1 Renungan Asaf. Dengarlah hai umatku, ajaran tentang hukum; pasang telingamu untuk mendengar kata-kataku.
2 Aku akan membuka mulut menggunakan ibarat; aku akan menuturkan kata-kata zaman dahulu yang penuh rahsia –
3 yang telah kita dengar dan ketahui, dan telah disampaikan oleh nenek moyang kita.
4 Kita tidak akan merahsiakannya daripada anak cucu mereka; kita akan memberitahu keturunan yang akan datang tentang pujian untuk TUHAN, dan kekuatan-Nya, serta hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan.
5 Kerana Dia telah menetapkan peraturan pada Yakub dan mengadakan hukum baru bagi Israel, yang diperintahkan-Nya kepada nenek moyang kita supaya diberitahu kepada anak-anak mereka,
6 agar keturunan akan datang mengetahuinya, anak-anak yang bakal lahir, dan mereka akan bangkit mengisytiharkannya kepada anak-anak mereka.
7 Dengan demikian mereka akan menyandarkan harapan kepada Allah dan tidak melupakan hasil kerja Allah serta mematuhi perintah-perintah-Nya.
8 Maka tidaklah mereka menjadi seperti nenek moyang mereka – keturunan yang degil dan memberontak, Keturunan yang tidak membetulkan hatinya, dan yang rohnya tidak setia kepada Allah.
9 Kaum Efraim yang bersenjatakan panah, berundur pada hari pertempuran;
10 mereka tidak berpegang kepada perjanjian Allah; mereka tidak mahu hidup mengikut hukum-Nya.
11 Dan melupakan hasil kerja-Nya, serta keajaiban yang telah ditunjukkan-Nya kepada mereka.
12 Perbuatan yang menakjubkan telah dilakukan-Nya di hadapan nenek moyang mereka di Tanah Mesir, di padang Zoan.
13 Dia telah membelah laut dan membolehkan mereka menyeberanginya; Dia menegakkan air seperti tembok.
14 Pada waktu siang Dia memandu mereka dengan awan dan sepanjang malam dengan cahaya api.
15 Dia membelah batu pejal di gurun dan memberi mereka minuman sebanyak-banyaknya air di lautan dalam;
16 Dia memancarkan air dari batu pejal dan membuatnya mengalir seperti sungai.
17 Tetapi mereka semakin berdosa terhadap-Nya, dengan menderhaka terhadap Yang Maha Tinggi di gurun.
18 Dan mereka menguji Allah dalam hati mereka dengan meminta makanan yang diingini.
19 Ya, mereka bercakap menentang Allah, mereka berkata, “Dapatkah Allah menyediakan jamuan di gurun?
20 Lihatlah, Dia memukul batu pejal supaya air memancut keluar, dan sungai melimpah. Dapatkah Dia memberi roti juga? Dapatkah Dia membekalkan daging kepada umat-Nya?”
21 TUHAN mendengar kata-kata ini lalu murka; maka api dinyalakan menyerang kaum Yakub, dan kemarahan-Nya menimpa kaum Israel,
22 kerana mereka tidak percaya akan Allah, dan tidak yakin akan penyelamatan-Nya.
23 Namun Dia memerintahkan awan dan membuka pintu langit;
24 menghujani mereka dengan manna untuk makanan mereka, dan memberi mereka gandum syurga.
25 Manusia makan makanan malaikat; Dia menghantar mereka makanan melimpah-limpah.
26 Dia meniupkan angin timur di langit dan dengan kuasa-Nya membawakan angin selatan.
27 Dia juga menghujani mereka dengan daging sebanyak debu, burung sebanyak pasir di tepi laut.
28 Dia menjatuhkan semua itu di tengah-tengah perkhemahan mereka, di sekeliling tempat tinggal mereka.
29 Lalu mereka makan sekenyang-kenyangnya, kerana Dia memberikan kehendak mereka.
30 Keinginan mereka tidak dipuaskan, ketika makanan masih di dalam mulut mereka,
31 Kemurkaan Allah menimpa mereka; meragut nyawa yang paling gagah antara mereka, dan menumpangkan orang Israel yang paling istimewa.
32 Namun demikian mereka terus berbuat dosa; dan tidak percaya akan mukjizat-Nya.
33 Oleh itu, Dia menjadikan hidup mereka sia-sia dan sepanjang usia mereka dalam ketakutan.
34 Apabila Dia membunuh sebilangan mereka, maka mereka berpaling kepada-Nya; mereka kembali mencari Allah dengan bersungguh-sungguh.
35 Ketika itu mereka ingat bahawa Allah Batu Pejal mereka, dan Allah Yang Maha Tinggi Penebus mereka.
36 Tetapi mulut mereka memberi-Nya puji palsu, dan lidah mereka berdusta kepada-Nya;
37 kerana hati mereka tidak teguh kepada-Nya, dan mereka tidak setia kepada perjanjian dengan-Nya.
38 Namun Dia, yang penuh belas kasihan; mengampunkan dosa mereka dan tidak memusnahkan mereka. Ya, berkali-kali Dia memalingkan kemarahan-Nya daripada mereka dan tidak membiarkan kemurkaan-Nya menyala.
39 Kerana Dia ingat bahawa mereka hanyalah manusia, sehembus nafas yang berlalu dan tidak muncul lagi.
40 Betapa kerapnya mereka berontak terhadap Dia ketika di gurun dan menyedihkan-Nya semasa di padang pasir!
41 Ya, berkali-kali mereka menduga Allah; dan membatasi Yang Kudus, Allah Israel.
42 Mereka tidak ingat akan kuasa-Nya – hari Dia menyelamatkan mereka daripada musuh,
43 apabila Dia melakukan mukjizat-Nya di Mesir, dan perbuatan-Nya yang menakjubkan di padang Zoan.
44 Menukarkan air sungai mereka menjadi darah, juga anak-anak air mereka; maka mereka tidak dapat minum.
45 Dia menghantar lalat yang banyak untuk memakan mereka, dan katak untuk memusnahkan mereka.
46 Dia menyebabkan tanaman mereka dimakan ulat, dan hasil usaha mereka dimakan belalang.
47 Dia memusnahkan pokok anggur mereka dengan hujan batu dan pokok-pokok ara mereka dengan air batu.
48 Dia membiarkan ternakan mereka mati ditimpa hujan batu, dan kawanan domba mereka disambar kilat.
49 Dia melemparkan kepada mereka kemarahan, kemurkaan, keberangan, dan kesusahan – dengan menghantar para malaikat pemusnah dalam kalangan mereka.
50 Dia membuat lorong untuk kemarahan-Nya; Dia tidak mengecualikan jiwa mereka daripada maut tetapi membiarkan wabak penyakit meragut nyawa mereka.
51 Dan memusnahkan semua anak lelaki sulung orang Mesir, kekuatan pertama mereka di perkhemahan Ham.
52 Tetapi Dia membolehkan umat-Nya pergi seperti domba; dan memandu mereka di gurun seperti satu kawanan.
53 Dan Dia memandu mereka dengan selamat, maka mereka tidak takut; sedangkan laut menenggelamkan musuh mereka.
54 Lalu Dia membawa mereka ke sempadan-Nya yang suci, gunung ini yang telah diambil-Nya dengan tangan kanan-Nya.
55 Dia mengusir bangsa-bangsa dari tempat yang didatangi umat-Nya dan membahagikan tanah sebagai warisan pusaka mereka; serta menyuruh suku-suku Israel tinggal di khemah mereka.
56 Namun demikian, mereka berontak dan menguji Allah Yang Maha Tinggi; dan tidak mematuhi peraturan-Nya.
57 Mereka berpaling tadah dan berkelakuan tidak setia seperti nenek moyang mereka, mereka menyeleweng seperti busur yang bengkok.
58 Mereka membuat Dia marah dengan bukit-bukit pemujaan; dan membuat Dia cemburu dengan patung-patung yang diukir.
59 Apabila Allah mendengarnya, Dia amat murka; dan sangat membenci kaum Israel.
60 Sehingga Dia meninggalkan khemah Silo, yang telah diletakkan-Nya dalam kalangan mereka.
61 Dan membiarkan kekuatan-Nya ditawan, dan kemuliaan-Nya jatuh ke tangan musuh.
62 Dia membiarkan umat-Nya musnah di hujung pedang; Dia amat murka akan warisan-Nya.
63 Api membakar pemuda-pemuda mereka, maka gadis-gadis mereka tidak dijodohkan;
64 imam-imam mereka gugur di hujung pedang, dan balu-balu mereka tidak meratap.
65 Kemudian Tuhan mengejutkan kita daripada tidur, seperti seorang gagah yang bertempik kerana air anggur.
66 Dan Dia mengusir musuh-Nya; Dia memalukan mereka selama-lamanya.
67 Juga Dia menolak khemah Yusuf, dan tidak memilih suku Efraim;
68 tetapi memilih suku Yehuda, Bukit Sion yang dicintai-Nya.
69 Dan Dia membina tempat suci-Nya seperti di syurga, seperti bumi yang telah ditapakkan-Nya untuk selama-lamanya.
70 Dia juga memilih Daud hamba-Nya dan mengambilnya dari kawanan domba;
71 daripada mengikuti domba beranak kecil Allah membawanya untuk menjadi gembala umat-Nya Yakub, dan warisan-Nya Israel.
72 Maka dia menggembalakan mereka menurut keikhlasan hatinya; dan memandu mereka dengan kemahiran tangannya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 78
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 78

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV