1 Pada tahun kedua belas, tepatnya pada hari pertama dalam bulan kedua belas, datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
2 ‘Wahai anak manusia, lantunkanlah suatu ratapan mengenai Firaun, raja Mesir, dan katakan kepadanya, “Engkau menyamakan diri dengan singa muda dalam kalangan bangsa, tetapi engkau seperti naga di laut. Engkau membuat sungai-sungaimu bergelora dan mengeruhkan airnya dengan kakimu sehingga sungai-sungainya menjadi kotor.”
3 Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Aku akan membentangkan jaring-Ku atasmu dengan sejumlah besar bangsa, dan mereka akan mengangkat engkau ke dalam jaring-Ku.
4 Akan Kubuang engkau ke tanah, dan Kucampakkan engkau ke padang terbuka. Aku akan menyuruh segala burung di udara hinggap padamu, dan mengenyangkan binatang seluruh bumi dengan dagingmu.
5 Akan Kuletakkan dagingmu di atas gunung-gunung dan Kupenuhi lembah-lembah dengan saki-baki bangkaimu.
6 Akan Kubanjiri tanah dengan aliran darahmu sampai ke gunung-gunung. Alur-alur sungai akan penuh dengan dagingmu.
7 Ketika Aku memadamkan engkau, Aku akan menudungi langit dan membuat bintang-bintangnya menggelap. Matahari akan Kutudung dengan awan dan bulan tidak akan memancarkan sinarnya.
8 Segala yang memancarkan sinar di langit akan Kugelapkan kerana engkau. Aku akan mendatangkan kegelapan terhadap negerimu, demikianlah firman Tuhan ALLAH.
9 Akan Kususahkan hati banyak bangsa ketika khabar kehancuranmu Kusiarkan kepada bangsa di negeri-negeri yang tidak kaukenal.
10 Banyak bangsa akan Kubuat tercengang melihat engkau. Raja-rajanya akan sangat ketakutan melihat engkau ketika Kuayunkan pedang-Ku di hadapan mereka. Mereka akan berasa gentar setiap saat. Setiap orang mencemaskan nyawanya sendiri pada hari kejatuhanmu.’
11 Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Pedang raja Babel akan mendatangi engkau.
12 Akan Kutewaskan rakyatmu dengan pedang kesateria, semua kesateria yang terkejam dalam kalangan bangsa. Mereka akan meruntuhkan kebongkakan Mesir, dan seluruh rakyatnya akan dipunahkan.
13 Aku akan membinasakan segala binatangnya dari tepi air yang berlimpahan. Kaki manusia tidak akan mengeruhkan airnya lagi, demikian juga kaki binatang.
14 Pada waktu itu Aku akan menjernihkan airnya dan mengalirkan sungai-sungainya seperti minyak, demikianlah firman Tuhan ALLAH.
15 Ketika Aku menjadikan Tanah Mesir sunyi sepi hingga tanah itu kehilangan segala isinya, dan ketika Aku mengazab seluruh penduduknya, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’
16 Inilah ratapan yang akan dinyanyikan oleh kaum perempuan pelbagai bangsa bagi Mesir dan seluruh rakyatnya, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’
17 Pada tahun kedua belas, pada hari kelima belas dalam bulan itu, datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
18 ‘Wahai anak manusia, ratapilah rakyat Mesir. Serahkanlah mereka dan juga puteri bangsa-bangsa yang hebat itu ke bahagian bumi yang terbawah bersama-sama golongan orang yang turun ke liang kubur.
19 “Engkau lebih cantik daripada siapa? Turunlah dan terbujurlah bersama-sama orang yang tidak bersunat.”
20 Mereka akan rebah di antara golongan yang terbunuh oleh pedang. Pedang telah dihunus, seretlah dia dan seluruh rakyatnya.
21 Mengenainya, kesateria yang terkuat berserta pembantu-pembantu mereka akan berbicara dari tengah-tengah alam kubur, “Mereka, iaitu golongan yang tidak bersunat yang terbunuh oleh pedang, telah turun ke mari dan terbujur.”
22 Di sana ada Asyur dengan seluruh pasukannya yang terkubur di sekelilingnya. Mereka semua tewas terbunuh oleh pedang,
23 lalu terkubur di tempat yang terdalam; kuburan pasukannya ada di sekeliling kuburnya. Mereka, yang dahulu menimbulkan rasa takut di negeri orang hidup, semuanya tewas terbunuh oleh pedang.
24 Di sana ada Elam dengan seluruh rakyatnya yang terkubur di sekelilingnya. Mereka semua tewas terbunuh oleh pedang, dan turun tanpa bersunat ke bahagian bumi yang terbawah. Dahulu mereka menimbulkan rasa takut di negeri orang hidup, namun kini mereka pun menanggung aib bersama-sama orang yang turun ke liang kubur.
25 Bagi dia dan seluruh rakyatnya disediakan tempat tidur di antara golongan yang terbunuh; kuburan rakyatnya ada di sekelilingnya. Mereka semua tidak bersunat dan terbunuh oleh pedang, lalu ditempatkan di antara golongan lain yang terbunuh, kerana dahulu mereka menimbulkan rasa takut di negeri orang hidup. Kini mereka menanggung aib bersama-sama orang yang turun ke liang kubur.
26 Di sana ada Mesekh dan Tubal dengan seluruh rakyatnya yang terkubur di sekelilingnya. Mereka semua tidak bersunat lalu terbunuh oleh pedang, kerana mereka menimbulkan rasa takut di negeri orang hidup.
27 Mereka tidak dibaringkan bersama-sama kesateria tidak bersunat yang telah gugur, iaitu kesateria yang turun ke alam kubur dengan peralatan perang mereka dan dengan pedang di bawah kepala mereka. Hukuman bagi mereka ditanggungkan atas tulang-tulang mereka, meskipun dahulu rasa takut terhadap para kesateria itu pernah melanda negeri orang hidup.
28 Wahai Firaun, engkau akan dihancurkan di antara golongan yang tidak bersunat dan dibaringkan bersama-sama kalangan yang terbunuh oleh pedang.
29 Di sana ada Edom dengan raja-raja dan semua pemimpinnya. Meskipun dahulu mereka berkuasa, mereka pun ditempatkan bersama-sama orang yang terbunuh oleh pedang, dibaringkan bersama dengan orang yang tidak bersunat dan orang yang turun ke liang kubur.
30 Semua anak raja tanah utara dan semua orang Sidon ada pula di sana. Mereka turun dengan rasa malu bersama-sama golongan yang terbunuh, meskipun ketika berkuasa mereka menimbulkan rasa takut. Mereka dibaringkan tanpa bersunat bersama-sama golongan yang terbunuh oleh pedang, dan menanggung aib bersama-sama orang yang turun ke liang kubur.
31 Ketika Firaun melihat mereka semua – Firaun dan seluruh pasukannya terbunuh oleh pedang – dia berasa terhibur atas nasib seluruh rakyatnya, demikianlah firman Tuhan ALLAH.
32 Aku memang membiarkan dia menimbulkan rasa takut di negeri orang hidup, namun dia akan dibaringkan di antara orang tidak bersunat, bersama dengan golongan yang terbunuh oleh pedang. Itulah Firaun dan seluruh rakyatnya, demikianlah firman Tuhan ALLAH.’