1 Betapa sunyinya kota itu, yang dahulu ramai penduduknya! Kini kota itu bagaikan seorang balu, padahal dahulu besar dalam kalangan bangsa! Ratu antara wilayah itu kini menjadi buruh paksa!
2 Sedu-sedan tangisannya pada malam hari, air matanya meleleh di pipi. Di antara semua kekasihnya, tiada seorang pun yang menghibur dirinya. Semua sahabatnya mengkhianatinya, mereka kini menjadi musuhnya.
3 Yehuda kini dalam pembuangan kerana kesusahan dan perhambaan yang berat. Tinggalnya kini dalam kalangan bangsa, tetapi tidak mendapat ketenteraman. Semua yang mengejarnya berjaya memintasnya di tengah-tengah kesesakannya.
4 Berdukacitalah jalan-jalan menuju Sion kerana tiada seorang pun yang datang menghadiri perayaan. Sunyilah kesemua pintu gerbangnya, para imamnya berkeluh-kesah, para perawannya berhiba, dan hatinya sendiri begitu getir.
5 Para lawannya menjadi pemimpin, para musuhnya makmur dan maju kerana TUHAN membuat dia berdukacita atas sebab segala pelanggarannya. Kanak-kanaknya sudah pergi sebagai tawanan di hadapan lawan.
6 Hilanglah daripada puteri Sion segala kebesarannya. Para penguasanya bak rusa yang tidak menemukan padang ragut lantas berjalan tanpa tenaga di hadapan pihak yang mengejarnya.
7 Pada masa kesusahannya dan pengembaraannya, teringatlah Yerusalem akan segala barang berharga yang dimilikinya sejak zaman dahulu. Ketika penduduknya jatuh ke tangan musuh, tiada seorang pun yang membantunya. Para lawannya memandangnya dan mentertawakan kehancurannya.
8 Yerusalem berdosa besar, dan sebab itu menjadi cemar. Semua yang dahulu menghormatinya kini memandang hina, setelah mereka melihat ketelanjangannya. Berkeluh-kesahlah ia serta memalingkan wajah kerana malu.
9 Kenajisannya melekat pada hujung pakaiannya, ia tidak memikirkan akibat segala dosanya. Kejatuhannya sangat menggemparkan, tiada seorang pun yang menghiburnya. “Ya TUHAN, pandanglah kesusahanku, kerana musuh telah memegahkan diri.”
10 Pihak lawan menjangkau tangan meraup segala barangnya yang berharga. Dilihatnya bangsa-bangsa masuk ke tempat sucinya, padahal Engkau melarang mereka memasuki jemaah-Mu.
11 Seluruh penduduknya berkeluh-kesah sambil mencari makanan. Mereka menukar khazanah mereka yang berharga dengan makanan untuk bertahan hidup. “Lihatlah, ya TUHAN, pandanglah, betapa aku terhina!”
12 “Hai kamu semua yang lalu-lalang, tidakkah kamu peduli? Pandanglah dan lihatlah! Adakah derita seperti derita yang ditimpakan kepadaku, dibiarkan TUHAN demi mendukakan aku pada waktu kemurkaan-Nya menyala-nyala?
13 Dari tempat tinggi dilepaskan-Nya api masuk ke dalam tulang-temulang aku. Dibentangkan-Nya jaring bagi kakiku, dibuat-Nya aku mundur, Dia membuat aku tertegun, lemah sepanjang hari.
14 Terikatlah pelanggaranku menjadi kuk, yang dijalin dengan tangan-Nya, lalu dikenakan pada tengkukku sehingga gugurlah kekuatanku. Tuhan menyerahkan aku ke dalam tangan orang yang tidak dapat kulawan.
15 Tuhan menolak semua orang perkasa yang ada dalam kalanganku. Dikerahkan-Nya pasukan melawan aku untuk membinasakan para pemudaku. Tuhan menginjak-injak para perawan, iaitu puteri Yehuda, seperti di tempat pemerasan anggur.
16 Kerana hal-hal inilah aku menangis; mataku, ya, mataku mencucurkan air. Penghibur yang dapat memulihkan jiwaku jauh daripadaku. Anak-anakku binasa kerana musuh telah menang.”
17 Sion menjangkau tangan, tetapi tiada sesiapa yang menenangkan hatinya. Bagi Yakub TUHAN telah menetapkan betapa para jirannya menjadi para lawannya. Yerusalem menjadi sesuatu yang cemar antara mereka itu.
18 “TUHAN itulah yang benar; aku telah menderhaka terhadap firman-Nya. Dengarlah kiranya, wahai segala bangsa, dan lihatlah penderitaanku. Para perawanku dan para pemudaku pergi sebagai tawanan.
19 Aku memanggil para kekasihku, tetapi mereka memperdaya aku. Para imamku dan para tua-tuaku kehilangan nyawa di kota ketika mereka mencari makanan untuk bertahan hidup.
20 Lihatlah, ya TUHAN, betapa sesaknya aku! Perutku seperti dipulas-pulas, hatiku digodak-godak di dalam dadaku kerana aku sudah sangat menderhaka. Di luar, pedang membawa hiba, di dalam, serasa ada maut.
21 Mereka mendengar keluh-kesahku, tetapi tiada sesiapa yang menenangkan hatiku. Semua musuhku mendengar fasal geruhku, girang mereka kerana Engkau yang menimpakannya. Datangkanlah hari yang telah Kaumaklumkan itu, sehingga mereka menjadi seperti aku.
22 Biarlah segala kejahatan mereka sampai ke hadirat-Mu. Perlakukanlah mereka seperti Engkau memperlakukan aku sehubungan dengan segala pelanggaranku. Sungguh, keluh-kesahku banyak dan hatiku lemah.”