1 Kelak apabila kamu telah masuk ke negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu sebagai harta pusaka, dan kamu telah memilikinya serta tinggal di dalamnya,
2 hendaklah kamu mengambil sebahagian hasil pertama daripada segala hasil tanahmu yang kamu kumpulkan daripada negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu. Letaklah semua itu di dalam bakul lalu pergilah ke tempat yang akan dipilih TUHAN, Allahmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya.
3 Datanglah kepada imam yang ada pada waktu itu dan katakanlah kepadanya, ‘Pada hari ini aku menyatakan di hadapan TUHAN, Allahmu, bahawa aku telah memasuki negeri yang telah disumpahkan TUHAN untuk memberikannya kepada nenek moyang kita.’
4 Maka hendaklah imam mengambil bakul itu daripada tanganmu dan meletakkannya di depan mazbah TUHAN, Allahmu.
5 Kemudian hendaklah kamu berkata di hadapan TUHAN, Allahmu, ‘Nenek moyangku seorang Aram, seorang pengembara. Dia pergi ke Mesir dan tinggal di sana sebagai pendatang dengan jumlah beberapa orang sahaja, tetapi di sana dia menjadi sebuah bangsa yang besar, kuat, dan ramai jumlah mereka.
6 Kemudian orang Mesir menyeksa dan menindas kami, serta mengerah kami melakukan pekerjaan yang berat-berat.
7 Kami pun berseru kepada TUHAN, Allah nenek moyang kami. TUHAN mendengar suara kami dan melihat penderitaan dan kesengsaraan kami dan penindasan terhadap kami.
8 Kemudian TUHAN membawa kami keluar dari Mesir dengan tangan yang perkasa dan lengan yang terhulur, dengan kehebatan yang besar, dan dengan pelbagai tanda ajaib serta mukjizat.
9 Dia membawa kami ke tempat ini dan memberi kami negeri ini, sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu.
10 Sekarang lihatlah, aku membawa hasil pertama dari tanah yang telah Kaukurniakan kepadaku, ya TUHAN.’ Sesudah itu letakkanlah semua itu di hadapan TUHAN, Allahmu, dan sujudlah menyembah di hadapan TUHAN, Allahmu.
11 Kemudian bersuka rialah kamu, bani Lewi, serta kaum pendatang yang ada dalam kalanganmu kerana segala kebaikan yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu dan kepada keluargamu.
12 Setelah kamu selesai membayar segala persembahan sepersepuluh daripada hasil tanahmu pada tahun ketiga, iaitu tahun pembayaran persembahan sepersepuluh, maka berikanlah persembahan itu kepada bani Lewi, kaum pendatang, para anak yatim, dan balu supaya mereka dapat makan di kotamu sampai kenyang.
13 Sesudah itu katakanlah di hadapan TUHAN, Allahmu, ‘Aku telah mengeluarkan persembahan suci itu dari rumahku dan memberikannya kepada bani Lewi, kaum pendatang, para anak yatim, dan balu, selaras dengan segala perintah yang Kauberikan kepadaku. Aku tidak melanggar atau melupakan apa-apa pun daripada perintah-Mu.
14 Daripada persembahan itu tidak sesuatu pun kumakan ketika aku berkabung, tidak sesuatu pun kukeluarkan ketika aku dalam keadaan najis, dan tidak sesuatu pun kupersembahkan kepada orang mati. Sebaliknya, aku mematuhi TUHAN, Allahku, dan melakukan segala yang Engkau perintahkan kepadaku.
15 Lihatlah dari kediaman-Mu yang suci, dari syurga, dan berkatilah umat-Mu Israel serta tanah yang Engkau berikan kepada kami, seperti yang telah Engkau sumpah kepada nenek moyang kami – sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu.’
16 Pada hari ini TUHAN, Allahmu, memerintahkan kamu untuk melakukan kanun dan peraturan ini. Maka peganglah dengan teguh dan lakukanlah semuanya dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu.
17 Pada hari ini kamu telah menyatakan bahawa TUHAN ialah Allahmu, dan bahawa kamu akan hidup menurut jalan-Nya, akan berpegang teguh pada kanun-Nya, perintah-Nya, dan peraturan-Nya, serta akan mematuhi-Nya.
18 Pada hari ini juga TUHAN menyatakan bahawa engkau ialah umat kesayangan-Nya sendiri, seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu, dan bahawa engkau harus berpegang teguh pada segala perintah-Nya.
19 Dia akan meninggikan kamu di atas segala bangsa yang telah dijadikan-Nya untuk menjadi terpuji, ternama, serta terhormat. Kamu juga akan menjadi umat yang suci bagi TUHAN, Allahmu, seperti yang dijanjikan-Nya.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ulangan 26
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ulangan 26

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV