1 Oleh yang demikian, apakah yang akan kita katakan tentang Abraham, nenek moyang jasmaniah kita?
2 Jika Abraham telah diperbenar kerana kerja amalnya dapatlah dia berbangga tetapi bukan di mata Allah.
3 Apakah yang tersurat dalam Kitab Suci? “Abraham percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran. ”
4 Bagi seseorang yang membuat kerja, gajinya tidak dikira sebagai anugerah tetapi sebagai haknya.
5 Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak membuat kerja amal tetapi percaya kepada Allah yang telah memperbenar orang yang mungkar, imannya diperhitungkan sebagai perbenaran.
6 Demikianlah Daud berkata tentang berkat ke atas orang yang diperbenar Allah tanpa mengira kerja amalnya. Kata Daud:
7 “Diberkatilah orang yang diampuni kemungkarannya dan yang dihapuskan dosa-dosanya.
8 Diberkatilah orang yang dosanya tidak diperhitungkan Tuhan.”
9 Maka adakah berkat ini untuk orang yang bersunat, atau untuk orang yang tidak bersunat juga? Kerana kita berkata, “Iman Abraham diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.”
10 Jadi, bagaimana iman itu diterima? Semasa dia sudah bersunat, atau sebelum bersunat? Bukan semasa dia sudah bersunat, tetapi ketika dia belum bersunat;
11 lalu dia menerima tanda persunatan, materai perbenaran yang didapatinya melalui iman semasa dia masih belum bersunat. Dengan demikian, dia menjadi bapa kepada semua orang yang beriman tanpa bersunat, supaya perbenaran juga diperhitungkan kepada mereka
12 dan dia juga menjadi bapa kepada orang bersunat yang bukan sahaja bersunat tetapi juga mengikut jejak langkah moyang bangsa kita, Abraham yang beriman sebelum dia bersunat.
13 Kerana janji kepada Abraham dan keturunannya bahawa mereka akan menjadi waris dunia ini bukanlah melalui hukum Taurat tetapi melalui perbenaran yang diperoleh dengan iman.
14 Kerana jika orang yang mengamalkan hukum Taurat menjadi waris, maka iman tidak bernilai dan janji itu mansuh.
15 Kerana hukum Taurat membawa kemurkaan Allah dan tanpa hukum Taurat, tiadalah kemungkaran.
16 Oleh yang demikian, janji itu melalui iman, supaya datangnya melalui kasih kurnia dan dapat dipastikan bagi semua keturunan Abraham; bukan hanya yang mengamalkan hukum Taurat tetapi juga yang mempunyai iman Abraham, bapa kepada kita semua.
17 Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Aku telah menjadikanmu bapa kepada beberapa banyak bangsa.” Abraham bapa kita di mata Allah. Dia beriman kepada Allah yang memberikan nyawa kepada yang mati dan menyeru yang tidak wujud menjadi wujud.
18 Meski bagaikan tiada harapan, Abraham berharap dan beriman, maka dia menjadi bapa kepada beberapa banyak bangsa, sebagaimana yang telah dikatakan kepadanya, “Demikian jugalah keturunanmu kelak.”
19 Tanpa terjejas imannya, dia menghadapi kenyataan bahawa tubuhnya samalah seperti sudah mati – kerana dia sudah berusia kira-kira seratus tahun – dan rahim Sarah juga sudah mati.
20 Namun demikian, Abraham tidak digugat kesangsian terhadap janji Allah, tetapi telah diteguhkan lagi dalam imannya lalu memuliakan Allah.
21 Dia yakin sepenuhnya bahawa Allah berkuasa melakukan apa yang telah dijanjikan-Nya.
22 Maka “imannya itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.”
23 Kata-kata “diperhitungkan baginya” telah tersurat bukan untuknya sahaja,
24 tetapi juga untuk kita: Allah akan menerima kita sebagai orang yang benar, kita yang beriman terhadap Dia yang telah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian.
25 Dia telah diserahkan kepada kematian kerana dosa kita dan dibangkitkan semula kepada kehidupan untuk pembenaran kita.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Roma 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Roma 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV