1 Inilah perintah, iaitu segala kanun dan peraturan yang kuajarkan kepadamu atas perintah TUHAN, Allahmu, untuk dilaksanakan di negeri yang akan kamu masuki serta duduki,
2 supaya kamu dan anak cucumu takut kepada TUHAN, Allahmu, seumur hidupmu dengan berpegang teguh pada segala kanun serta perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu, dan supaya lanjut umurmu.
3 Jadi, dengarlah baik-baik, wahai Israel! Laksanakanlah semua itu dengan setia supaya baik keadaanmu dan supaya jumlahmu menjadi sangat ramai di negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu, seperti yang telah dijanjikan TUHAN, Allah nenek moyangmu, kepadamu.
4 Dengarlah, wahai Israel! TUHAN ialah Allah kita. TUHAN itu esa.
5 Kasihilah TUHAN, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.
6 Simpanlah dalam hatimu kata-kata yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.
7 Ajarkanlah kesemuanya dengan saksama kepada anak-anakmu dan bicarakanlah semua itu ketika engkau duduk di rumahmu, ketika engkau dalam perjalanan, ketika engkau berbaring, dan ketika engkau bangun.
8 Ikatkanlah semua itu sebagai tanda peringatan pada tangan dan dahimu,
9 kemudian tuliskanlah pada tiang-tiang pintu rumahmu dan pada pintu-pintu gerbangmu.
10 Apabila TUHAN, Allahmu, telah membawa engkau masuk ke negeri yang telah Dia sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub – kota-kota besar dan baik yang tidak engkau bangunkan,
11 rumah-rumah yang penuh dengan segala sesuatu yang baik yang tidak kauisi, perigi-perigi yang tidak kaugali, kebun-kebun anggur dan pokok-pokok zaitun yang tidak kautanam – dan engkau makan sampai kenyang,
12 berhati-hatilah, jangan sampai kaulupakan TUHAN yang telah membawamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.
13 Takutlah kepada TUHAN, Allahmu, beribadatlah kepada-Nya, dan bersumpahlah demi nama-Nya.
14 Jangan ikuti tuhan-tuhan lain, iaitu tuhan daripada bangsa-bangsa yang ada di sekelilingmu,
15 kerana TUHAN, Allahmu, yang hadir di tengah-tengahmu, sememangnya Allah yang cemburu. Jangan sampai murka TUHAN, Allahmu, menyala atasmu sehingga engkau dipunahkan-Nya dari muka bumi.
16 Janganlah engkau menduga TUHAN, Allahmu, seperti engkau menduga Dia di Masa.
17 Hendaklah kamu benar-benar berpegang teguh pada perintah-perintah TUHAN, Allahmu, serta segala peringatan dan kanun yang disampaikan-Nya kepadamu.
18 Lakukanlah apa yang benar dan baik di mata TUHAN, supaya keadaanmu baik dan engkau dapat memasuki serta menduduki negeri yang baik, yang telah TUHAN sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu
19 dengan mengusir semua musuhmu dari hadapanmu, seperti yang difirmankan TUHAN.
20 Apabila anakmu bertanya kepadamu pada masa depan yang akan datang, ‘Apakah maknanya, ketetapan, kanun dan peraturan yang diperintahkan TUHAN, Allah kita, kepadamu?’
21 maka katakanlah kepada anakmu, ‘Dahulu kita hamba kepada Firaun di Mesir, tetapi TUHAN membawa kita keluar dari Mesir dengan tangan yang kuat.
22 Di depan mata kita, TUHAN mengadakan tanda-tanda ajaib serta mukjizat-mukjizat besar yang membawa bencana terhadap Mesir, terhadap Firaun, dan terhadap seisi istananya.
23 Lalu Dia mengeluarkan kita dari sana, membawa kita masuk ke sini, dan memberikan kepada kita negeri ini, seperti yang telah Dia sumpah untuk memberikan kepada nenek moyang kita.
24 TUHAN memerintahkan agar kita melaksanakan segala kanun ini serta takut kepada TUHAN, Allah kita, supaya keadaan kita sentiasa baik dan supaya kita tetap hidup seperti pada hari ini.
25 Kita akan dinyatakan benar jika kita melaksanakan kesemua perintah itu dengan setia di hadapan TUHAN, Allah kita, seperti yang diperintahkan-Nya kepada kita.’