1 Kemudian kulihat, tampak di atas cakerawala yang ada di atas kepala malaikat-malaikat kerubin itu sesuatu seperti batu nilam, yang menyerupai arasy.
2 Dia pun berfirman kepada orang yang berpakaian linen itu, ‘Masuklah ke antara roda berputar di bawah malaikat kerubin itu. Penuhi genggamanmu dengan bara api daripada antara malaikat kerubin itu lalu hamburkanlah ke atas kota itu.’ Maka masuklah dia di hadapan mataku.
3 Malaikat-malaikat kerubin itu berdiri di sebelah kanan Bait Suci ketika orang itu masuk. Awan memenuhi pelataran dalam,
4 lalu terangkatlah kemuliaan TUHAN dari atas malaikat kerubin ke atas ambang pintu Bait Suci. Bait Suci pun dipenuhi awan, dan pelatarannya penuh dengan cahaya kemuliaan TUHAN.
5 Bunyi sayap-sayap malaikat kerubin itu terdengar sampai ke pelataran luar, seperti suara Allah Yang Maha Kuasa ketika Dia berfirman.
6 Kemudian Dia memberikan perintah kepada orang yang berpakaian linen itu, firman-Nya, ‘Ambillah api dari antara roda berputar itu, daripada antara malaikat kerubin itu.’ Maka masuklah ia dan berdiri di samping salah sebuah roda.
7 Kemudian salah satu antara para malaikat kerubin menghulurkan tangannya ke arah api yang ada di antara mereka. Diambilnya sebahagian daripada api itu dan dibubuhnya pada kedua-dua telapak tangan orang yang berpakaian linen itu. Orang itu pun menerimanya lalu pergi.
8 Pada malaikat-malaikat kerubin itu terlihat susuk tangan manusia di bawah sayap mereka.
9 Ketika kulihat, tampak ada empat buah roda di samping malaikat-malaikat kerubin itu, sebuah roda di samping setiap kerubin. Roda-roda itu kelihatan serupa permata topaz.
10 Mengenai bentuknya, keempat-empatnya kelihatan sama, seolah-olah roda yang satu berada di tengah-tengah roda yang lain.
11 Ketika berjalan, mereka berjalan menurut salah satu arah daripada keempat-empat sisi mereka, dan tanpa berpaling. Jika mereka berjalan menurut arah salah satu muka, maka ke sanalah mereka semua berjalan, tanpa harus berpaling.
12 Sekujur tubuh mereka, iaitu bahagian belakang mereka, tangan mereka, sayap mereka, dan sekeliling roda mereka penuh dengan mata, sama seperti roda mereka yang berempat itu.
13 Kudengar roda-roda itu disebut ‘roda berputar.’
14 Satu malaikat kerubin mempunyai empat muka: muka yang pertama ialah muka malaikat kerubin, muka yang kedua ialah muka manusia, yang ketiga ialah muka singa, dan yang keempat ialah muka helang.
15 Kemudian malaikat-malaikat kerubin itu naik. Itulah makhluk-makhluk hidup yang kulihat di tepi Sungai Kebar.
16 Ketika malaikat-malaikat kerubin itu berjalan, roda-roda itu pun berjalan di samping mereka. Ketika malaikat-malaikat kerubin itu mengangkat sayap untuk naik dari atas tanah, roda-roda itu pun tetap di samping mereka.
17 Ketika malaikat-malaikat kerubin itu berhenti, roda-roda itu pun berhenti. Ketika malaikat-malaikat kerubin itu naik, roda-roda itu pun naik bersama-sama mereka, kerana roh makhluk-makhluk hidup itu ada di dalam roda-roda itu.
18 Lalu kemuliaan TUHAN beranjak dari atas ambang pintu Bait Suci dan berdiam di atas malaikat-malaikat kerubin.
19 Malaikat-malaikat kerubin itu mengangkat sayap lalu naik dari tanah di hadapan mataku. Ketika mereka beranjak, roda-roda itu ikut bersama-sama mereka. Seterusnya mereka berdiri dekat pintu gerbang timur Bait TUHAN, dan kemuliaan Allah Israel ada di atas mereka.
20 Itulah makhluk-makhluk hidup yang dahulu kulihat di bawah Allah Israel, di tepi Sungai Kebar. Aku menyedari bahawa mereka itu malaikat kerubin.
21 Masing-masing mempunyai empat muka dan empat sayap. Di bawah sayap mereka ada susuk tangan manusia.
22 Mengenai raut muka mereka, itulah rupa muka yang kulihat di tepi Sungai Kebar, masing-masing berjalan lurus ke depan.