1 Kemudian naiklah Musa dari dataran Moab ke Gunung Nebo, iaitu ke puncak Pisga, yang berseberangan dengan Yerikho. Lalu TUHAN memperlihatkan kepadanya seluruh negeri itu: dari Gilead sampai ke Dan,
2 seluruh Tanah Naftali, Tanah Efraim dan Manasye, seluruh Tanah Yehuda sampai ke laut sebelah barat,
3 Tanah Negeb dan dataran rendah Yerikho, kota pokok kurma itu, sampai ke Zoar.
4 Firman TUHAN kepadanya, “Itulah negeri yang Kusumpah kepada Abraham, Ishak, dan Yakub ketika Aku berfirman, ‘Aku akan memberikannya kepada keturunanmu.’ Aku mengizinkan engkau melihatnya dengan matamu, tetapi engkau tidak akan menyeberang ke sana.”
5 Setelah itu Musa, hamba TUHAN itu, meninggal di sana, di Tanah Moab, selaras dengan firman TUHAN.
6 TUHAN memakamkannya di lembah di Tanah Moab, yang berseberangan dengan Bet-Peor. Tiada seorang pun mengetahui makamnya sampai hari ini.
7 Musa berumur seratus dua puluh tahun ketika kematiannya. Matanya belum kabur dan kekuatannya belum berkurangan.
8 Orang Israel menangisi Musa di dataran Moab selama tiga puluh hari. Setelah itu, selesailah masa tangisan dan perkabungan kerana Musa.
9 Yosua anak Nun penuh dengan roh kearifan, kerana Musa telah meletakkan tangannya ke atasnya. Orang Israel mentaatinya dan melakukan seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
10 Tidak pernah muncul lagi seorang nabi di Israel seperti Musa, yang dikenal TUHAN secara berhadapan muka.
11 Atas perintah TUHAN dia melakukan segala tanda ajaib dan mukjizat di Tanah Mesir bagi Firaun, seluruh pegawainya, serta seluruh negerinya,
12 dan di hadapan mata semua orang Israel, Musa menunjukkan segala perbuatan yang hebat serta melakukan keajaiban yang luar biasa.