahkan – tepatnya hari kesepuluh dalam bulan itu, kuasa TUHAN meliputi aku dan aku dibawa-Nya ke Tanah Israel.
2 Dalam penglihatan bersifat ilahiah, Dia membawa aku ke Tanah Israel dan menempatkan aku di atas sebuah gunung yang amat tinggi. Di atas gunung itu tampak bentuk sebuah kota di sebelah selatan.
3 Dia membawa aku ke sana, lalu tampak seorang yang susuknya serupa tembaga, dengan benang linen dan tongkat pengukur di tangannya. Dia berdiri di pintu gerbang.
4 Lalu kata orang itu kepadaku, ‘Wahai anak manusia, lihatlah dengan saksama, dengarlah baik-baik, dan perhatikanlah segala sesuatu yang akan kutunjukkan kepadamu kerana engkau dibawa ke mari untuk melihatnya. Kemudian beritahukanlah semua yang kaulihat itu kepada keturunan kaum Israel.’
5 Tampaklah tembok mengelilingi kawasan bangunan Bait Suci. Kemudian orang itu, dengan tongkat pengukur sepanjang enam hasta di tangannya, mengukur tembok itu (hasta ini setelapak tangan lebih panjang daripada hasta biasa). Ternyata tebalnya sebatang tongkat dan tingginya pun sebatang tongkat.
6 Lalu dia pergi ke pintu gerbang yang menghadap ke arah timur dan menaiki tangganya. Diukurnya ambang pintu gerbang itu, lebarnya sebatang tongkat; demikian pula halnya dengan ambang pintu yang lain.
7 Di kawasan itu ada bilik-bilik jaga, masing-masing sepanjang sebatang tongkat dan selebar sebatang tongkat, sedangkan jarak di antara setiap bilik jaga ialah lima hasta. Kemudian ada serambi pintu gerbang yang menghadap ke Bait Suci; lebar ambang pintu gerbang itu sebatang tongkat.
8 Diukurnya pula serambi pintu gerbang itu,
9 ukurannya lapan hasta manakala tiang temboknya setebal dua hasta. Serambi pintu gerbang itu menghadap ke Bait Suci.
10 Bilik-bilik jaga tadi terletak di sayap kiri serta sayap kanan pintu gerbang sebelah timur itu, masing-masing ada tiga buah, dan semuanya seukuran. Tiang-tiang tembok di sayap kiri dan sayap kanan juga seukuran.
11 Selanjutnya dia mengukur lebar lubang pintu gerbang itu, sepuluh hasta; sedang panjangnya tiga belas hasta.
12 Di depan bilik-bilik jaga, baik di sayap kiri mahupun di sayap kanan, ada sekat berukuran sehasta, sedangkan bilik jaga itu sendiri berukuran enam hasta baik di sayap kiri mahupun di sayap kanan.
13 Lalu diukurnya pintu gerbang itu dari hujung bumbung bilik jaga yang satu ke hujung bumbung bilik jaga di seberangnya, dua puluh lima hasta lebarnya.
14 Diukurnya pula tiang-tiang tembok, panjangnya enam puluh hasta. Pelataran pintu gerbang itu membentang sampai tiang-tiang tembok di sekelilingnya.
15 Jarak dari depan pintu gerbang jalan masuk sampai ke depan serambi pintu gerbang dalam ialah lima puluh hasta.
16 Di sekeliling ruang dalam, iaitu pada bilik-bilik jaga, pada tiang-tiang tembok di lingkungan pintu gerbang sebelah dalam, dan juga serambi, ada jendela-jendela berbidai. Pada tiang-tiang tembok ada ukiran pokok kurma.
17 Kemudian dia membawa aku ke pelataran luar. Tampak ada lantai batu yang dibuat di sekeliling pelataran itu dengan tiga puluh bilik yang dibangunkan di atasnya.
18 Lantai batu itu memanjang di sisi kiri dan kanan pintu-pintu gerbang, dengan lebar mengikuti panjang pintu gerbang, dan letaknya lebih ke bawah.
19 Lalu diukurnya jarak dari bahagian depan pintu gerbang bawah sampai ke depan pintu gerbang pelataran dalam. Ukurannya seratus hasta, baik di sebelah timur mahupun utara.
20 Dia mengukur pula panjang dan lebar pintu gerbang pelataran luar yang menghadap ke arah utara.
21 Secara keseluruhan, panjangnya lima puluh hasta dan lebarnya dua puluh lima hasta. Bilik jaganya, iaitu tiga di sayap kiri dan tiga di sayap kanan, juga tiang tembok serta serambinya, seukuran dengan yang terdapat pada pintu gerbang pertama.
22 Demikian pula jendelanya, serambinya, dan ukiran pokok kurmanya seukuran dengan yang terdapat pada pintu gerbang yang menghadap ke arah timur. Tangga naik ke situ bertingkat tujuh, dan serambinya ada di sebelah dalam.
23 Berseberangan dengan pintu gerbang utara ada pintu gerbang menuju pelataran dalam, sebagaimana halnya di sebelah timur. Lalu diukurnya jarak di antara kedua-dua pintu gerbang ini, seratus hasta.
24 Kemudian dia membawa aku ke sebelah selatan, dan tampak di situ pintu gerbang yang menghadap ke arah selatan. Diukurnya tiang temboknya dan serambinya. Ukurannya sama seperti yang lain-lain.
25 Di sekelilingnya dan di sekeliling serambinya ada jendela, sama seperti jendela yang lain. Panjang pintu gerbang itu lima puluh hasta dan lebarnya dua puluh lima hasta.
26 Tangga naik ke situ bertingkat tujuh, dan serambinya ada di sebelah dalam. Pada tiang temboknya terdapat pula ukiran pokok kurma, sebatang di sayap kiri dan sebatang di sayap kanan.
27 Pelataran dalam juga memiliki pintu gerbang yang menghadap ke arah selatan. Diukurnya jarak di antara kedua-dua pintu gerbang ini, seratus hasta.
28 Selanjutnya dia membawa aku ke pelataran dalam melalui pintu gerbangnya di sebelah selatan, lalu diukurnya pintu gerbang selatan itu. Ukurannya sama seperti yang lain-lain.
29 Secara keseluruhan, panjangnya lima puluh hasta dan lebarnya dua puluh lima hasta. Bilik-bilik jaga, tiang temboknya, dan serambinya seukuran dengan yang lain-lain. Di sekelilingnya dan di sekeliling serambinya ada jendela-jendela.
30 (Jadi, serambi-serambi pintu gerbang di sekeliling pelataran itu dua puluh lima hasta panjangnya dan lima hasta lebarnya).
31 Serambinya menghadap ke pelataran luar, dan pada tiang temboknya ada ukiran pokok kurma. Tangga naik ke situ bertingkat lapan.
32 Setelah itu, dia membawa aku ke sebelah timur pelataran dalam dan dia mengukur pintu gerbang yang ada di situ. Ukurannya sama seperti yang lain-lain.
33 Secara keseluruhan, panjangnya lima puluh hasta dan lebarnya dua puluh lima hasta. Bilik-bilik jaganya, tiang temboknya, dan serambinya seukuran dengan yang lain-lain. Di sekelilingnya dan di sekeliling serambinya ada jendela-jendela.
34 Serambinya menghadap ke pelataran luar dan pada tiang temboknya ada ukiran pokok kurma, baik di sayap kiri mahupun di sayap kanan. Tangga naik ke situ bertingkat lapan.
35 Akhirnya dibawanya aku ke pintu gerbang utara dan dia pun mengukurnya. Ukurannya sama seperti yang lain.
36 Secara keseluruhan, panjangnya lima puluh hasta dan lebarnya dua puluh lima hasta. Bilik-bilik jaganya, tiang temboknya, dan serambinya seukuran dengan yang lain. Di sekelilingnya ada jendela.
37 Tiang temboknya menghadap ke pelataran luar. Pada tiang temboknya ada ukiran pokok kurma, baik di sayap kiri mahupun di sayap kanan. Tangga naik ke situ bertingkat lapan.
38 Berdekatan dengan tiang-tiang tembok pintu gerbang itu ada sebuah bilik berpintu. Di sanalah korban bakaran dibasuh.
39 Sementara di serambi pintu gerbang terdapat dua buah meja di sayap kiri dan dua buah meja di sayap kanan untuk tempat menyembelih korban bakaran, korban penghapus dosa, dan korban penebus kesalahan.
40 Di sisi luar serambi, dekat tangga di pintu gerbang utara itu, terdapat pula dua buah meja baik di kiri mahupun di kanan.
41 Jadi, ada empat buah meja di sisi dalam pintu gerbang itu dan empat buah meja di sisi luarnya – seluruhnya lapan buah meja – untuk tempat menyembelih korban.
42 Selain itu, ada empat buah meja lagi daripada batu pahat untuk korban bakaran. Panjangnya satu setengah hasta, lebarnya satu setengah hasta, dan tingginya satu hasta. Di atasnya diletakkan pelbagai alat kelengkapan untuk menyembelih korban bakaran dan korban sembelihan.
43 Kait-kait bercabang dua yang berukuran setelapak tangan dipasang pada sekeliling dinding bahagian dalam, dan di atas meja-meja itu ditaruh daging yang dipersembahkan.
44 Di pelataran dalam, setelah keluar dari pintu gerbang sebelah dalam, ada dua buah bilik. Sebuah bilik terletak di sisi pintu gerbang utara menghadap ke arah selatan, manakala bilik lainnya terletak di sisi pintu gerbang selatan menghadap ke arah utara.
45 Dia berkata kepadaku, ‘Bilik yang menghadap ke arah selatan ini diperuntukkan bagi para imam yang menunaikan tugas di Bait Suci,
46 manakala bilik yang menghadap ke arah utara diperuntukkan bagi para imam yang menunaikan tugas di tempat pembakaran korban. Mereka bani Zadok, satu-satunya golongan bani Lewi yang boleh datang dekat kepada TUHAN untuk menyelenggarakan ibadat bagi-Nya.’
47 Kemudian dia mengukur pelataran dalam. Bentuknya empat persegi dengan panjang seratus hasta dan lebar seratus hasta. Di depan Bait Suci terletak mazbah.
48 Lalu dibawanya aku ke serambi Bait Suci, dan diukurnya tiang tembok serambi itu. Tebalnya lima hasta, baik di sayap kiri mahupun kanan. Lebar pintu gerbangnya tiga hasta, baik di sayap kiri mahupun kanan.
49 Panjang serambinya pula dua puluh hasta dan lebarnya sebelas hasta. Ada tangga untuk naik ke situ, dan ada tiang-tiang berdekatan dengan tiang-tiang tembok itu, satu di sayap kiri dan satu di sayap kanan.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yehezkiel 40
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yehezkiel 40

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV